Tuesday, May 19, 2015

Ulasan Buku: Why I Still Carry A Guitar oleh Yusuf Islam [Bahagian 1]

Ketika aku singgah di reruai Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), buku Why I Still Carry A Guitar: The Spiritual Journey of Cat Stevens to Yusuf Islam yang diterbitkan oleh ITBM mendapat sambutan yang begitu hebat. Buku tersebut tersenarai dalam carta Top 10 mereka sebagai buku yang paling laris di PBAKL. Buku yang ditulis sendiri oleh Yusuf Islam ini sebenarnya telah diterbitkan lebih awal di Dubai pada hujung tahun lepas oleh Motivate Publishing dan berjaya memenangi anugerah Best International Non-Fiction Award di Sharjah International Book Fair.

Biografi pertama Yusuf Islam dibukukan secara rasmi.

Yusuf Islam yang sebelum ini dikenal sebagai Cat Stevens bukanlah penyanyi dan pemuzik yang mendapat latihan formal. Beliau asalnya ialah seorang pelajar bidang seni lukis yang bercita-cita untuk menjadi pelukis seperti pak ciknya, Hugo. Namun, disebabkan pelukis rata-ratanya dilihat hidup melarat dan tidak mendapat pengiktirafan selayaknya, maka beliau pun cuba menyanyi dan mencipta lagu. Pada usia 18 tahun, bakat beliau telah berjaya dikesan oleh Mike Hurst dan apa yang terjadi seterusnya ialah sejarah yang pasti akan terus diingati oleh penggemar muzik. Oh, ya! Sheryl Crow tidak pernah mencipta lagu The First Cut is the Deepest, begitu juga Rod Stewart.

Kembali kepada buku Why I Still Carry A Guitar, produksinya kemas, gambarnya berwarna penuh dan saiz tulisannya mesra pembaca. Isi kandungannya pula terbahagi kepada 15 bab yang disusun rapi dengan purata enam halaman. Pendek kata, buku ini mempunyai nilai komersial yang ideal. Sebagai seorang penggemar lagu-lagu Cat Stevens, aku meletakkan harapan tersendiri terhadap biografi beliau yang pertama dibukukan secara rasmi. Sejujurnya aku tidak berpuas hati. Latar kehidupan ketika membesar, permulaan karier muzik, pengalaman di hospital dan fasa kedua karier muzik (selepas pulih daripada tuberculosis) hanya diceritakan secara umum dan ringkas!

Kulit album Tea for the Tillerman (1970) hasil lukisan Cat Stevens.

Bagi mereka yang baru bermula untuk berkenalan dengan Yusuf / Cat Stevens, sudah pasti mereka berasa cukup dan berpuas hati. Baiklah. Apabila disemak semula, Yusuf Islam telah pun menyatakan pada hujung bab pertama bahawa buku ini menceritakan latar ringkas perjalanan yang beliau lalui daripada keadaan jahiliyyah kepada Islam dan yang penting tentang mengapa beliau masih memetik gitar. Nampaknya beliau memang tidak berhasrat untuk bercerita panjang lebar tentang karier awal muzik dan perjalanan kerohanian yang beliau lalui sebelum mula mengenal Islam. Sayang sekali kerana masih terdapat kisah-kisah yang membentuk keperihalan jiwanya tidak dinyatakan.

Untuk pengetahuan, Yusuf Islam sudah pernah menulis beberapa artikel mengenai hidup beliau. Antaranya ialah Journey in the Search of the Centre of the Universe yang telah disiarkan di laman web spiritual beliau. Artikel lama bertajuk How I Came to Islam juga menarik untuk dibaca. Selain itu, saluran TV seperti VH1 dan BBC telah pun menerbitkan dokumentari tentang hidupnya dan masing-masing menjelaskan mengapa beliau kembali menyanyi dan bermain muzik. Bahkan, sebuah artikel mengenai penggunaan muzik untuk tujuan dakwah bertajuk Music: A Question of Faith or Da’wah juga telah ditulis oleh beliau. Lalu apa lagi yang beliau mahu sampaikan melalui buku ini?

Nantikan bahagian seterusnya, insya-Allah..

 

8 comments:

  1. owh ada versi english, yg pckokak hari tu versi melayu...

    ReplyDelete
  2. Boleh tahan juga ceritanya..hadoi..tak boleh jadi ni nak kena cari jugak ni

    ReplyDelete
  3. kat mph city square JB aku jumpa versi BM...aku tak beli...aku nak tunggu versi BI...tak syok kot kalau baca buku terjemahan ni...

    ReplyDelete
  4. pergh ni buku versi BI kulit keras nih...

    buku ni bercerita pasal sejarah Yusuf Islam dari segi kembali kepada Islam, kekeluargaan, kerier muzik, etc.. dan jawapan 'mengapa Yusuf Islam masih memetik gitar' sedangkan sesetengah pendapat menyatakan muzik itu haram.

    aku baru je abis baca. buku ni memang berbaloi simpam.. senang kita nak buat rujukan sebab kita ni memang fitrah minat kat muzik ni hehehe...

    peace!

    ReplyDelete
  5. HARAPnya aku terbeli lah buku ni versi melayu nya.

    ReplyDelete