Wednesday, May 4, 2016

Ada Apa dengan Dr. MAZA?

Jadual majlis ilmu Masjid Sembilang yang diedarkan beberapa hari lepas mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat apabila salah seorang penceramahnya untuk bulan ini ialah Mufti Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA). Ada yang mengerutkan dahi, lalu mencemuh. Ada yang menerima dengan hati terbuka. Selebihnya mungkin tertanya-tanya, “Ada apa dengan Dr. MAZA?”

Jadual majlis ilmu Masjid Sembilang

Sebenarnya, aku sendiri terkejut kerana jarang melihat Dr. MAZA menyampaikan kuliah di masjid-masjid sekitar Pulau Pinang. Walaupun beliau anak kelahiran Pulau Pinang dan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia, gerak kerja beliau dilihat lebih sinonim dengan Perlis memandangkan sudah dua kali beliau menjadi mufti bagi negeri itu. Pendirian beliau dalam soal agama semestinya tidak lari daripada keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis. Misalnya, Perlis mempunyai tafsiran berbeza dalam hukum syarak kerana tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu. 

Namun, ini bukanlah masalah besar kerana enakmen negeri-negeri lain yang menyebut rujukannya mazhab Syafi’i tetap memperuntukkan pandangan mazhab muktabar yang lain sekiranya bercanggah dengan kepentingan awam. Contohnya, bayaran zakat fitrah menggunakan wang seperti yang diamalkan pada hari ini adalah daripada mazhab Hanafi kerana mazhab Syafi’i menggunakan makanan asasi. Menurut Dr. MAZA dalam diskusi Ekstremisme Agama di Malaysia, Perlis antara negeri terawal yang membolehkan bayaran zakat fitrah menggunakan wang.

Pernah seorang kawan berkata, “Aku dengar orang kata Dr. MAZA sesat.” Tuduhan ini biasa dilemparkan kepada beliau. Secara umum, aku melihat pendapat-pendapat beliau masih mempunyai asas biarpun berbeza dengan faham kebiasaan masyarakat. Tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang aku kurang setuju. Misalnya, beliau seperti Salafi yang lain cenderung untuk tidak menggunakan kaedah takwil terhadap ayat-ayat mutasyabihat dan menganggap pendekatan golongan Asya’irah/Maturidiyyah dalam mengajarkan akidah Sifat 20 kepada orang awam sebagai tidak sesuai.

Buku-buku Dr. MAZA

Meskipun, tidak selayaknya Dr. MAZA dilabel sebagai sesat kerana pegangan beliau masih dalam kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Sebaiknya orang awam perlulah menghadapi situasi ini dengan ilmu dan adab. Beliau ilmuwan yang turut aktif menulis melalui laman web, buku-buku dan kertas kerja. Perkataannya seperti manusia lain yang boleh diambil dan ditinggal, melainkan perkataan Rasulullah . Suka untuk aku kongsikan di sini sebuah buku beliau yang aku kira menarik, ilmiah dan mudah didapati. Tajuknya, Fitnah terhadap Sahabat Rasulullah (2012)

Untuk pengetahuan, penulisan buku ini adalah berdasarkan tesis master beliau. Kandungannya bertujuan merungkai fitnah terhadap sahabat Rasulullah ﷺ yang sering disebarkan oleh golongan Syiah. Sudah maklum Syiah mempunyai akidah memburukkan generasi sahabat, bahkan sehingga ke tahap mengkafirkan sebahagian besar daripadanya. Antara modal mereka ialah peristiwa pertelingkahan sahabat selepas kewafatan Rasulullah ﷺ. Melalui buku ini, Dr. MAZA menyemak semula rekod sejarah dan menyingkap realiti menurut neraca al-Quran dan hadis.

Kembali kepada jemputan Dr. MAZA ke Masjid Sembilang, pada hemat aku usaha pihak masjid dalam mempelbagaikan penceramah jemputannya perlu disambut dengan hati yang terbuka. Aku berharap orang ramai dapat hadir memenuhkan ruang masjid sepertimana kedatangan selebriti Nasir Bilal Khan pada bulan lepas. Aku juga ingin mencadangkan kepada pihak masjid agar menyediakan sesi soal jawab baik secara langsung mahupun kiriman bertulis supaya para hadirin dapat mengambil peluang untuk bertanya dan memanfaatkan lagi kedatangan ilmuwan kontemporari ini.

P/S: Penjelasan mengenai sejarah aliran Asya’irah/Maturidiyyah dan Salafiyyah oleh Ustaz Aizam Mas’ud  (Pegawai Penyelidik JAKIM) boleh ikuti di SINI.