Saturday, May 19, 2012

Perihal Pendapat..

Hasil pergaulan dan pemerhatian aku dengan beberapa rakan samada di jalanan, warung ataupun facebook, antara yang aku dapat belajar ialah sudah menjadi fitrah manusia suka memberi pendapat. Bagusnya bila mendengar orang memberi pendapat ini antaranya kita akan 'dapat' sesuatu atau dalam erti kata lain, kita akan belajar sesuatu dari tuan yang memberi pendapat. Dalam masa yang sama kita dapat mengenal peribadinya.


Pernah aku ditanya oleh seorang rakan, katanya, "Hang tak takut ka kalau hang bagi pendapat, kemudian ada orang pertikai dan tak setuju dengan pendapat hang?" Umumnya apabila sesuatu soalan diajukan, adalah wajar untuk kita fahami terlebih dahulu kenapa soalan itu ditanya. Ketika itu, aku boleh faham kenapa dia bertanya kerana konteks perbualan kami pada dasarnya berkenaan masalah dalam memberi pendapat dan menerima pendapat. Rakan aku pula seorang yang suka berkongsi pendapat.

Balas aku, "Kalau hang nak bagi sesuatu pendapat, pertama sekali kena expect akan ada orang yang tak setuju dengan pendapat hang." Perkara ini sangat penting untuk kita ketahui kerana tidak boleh sepanjang masa kita mengharap orang suka dengan pendapat kita."Tapi kena juga tahu orang yang balas pendapat hang kekadang bukan niat dia nak menyangkal pendapat hang. Mungkin dia pun nak kongsi pendapat dia sepertimana hang berkongsi pendapat hang."


Sambung aku lagi, "Mungkin juga topik berkenaan pendapat hang tu satu topik yang dia suka." Biasanya orang yang memberi maklum balas pada topik yang dia suka merasakan dirinya arif dalam topik tu. Jadi ada baiknya juga kita cuba faham dan dengar pendapatnya dahulu. Mudah-mudahan kita dapat belajar sesuatu, tetapi andaikata betul dia menyangkal pendapat kita dan secara tidak puas hatinya mencela pula, pada aku demi menjaga persahabatan selain mengelakkan perselisihan yang berpanjangan, lebih baik kita diam atau iyakan saja pendapatnya.. haha!

Kesimpulannya, kalau berani memberi pendapat, kena juga berani menerima pendapat, dan sebelum memberi pendapat, biarlah pendapat yang diberikan itu sesuatu yang kita jelas dan faham. Kalau berkata kepada sesuatu yang kita tidak faham malah samar-samar, maka kurang adil jadinya pendapat itu, lebih teruk boleh menjadi fitnah pula. Sebaik-baiknya pendapat yang dikongsi itu ada input berguna dan dapat dimanfaatkan bersama, bukannya pendapat yang semata-mata menghukum dengan niat untuk memenangkan sebelah pihak sahaja.


 

Wednesday, May 16, 2012

Wordless Wednesday: Ais Kacang!

Lokasi: Mee Pokok Ceri Asli, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

P.S: Selamat Hari Guru kepada yang memilih kerjaya sebagai seorang guru. Oh ya, hari ni  juga adalah hari pemergian Ronnie James Dio, sudah masuk dua tahun rupanya..