Thursday, December 24, 2015

Mengenal Anak Cucu Rasulullah ﷺ

Penulisan entri ini diringkaskan daripada artikel Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff yang bertajuk Anak Cucu Nabi S.A.W. yang Dilupa dan Dipinggirkan. Artikel tersebut telah dimuatkan bersama artikel-artikel beliau yang lain di dalam sebuah buku berjudul, Siri Pemurnian Sejarah Awal Islam (Siri 3).



Anak-anak Lelaki Rasulullah ﷺ

1. Qasim

2. ‘Abdullah

3. Tayyib atau Thahir

4. Ibrahim

Anak sulong Rasulullah ﷺ ialah Qasim. Sebahagian ulama mengatakan Tayyib atau Thahir tak lain tak bukan ‘Abdullah jua. Ibrahim merupakan anak lelaki yang bongsu dan ibunya ialah Mariah al-Qibthiyyah. Selain Ibrahim, mereka ialah anak-anak Nabi ﷺ dengan Sayyidatina Khadijah. Para ulama tidak mengemukakan apa-apa kisah atau peranan anak-anak lelaki Nabi ﷺ kerana kesemuanya meninggal dunia ketika masih kecil. Kalau pun ada hanyalah peristiwa ketika berlakunya kematian mereka.

Anak-anak Perempuan Rasulullah ﷺ

1. Zainab (isteri Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’)

Zainab ialah anak perempuan sulong Nabi ﷺ. Beliau dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian dan merupakan anak perempuan yang paling utama berdasarkan sabda Nabi ﷺ yang bermaksud, “Dia adalah anak perempuanku yang paling utama, dia telah menderita keranaku.” Zainab ialah orang yang mula-mula sekali memeluk agama Islam daripada kalangan anak-anak gadis dan telah mendapat kesusahan kerana berhijrah di jalan Allah sehingga mengalami keguguran. Suaminya iaitu Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’ ialah anak saudara Sayyidatina Khadijah. 

2. Ruqayyah (isteri ‘Utsman bin ‘Affan)

Ruqayyah ialah anak perempuan kedua Rasulullah ﷺ. Beliau dilahirkan tujuh atau lapan tahun sebelum kenabian dan terkenal dengan kejelitaannya. Ruqayyah antara yang terawal menerima Islam seperti ibu dan adik beradiknya. Beliau dan suaminya, ‘Utsman bin ‘Affan menyertai hijrah pertama orang-orang Islam ke Habsyah pada tahun kelima kenabian. Pada tahun kedua Hijrah, Ruqayyah diserang penyakit cacar. Ketika itu juga berlangsungnya perang Badar dan demi menjaganya, ‘Utsman tidak mengikuti peperangan tersebut. Ruqayyah meninggal pada tahun yang sama.

3. Fathimah (isteri ‘Ali bin Abi Thalib)

Fathimah ialah anak perempuan ketiga Rasulullah ﷺ. Para ulama berbeza pendapat tentang tahun kelahiran Fathimah yang terkenal dengan gelaran az-Zahra ini. Pendapat yang betul ialah beliau dilahirkan lima tahun sebelum kenabian kerana bertepatan dengan hadits “inzar al-‘asyirah”. Fathimah berkahwin dengan ‘Ali bin Abi Thalib selepas perang Badar. Hasil perkongsian hidupnya dengan ‘Ali, mereka telah mendapat lima orang cahaya mata. Anak-anak mereka mengikut tertibnya adalah seperti berikut: (1) Ummu Kultsum (2) Zainab (3) Muhsin (4) Hasan (5) Husain. 

4. Ummu Kultsum (isteri ‘Utsman bin ‘Affan)

Anak perempuan Rasulullah ﷺ yang keempat atau yang bongsu ialah Ummu Kultsum. Rasulullah ﷺ menjodohkan Ummu Kultsum dengan ‘Utsman bin ‘Affan setelah Ruqayyah meninggal dunia. Itulah sebabnya ‘Utsman digelar “Zun an-Nurain” (yang memiliki dua cahaya). Pemilihan ‘Utsman buat kali kedua sebagai menantu Rasulullah ﷺ adalah berdasarkan wahyu daripada Allah sebagaimana sabdanya, “Tidak aku kahwinkan Ummu Kultsum dengan ‘Utsman setelah mendapat wahyu dari langit.” Ummu Kultsum meninggal pada tahun kesembilan Hijrah.

Cucu-cucu Lelaki Rasulullah ﷺ

1. ‘Ali bin Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’

‘Ali bin Abu al-‘Ash ialah cucu pertama Nabi ﷺ yang lahir sekitar tujuh atau lapan tahun sebelum Hijrah. Selepas dua tahun penyusuan, Rasulullah ﷺ meminta Zainab untuk memeliharanya. Rasulullah ﷺ sangat menyayangi cucunya ini dan selalu membawanya ke setiap tempat penting. Misalnya pada peristiwa pembukaan Mekah, Nabi ﷺ memboncengkan ‘Ali di belakang untanya. Nabi ﷺ juga menyuruh ‘Ali naik ke atas bahunya untuk membersihkan bahagian dalam Ka’bah daripada berhala-berhala. Cucunda Nabi ﷺ ini syahid dalam perang Yarmuk pada tahun 15 Hijrah.

2. ‘Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Affan

‘Abdullah ialah anak Ruqayyah dengan ‘Utsman bin Affan yang lahir di Habsyah. Mulai saat itu, ‘Utsman lebih senang dipanggil Abu ‘Abdillah. ‘Abdullah kemudiannya digelar ‘Abdullah al-Akbar. Ramai ahli sejarah terpengaruh dengan cerita bahawa ‘Abdullah meninggal dunia pada tahun keempat Hijrah ketika berumur enam tahun akibat muka atau matanya dipatuk bapa ayam. Cerita tersebut bertentangan dengan akal. ‘Abdullah masih hidup sampai ke zaman ‘Ali bin Husain yang lahir pada tahun 38 H, bahkan telah menjadi guru kepada ‘Ali yang digelar Zainal ‘Abidin itu.

3. Muhsin bin ‘Ali bin Abi Thalib

Muhsin hanya tersenarai sebagai anak ketiga Fathimah dengan ‘Ali bin Abi Thalib tanpa ada apa-apa kisah berkenaannya. Tertib kelahiran adik-beradiknya yang lain telah pun dinyatakan sebelum ini. Berbeza dengan pendapat konvensional yang menganggap tertib kelahiran mereka begini: (1) Hasan (2) Husain (3) Muhsin (4) Zainab (5) Ummu Kultsum. Dikatakan Hasan lahir pada tahun ketiga Hijrah, Husain tahun keempat Hijrah, Muhsin tahun kelima atau keenam Hijrah, Zainab tahun ketujuh Hijrah dan Ummu Kultsum tahun kelapan, kesembilan atau kesepuluh Hijrah. 

4. Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib

Hasan ialah anak keempat Fathimah dengan ‘Ali bin Abi Thalib mengikut tertib kelahiran yang betul. Dakwaan bahawa Hasan ialah anak sulong Fathimah yang lahir pada tahun ketiga Hijrah sama sekali tidak berasas. Berdasarkan kesepakatan ulama, bidan yang menyambut kelahiran Hasan ialah Asmaa’ binti ‘Umais. Asmaa’ telah berhijrah ke Habsyah dan hanya sampai ke Madinah selepas perang Khaibar pada tahun ketujuh Hijrah. Justeru, paling awal Hasan dilahirkan pada tahun ketujuh Hijrah dan berumur tidak lebih daripada empat tahun ketika Baginda ﷺ wafat.

5. Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib

Husain ialah adik kepada Hasan. Dakwaan bahawa Husain ialah anak kedua Fathimah yang lahir pada tahun keempat Hijrah sudah tentu tidak munasabah setelah mengetahui abangnya lahir paling awal pada tahun ketujuh Hijrah. Ibu susuan Husain ialah Ummu al-Fadhl iaitu isteri kepada ‘Abbas. Ummu al-Fadhl tinggal di Mekah sehingga tahun pembukaan Mekah iaitu tahun kelapan Hijrah. Menurut perkiraan, beliau tiba di Madinah pada tahun kesembilan Hijrah. Oleh itu, dapat diputuskan bahawa Husain ialah anak bongsu Fathimah yang lahir pada tahun kesembilan Hijrah.

Cucu-cucu Perempuan Rasulullah ﷺ

1. Umamah binti Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’

Umamah merupakan cucu kedua Rasulullah ﷺ. Kitab-kitab hadits sering menceritakan kisah seorang cucu perempuan Nabi ﷺ yang selalu didukungnya ketika sedang solat. Cucu perempuan Nabi ﷺ itu ialah Umamah binti Abu al-‘Ash. Betapa istimewanya Umamah dapat dilihat pada satu peristiwa di mana Baginda ﷺ mendapat kalung yang sangat bernilai. Nabi ﷺ bersabda, “Aku akan memakaikannya kepada ahli keluargaku yang tercinta.” Lalu Baginda ﷺ memanggil cucunya, Umamah dan memakaikan kalung tersebut di lehernya dengan penuh kasih sayang. 

2. Ummu Kultsum binti ‘Ali bin Abi Thalib

Ummu Kultsum ialah anak perempuan sulong Fathimah dan ‘Ali yang lahir pada penghujung tahun ketiga Hijrah atau pada tahun keempat Hijrah. Ummu Kultsum ini kemudiannya telah menjadi isteri Sayyidina ‘Umar dan mereka mendapat dua orang anak iaitu Zaid dan Ruqayyah. Kesediaan ‘Ali bermenantukan ‘Umar merupakan bukti paling kuat tentang tidak adanya sebarang permusuhan di antara mereka berdua seperti yang didakwakan oleh golongan Syi‘ah. Ummu Kultsum antara yang menjadi saksi pembunuhan adik bongsunya, Husain oleh orang-orang Syi‘ah sendiri.

3. Zainab binti ‘Ali bin Abi Thalib

Zainab ialah anak kedua Sayyidatina Fathimah. Zainab berkahwin dengan sepupunya iaitu ‘Abdullah bin Ja’far bin Abi Thalib. Namun, mereka bercerai kerana perbezaan pendapat dalam soal mengikuti Husain ke Kufah untuk memberontak terhadap khalifah semasa, Amirul Mu’minin Yazid bin Mu‘awiyah. Setelah sampai ke Karbala’, Zainab berasa amat tertipu dengan orang-orang Syi‘ah Kufah kerana mereka sendiri bertindak membunuh saudara-maranya. Zainab kemudian berangkat ke Syam atas jemputan khalifah Yazid dan menetap di sana hingga ke akhir hayatnya.

P/S: Untuk pengetahuan, artikel asal lebih terperinci dengan rujukannya yang pelbagai sehingga berjumlah hampir 70 m/s. Selain memperkenalkan anak cucu Rasulullah ﷺ yang jarang kita dengar, ianya bertujuan untuk menjelaskan penyelewengan yang berlaku terhadap sejarah hidup mereka. Penyelewengan tersebut mempunyai maksud tertentu dalam mengurangkan (discredit) sebahagian anak cucu Baginda ﷺ di samping melebihkan sebahagian yang lain. Hubungi Mohd Haazim (010-211 5951) untuk mendapatkan buku-buku Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff.