Saturday, May 19, 2012

Perihal Pendapat..

Hasil pergaulan dan pemerhatian aku dengan beberapa rakan samada di jalanan, warung ataupun facebook, antara yang aku dapat belajar ialah sudah menjadi fitrah manusia suka memberi pendapat. Bagusnya bila mendengar orang memberi pendapat ini antaranya kita akan 'dapat' sesuatu atau dalam erti kata lain, kita akan belajar sesuatu (ilmu pengetahuan secara umumnya) dari tuan yang memberi pendapat. Dalam masa yang sama kita dapat mengenal peribadinya.


Pernah aku ditanya oleh seorang rakan, katanya, "Hang tak takut ka kalau hang bagi pendapat, kemudian ada orang pertikai dan tak setuju dengan pendapat hang?" Bagi aku soalannya bagus. Bila sesuatu soalan diajukan, sewajarnya kita fahamkan kenapa soalan itu ditanya dan aku rasa aku boleh faham kenapa dia bertanya. Konteks perbualan kami ketika itu pada dasarnya berkenaan hal-hal dan masalah dalam memberi pendapat dan menerima pendapat. Rakan aku pula seorang yang suka berkongsi pendapat.

Balas aku, "Kalau hang nak bagi sesuatu pendapat, pertama sekali kena expect akan ada orang yang tak setuju dengan pendapat hang." Bagi aku itu antara perkara paling penting yang perlu kita tahu sebab kita tidak boleh mengharap sepanjang masa akan ada orang suka dengan pendapat kita."Tapi kena juga tahu orang yang balas pendapat hang kekadang bukan niat dia nak menyangkal pendapat hang. Mungkin dia pun nak kongsi pendapat dia sepertimana hang berkongsi pendapat hang."


Sambung aku lagi, "Mungkin juga topik berkenaan pendapat hang tu satu topik yang dia suka." Biasanya orang yang memberi maklum balas pada topik yang dia suka merasa dirinya arif dalam topik tu. Jadi ada baiknya juga kita cuba faham dan dengar pendapatnya dulu. Mudah-mudahan kita dapat belajar sesuatu tetapi andaikata betul dia menyangkal pendapat kita dan secara tidak puas hatinya menghukum pula, pada aku demi menjaga persahabatan selain mengelakkan perselisihan yang berpanjangan, lebih baik iyakan saja pendapat dia.. haha.

Kesimpulannya, kalau berani untuk memberi pendapat, kena juga berani untuk menerima pendapat orang lain. Dan sebelum memberi pendapat, biarlah pendapat yang diberikan itu sesuatu yang kita jelas dan faham. Kalau berkata kepada sesuatu yang kita tidak faham malah samar-samar, maka kurang adil jadinya pendapat itu, lebih teruk boleh menjadi fitnah pula. Sebaik-baiknya, pendapat yang dikongsi itu ada input berguna dan dapat dimanfaatkan bersama, bukannya pendapat yang semata-mata 'menghukum' dengan niat untuk memenangkan sebelah pihak sahaja.


 

Wednesday, May 16, 2012

Wordless Wednesday: Ais Kacang!

"Nampak simple tapi rasanya cukup bermakna.."

Lokasi: Mee Pokok Ceri Asli, Seberang Jaya, Pulau Pinang.

P.S: Selamat Hari Guru kepada yang memilih kerjaya sebagai seorang guru. Oh ya, hari ni  juga adalah hari pemergian Ronnie James Dio, sudah masuk dua tahun rupanya.. 
 

Sunday, April 22, 2012

Bersama Meor Pesta Jiwa..

Rasanya sudah hampir beberapa minggu aku bercadang untuk berjumpa dengan seorang lagi busker, Meor Yusof Aziddin dan akhirnya semalam bertemu juga kami di KL Sentral. Tujuan aku sekadar untuk membeli apa-apa album keluarannya berserta buku kedua hasil tulisannya sendiri iaitu Sembang Tepi Jalan: Syurga Yang Hilang


Seperti juga Nan Blues, Meor (atau aku panggil di sini sebagai abang Meor) bukanlah orang baru dalam dunia busker. Walaupun bermain muzik di jalanan, abang Meor boleh dikira sebagai  seorang yang aktif dalam berkarya. Sehingga kini sudah ada tujuh buah album solo dan satu album bersama kumpulannya, Society. Selain bermain muzik, abang Meor juga aktif menulis dan dikenali melalui blognya, Pesta Jiwa. 

Aku mula tahu pasal abang Meor melalui blognya. Dari situ juga aku dapat tahu yang abang Meor menggemari irama folk seperti Bob Dylan, Nick Drake, Cat Stevens serta puisi Jalaludin Rumi, tapi sayang, waktu itu aku belum familiar dengan dunia blog. Jadi aku tak begitu mengikuti hasil tulisannya sehinggalah aku terbeli album Dari Rakyat Untuk Rakyat dan buku pertama Sembang Tepi Jalan.

Suasana busking di sekitar KL Sentral
 
Berbalik kepada pertemuan kami, abang Meor kebiasaannya memang busking di KL Sentral. Jadi aku  tengok dulu abang Meor main beberapa lagu sebelum mendapatkan buku terbarunya. Aku ambil sekali album Yang Terlintas Di Fikiran. Sebenarnya, aku berharap untuk beli album Itu Padang...Aku Di Situ, satu album yang dikira sebagai masterpiece, tapi rezeki aku tiada. Katanya, album itu sudah habis.

Abang Meor ajak aku minum. Katanya,  pukul 7 dia akan break sekejap sebelum sambung balik busking. Rasa segan pun ada sebab aku bukanlah orang yang pandai berbual tetapi banyak pula yang kami bualkan. Kebanyakannya berkisar tentang muzik, kehidupan dan secara tak langsung menyentuh aspek ketuhanan. Aku suka cara abang Meor berfikir, pandangannya sangat berbeza dengan orang lain yang pernah aku temui.

Lagu "Yang Terlintas Di Fikiran" bersama Azmyl Yunor

Aku rasa cukup sebagai pengenalan mengenai abang Meor. Selepas ini aku kena bertolak ke Pulau Pinang.  Ingin tahu dengan lebih lanjut atau berhasrat untuk beli album dan bukunya, bolehlah melawat blog Pesta Jiwa atau facebook page Meor Yusof Aziddin. Untuk pengetahuan, album dan bukunya tak ada dijual di kedai, semua dibikin sendiri tanpa melalui mana-mana major label.

Saturday, April 7, 2012

Bersama Nan Blues..

Semalam aku upload satu video di youtube, video Nan Blues (atau aku panggil sebagai abang Nan) busking di Central Market dengan lagu "Sesat di Kuala Lumpur". Nyanyian asal oleh M. Nasir dengan kumpulannya Kembara. Video dirakam tiga tahun lepas oleh kawan aku, Izan ketika kami singgah di Kuala Lumpur.


Bagi sesetengah orang, mungkin video tu tak ada yang menarik pun. Kualitinya tak cantik, rakam pun tak penuh (sekejap saja) tapi bila tengok video tu aku dapat rasa kembali dengan jelas pengalaman melihat abang Nan busking secara live. Di tempat asal aku Pulau Pinang, belum pernah lagi aku tengok orang busking begitu.

Abang Nan bermain gitar lengkap dengan amp dan juga harmonika. Seingat aku, dia ada nyanyi lagi dua lagu kesukaan aku, "Knockin' On Heaven's Door" dan "Like a Rolling Stone", nyanyian asal oleh Bob Dylan. Mungkin sebab tu aku tak boleh lupa pasal abang Nan. Bagi aku, abang Nan lebih hebat dari penyanyi asal, Bob Dylan mahupun M. Nasir.


"Sesat di Kuala Lumpur"
Central Market


Tujuan aku upload video tu sekadar ingin berkongsi kepada yang menghargai pemuzik jalanan seperti abang Nan, apatah lagi aku dapat tahu suasana busking sudah tiada di Central Market. Selepas upload, aku cari di internet perkembangan abang Nan dan aku dapat tahu yang dia akan main untuk satu program di PKNS, Shah Alam. Apa lagi, esoknya aku terus pergi..

Diringkaskan, tadi abang Nan ada main lagu "Blowin' in the Wind", "Busker Blues", "Kupu-kupu", "Blues Untuk Rakyat" dan beberapa lagi lagu yang aku tak ingat tajuknya. Seronok tengok abang Nan, selang satu lagu dia akan bercerita mengenai lagu yang akan dimainkannya. Lebih menarik lagi abang Nan bersetuju memainkan lagu permintaan aku, "Sesat di Kuala Lumpur".


Saturday, March 24, 2012

Majlis Pelancaran Travelog Rabak

Pagi tadi aku bangun baca blog Hilal, orang kampung aku (yang sekarang tengah hot kat tv pasal masuk rancangan "On Air" Astro Ria), dia beritahu pasal Majlis Pelancaran Travelog Rabak. Travelog Rabak ni satu buku hasil nukilan Mohd Jayzuan bersama rakan dia Shima Scarlett dan Seyn.

Kalau tak kenal Jayzuan, buku pertama dia 28 Hari: Jurnal Rock n Roll ada diulas dalam blog Krenmaut. Aku memang tertarik dengan buku pertama dia, buku kedua pun aku dah baca. Jadi aku tak fikir panjang untuk ke majlis pelancaran buku terbaru dia di Central Market, Kuala Lumpur.


Ditemani Wan (housemate aku), kami bertolak menaiki KTM dan sampai dengan selamat tapi yang menjadi masalah, aku tak tau lokasi yang tepat untuk majlis tu. Aku tak berapa familiar dengan Central Market, pernah datang tiga tahun lepas tapi sekadar lalu lalang sambil tengok orang busking. Baru sekarang aku nak explore.

Nasib baik terserempak dengan sorang brader berbadan besar pakai baju Projek Rabak. Aku pun tanya lokasi dan dia pun tunjuk arah dengan sopan, tapi ada satu perkara yang bermain di fikiran aku. Rasa macam kenal, rupa-rupanya senior sekolah aku dulu. Bule nama dia. Katanya nanti jumpa di atas, dia nak ke tandas dulu.

Aku terus ke lokasi majlis yang terletak di Annexe Gallery. Sebelum tu aku sempat rembat cd They Will Kill Us All dan album terbaru Carburetor Dung. Majlis baru saja bermula. Ada beberapa muka yang aku pernah tengok antaranya Aidil dari band Couple dan Muski Kuda Hitam pelakon dalam filem Bunohan. Oh ya, Bunohan memang terbaik!


Tanpa membuang masa, Jayzuan dipanggil oleh pengacara majlis naik ke pentas dan disusuli oleh Shima dan Seyn. Malang sekali, Seyn tak diberi tempat duduk. Aku tau majlis tu santai tapi ada ka patut.. Kemudian sesi temubual pun bermula. Masing-masing bercerita sedikit sebanyak pasal Travelog Rabak yang berkisar tentang kisah pengembaraan mereka.

Aku tak berapa fokus. Sebenarnya aku tak puas hati dengan pengacara majlis tu sebab layanan dia kepada Shima agak kureng. Apa boleh buat, mungkin dia nak mengejar masa untuk dua buku lagi yang majlis pelancarannya dilakukan pada masa yang sama. Aku keluar ambil angin dulu lepas habis sesi Travelog Rabak dan masuk balik hinggalah majlis selesai sepenuhnya.

Selesai saja majlis, aku pun cari buku Travelog Rabak untuk dibeli. Aku beli sekali buku Kuala Lumpur, Aku Okay. Buku Sang Bohemian pula aku beli untuk Fix Dervish sebab dia dah pesan. Pusing lagi di Annexe Gallery, jumpa buku Punk Rock: Disebalik Fesyen dan Muzik Bising. Ah, ini buku memang sesuai untuk orang yang buta muzik dan poser seperti aku!


Sekarang masa untuk minta sign dari Jayzuan dan rakan-rakan. Peminat tipikal macam aku memang nak sign, baru la boleh menunjuk kepada orang di kampung macam Fix Dervish (jangan marah..hehe).  Jumpa Jayzuan terus aku minta dia sign sambil mengeluarkan dua lagi buku dia yang aku bawa dari rumah. Dia pun bagi reaksi, katanya aku tak cukup satu lagi buku, Nota-Nota Gila. Itu buku memang limited.

Aku sempat bertanya pasal ilham di sebalik nama Syd Jamal, watak utama dalam buku Anarki di Kuala Lumpur. Sebelum ni aku ada buat andaian sendiri pasal nama Syd yang mungkin diilhamkan oleh Syd Barrett, frontman Pink Floyd di era awal mereka. Jayzuan membenarkan kata-kata aku. Aku tau dia memang suka lagu solo Syd Barrett, manakala Jamal pula sekadar untuk melengkapkan nama punk rocker Kuala Lumpur itu.


Alang-alang Shima ada di situ, aku pun terus minta dia sign sekali. Aku rasa Shima mungkin ada dalam kisah kembara buku pertama Jayzuan. Kena rujuk balik, aku pun dah tak ingat. Berbaju Pink Floyd, gadis ni memang menarik perhatian aku. Aku pun tegur pasal baju Pink Floyd Darkside of the Moon yang dia pakai.

Jayzuan menyampuk, katanya kepada Shima, aku baru saja tanya pasal Syd Barrett. Aku rasa Shima pun layan lagu Syd Barrett. Ini yang buat aku tak sabar nak baca hasil tulisan dia nih! Jayzuan dengan Shima memang baik orangnya cuma aku yang tak pandai nak bergaul dengan orang. Damn.. haha. Apa pun, nice to meet you Jay and Shima!


Aku keluar dari Annexe Gallery dan pergi bersembang dengan Bule, senior sekolah aku yang jumpa awal tadi. Aku kagum dia boleh ingat lagi nama aku sedangkan aku hampir lupa nama dia, tapi muka memang aku ingat. Kebetulan Seyn ada situ. Aku pun minta dia lengkapkan koleksi tandatangan Travelog Rabak.

Seyn terkejut, dia ingat aku datang dari Penang semata-mata untuk beli buku ni tapi aku perbetulkan balik. Aku memang asal dari Penang tapi sekarang tinggal di Shah Alam. Seyn orang Perak. Katanya dia selalu lepak di Ipoh. Seyn memang cool tapi aku tinggalkan dia untuk beri peluang kepada orang lain minta autograf.


Aku pulang dengan Wan, sekali lagi dengan menaiki train, berdiri di sepanjang perjalanan sampai longgar lutut tapi dengan hati yang gembira. Kepada yang ingin membeli buku keluaran Mohd Jayzuan bolehlah menghubungi Sang Freud Press di facebook rasminya.

Saturday, March 3, 2012

Kembara Kaboi Tanduk di Pulau Pinang: KOMTAR

Agak lama aku nak buat sambungan episod Kembara Kaboi Tanduk di Pulau Pinang disebabkan beberapa masalah. Tak ada apa yang istimewa pun kisah kembara ni, aku cuma datang ke Pulau Pinang disebabkan sedang bercuti dan aku sendiri berasal dari Pulau Pinang.


Lokasi yang dipilih untuk episod kembara kali ini ialah Komtar. Biasanya kalau nak mencari bahan yang berkaitan dengan muzik, aku tak pergi Komtar. Komtar terletak di bahagian pulau (aku tinggal di Seberang Prai) dan Komtar dipilih disebabkan Seberang Prai sudah tiada lagi kedai muzik yang menepati citarasa aku.


Tanpa membuang masa, aku bersama Wajib Ali terus singgah ke Dead Beat Shop yang terletak di tingkat empat. Mungkin ada yang pernah terbaca iklan Dead Beat Shop dalam majalah Karisma. Kedai ni menjual t-shirt yang original serta barangan sampingan lain yang berkaitan dengan rock/metal.


Perniagaan ini sebenarnya dijalankan oleh pasangan suami isteri iaitu Dzul dan Jill. Menurut Dzul, Dead Beat Shop baru beroperasi lebih kurang dua tahun. Aku ada berminat dengan beberapa baju tapi buat masa ini sumber kewangan agak terhad. Jadi aku memilih untuk beli cd saja.


Hasil godekkan aku di kotak cd, akhirnya aku memilih satu cd dari Shamanic Rites, dua cd dari Au Revoir, promo EP Brabazom dan split cd Manggas/Maar. Wajib Ali pula sibuk buat special request suruh Dzul cari baju Iron Maiden yang dia nak. Semoga dapat apa yang diidamkan.


Dead Beat Shop dibuka dari pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam. Kepada yang berminat untuk tengok t-shirt yang dijual bolehlah ke laman web rasminya di SINI. Dead Beat Shop pun ada blog dan link dia ada diletakkan di sebelah. Terima kasih kepada Dzul atas layanan anda.


Seterusnya aku ke kedai berhampiran dengan Dead Beat Shop. Agak hairan dengan kedainya yang nampak lain, rupa-rupanya kedai bundle sebelum ini baru saja diambil alih oleh Ethic (juga kedai bundle). Banyak stok baru masuk dan menariknya ada baju dijual serendah RM1.


Aku singgah tak lama di Ethic sebab aku nak turun ke tingkat tiga untuk singgah satu lagi kedai Ethic. Lokasi dia agak tersorok tapi nasib baik ada signboard. Ethic di tingkat tiga sebenarnya adalah lokasi asal dan ruangnya agak kecil berbanding cawangan baru di tingkat atas.


Aku tak beli apa-apa di Ethic. Banyak masa dihabiskan dengan berbual bersama Victor, seorang pekerja Ethic yang agak peramah. Berseluar pendek dan berselipar jepun, Victor sekali pandang tak seperti seorang metalhead tapi perbualan kami hampir sepenuhnya berkaitan dengan metal.


Menurut Victor, kedai Ethic sebenarnya adalah kepunyaan salah seorang anggota kumpulan Dark Nirrajim. Kedai ini sudah beroperasi hampir 5 tahun. Waktu perniagaannya pula adalah dari pukul 12.00 tengahari sampai 8.00 malam dan dibuka pada setiap hari.


Kemudian aku singgah pula dB Music Centre di tingkat yang sama. Biasanya orang panggil Kedai Auntie. Macam familiar? Sebenarnya tiada kaitan dengan satu lagi Kedai Auntie di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur. Untuk pengetahuan, kedai ini sudah beroperasi sejak dari tahun 1978 lagi.


Aku melawak dengan Auntie kononnya nak interview dia. Auntie malu tersipu. Katanya lebih baik aku interview Uncle yang kebetulan ada di kedai. Uncle datang dengan penuh yakin, dia sudah biasa ditemubual antaranya dari Tony Fernandes yang ketika itu menjadi pengurus Warner Music.


Ceritanya lagi, dia pun hairan kenapa dipilih oleh Tony Fernandes sedangkan kedainya sangat kecil tapi Tony Fernandes memberi alasan kerana pengalaman Uncle dalam berniaga. Kata Uncle, ada tiga perkara yang dia sentiasa tekankan dalam berniaga iaitu kesabaran (patient), masa (time) dan perkhidmatan (service) yang bagus.


Uncle menambah, kepercayaan (trust) juga satu faktor yang sangat penting. Kalau pelanggan hilang kepercayaan, mana mungkin business boleh bertahan. Sebelum aku pergi, uncle ada beri pendapat mengenai muzik. Katanya, tiada batasan umur untuk mendengar muzik dan muzik tidak akan mati.

Kedai dB Music Centre banyak menjual album classic rock dan metal dari dalam dan luar negara. Aku sempat rembat album terbaru Love Me Butch, Worldwide Transgression. dB Music Centre sedia menerima tempahan dan Uncle boleh dihubungi melalui emailnya, dbkeong@yahoo.com atau boleh terus melalui telefonnya (04-2629170).

(akan bersambung)

Wednesday, February 1, 2012

Kembara Kaboi Tanduk di Pulau Pinang: Restoran Wajib Ali

[Nota: Aku baru perasan entry ni tak boleh view sepenuhnya kalau pakai Internet Explorer. Pastikan anda menggunakan browser lain seperti Firefox atau Google Chrome sehingga nampak gambar sepinggan nasi kandar berlauk gulai ikan dan telur dadar]

Empat jam perjalanan dari Klang, akhirnya aku tiba di Pulau Pinang pada pukul 11.45 pagi. Aku terus singgah ke Restoran Wajib Ali, sebuah restoran nasi kandar yang terletak di Butterworth, Pulau Pinang. Tujuan ingin berjumpa seorang sahabat sekolah rendah aku, Wajib Ali.


Kami satu kelas dari darjah 1 sampai darjah 6. Bila berjumpa, memang banyak benda yang dia nak cerita terutama sekali pasal filem. Jangan terkejut, Wajib Ali seorang peminat filem P. Ramlee dan menyimpan cita-cita untuk menjadi pengarah filem, juga ingin mengeluarkan novel thriller ala Stephen King.

Sambil bercerita pasal filem terkini, dia menghidangkan lauk istimewa hari Khamis kedainya. Nasi kandar berlauk gulai anak ikan dengan kari pekat secukup rasa, dimakan dengan telur dadar dan ditambah pula dengan rasem (sup herba), memang puas hati! Susu lembu biasanya menjadi minuman aku bila singgah di kedai dia.

Restoran Wajib Ali yang dibuka oleh bapanya sudah bertapak di Pulau Pinang selama 24 tahun. Antara nasi kandar yang berkualiti lauknya pada pendapat aku. Kalau bercuti di Pulau Pinang, jangan lupa singgah ke restoran dia. Lokasi berhampiran bangunan Maybank, simpang nak masuk jeti (feri) dan stesen bas Butterworth.

Andai kata Wajib Ali ada di kedai, jangan segan untuk kenalkan diri sebagai pembaca Kaboi Tanduk. Insyaallah akan mendapat layanan yang lebih istimewa, makan free tak boleh jamin.. ;)

(akan bersambung)