Bersama Stratovarius, Tolkki menempa nama ketika zaman kemuncak kegilaan menggoreng gitar. Kepantasan beliau bermain gitar dengan pelbagai teknik sememangnya tidak dapat dinafikan. Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Guitar World, Tolkki termasuk dalam senarai "The 50 Fastest Shred Guitarists of All Time." Cuba dengarkan lagu "Speed of Light" daripada album Episode.
Selain pantas bermain gitar, beliau juga pantas dalam menulis lagu. Pada bulan Julai yang lepas, Tolkki ditemu bual dalam satu podcast yang dihoskan oleh Francesco Paoli (Fleshgod Apocalypse). Apabila berbicara tentang lagu-lagu yang ditulisnya, Tolkki berkata, "Most of the songs, I write very fast. About 15 to 20 minutes it takes."
Tolkki memberi contoh lagu Stratovarius yang paling hit iaitu "Black Diamond." Menurut beliau, lagu tersebut hanya ditulis dalam masa lima minit. Ia kedengaran tidak masuk akal. Beliau menerangkan hal ini dengan berkata, "I am a channel, so I received complete songs. Many classical composers—Beethoven—they were like this. They got whole compositions at once and they just wrote them down."
Beliau percaya seolah-olahnya terdapat bank universal yang menyimpan lagu-lagu dan dari situlah beliau menerimanya. Oleh sebab itu, beliau mampu menulis banyak lagu dalam masa yang sangat singkat. Bahkan, Tolkki mendakwa keseluruhan album Visions yang memuatkan lagu "Black Diamond" ditulis dalam masa sehari setengah sahaja!
Perkara ini diakui oleh Jörg Michael, bekas pemain dram Stratovarius dalam satu podcast yang lain. Beliau masih mengingati bagaimana Tolkki berpesan supaya jangan mengganggunya sewaktu mula menulis album Visions. Lalu, kata Michael, "I was thinking he is going in the woods now and writing this record for the next three weeks. One and a half days later, 'It's ready. Here are the demos.'"
Visions mendapat sambutan yang sangat baik dan dianggap sebagai salah satu album terhebat dalam genre power metal. Loudwire misalnya meletakkan Visions di tangga keenam dalam senarai "Top 25 Power Metal Albums of All Time." Metal Hammer pula meletakkan album tersebut dalam senarai "The 10 Essential Power Metal Albums."
Tolkki membuktikan karya yang hebat tidak semestinya memerlukan penciptanya memerah otak. Karya seperti ini terhasil melalui sumber intuisi (gerak hati). Ia berlaku spontan tanpa penaakulan secara sedar. Bak kata Michael, "Everybody says, 'Visions is so great! Visions is so great!' He was not even thinking about it writing it. . . . Because when you try to express yourself, then you don't think."
Biarpun kelihatan mudah berkarya, Tolkki menempuh hidup yang sukar. Semasa berumur 12 tahun, bapanya membunuh diri dengan terjun dari bangunan tidak jauh dari sekolahnya. Tolkki hampir menyaksikannya. Ia meninggalkan kesan yang mendalam dan berpanjangan sehingga menyebabkannya menjalani psikoterapi bertahun-tahun sebelum disahkan menghidap penyakit bipolar.
Memandangkan beliau menulis banyak lagu Stratovarius, sudah tentu lagu-lagu itu mencerminkan keadaan dirinya. Selepas Visions, beliau menghasilkan album Destiny yang kedengaran lebih gelap dan murung. Menurut Tolkki, ketika itu rumah tangganya bergolak. Pada masa yang sama, beliau sedang menyiasat kes kematian bapanya bagi merungkai segala persoalan yang terbungkam.
Hal itu bukanlah satu kekurangan. Malah, kejujuran Tolkki dalam berkarya menjadikan Destiny salah satu album terbaik Stratovarius. Lagu pembukaan bertajuk "Destiny" memuatkan irama yang pertama kali digubah oleh beliau sewaktu pemergian bapanya. Irama itu dinyanyikan oleh penyanyi koir Cantores Minores, sebuah kumpulan koir yang pernah disertainya semasa kanak-kanak.
Kemudian, Infinite menyusul dan diikuti Elements Pt. 1. Kedua-dua album tersebut menjadi kesukaan Tolkki kerana ia dipengaruhi oleh proses terapeutik yang dialaminya. Beliau menulis dalam autobiografinya, "I do not think I would be alive today without therapy and what it gave me. It didn’t really rescue me, I rescued myself. But it made me understand myself better."
Namun, semasa pembikinan album self-titled Stratovarius atau yang juga dikenali sebagai Black Album, Tolkki terjerumus ke dalam dunia psikosis. Ia satu tahap di mana seseorang terputus dengan dunia nyata. Beliau sendiri terkejut berjaya menyiapkan album tersebut. Beliau cuba untuk merakamkan sebuah lagi album bersama Stratovarius tetapi usaha itu gagal di pertengahan jalan.
Setelah meninggalkan Stratovarius, Tolkki membentuk kumpulan Revolution Renaissance dan Symfonia. Kedua-duanya tidak kekal lama. Menerusi projek Avalon, beliau menghasilkan tiga buah album metal opera dengan Return to Eden dikeluarkan pada tahun lepas. Dalam perkembangan terbaru, Tolkki mengasaskan sebuah kumpulan yang dinamakan sebagai Infinite Visions.
Rujukan
- Guitar World Staff. (2015, March 11). Need for speed: The 50 fastest shred guitarists of all time. Guitar World.
- Nuclear Blast Records. (2020, July 11). Saturday night lockdown ep #14: Francesco w/ Timo (Infinite Visions), Brittney (Unleash the Archers) [Video]. YouTube.
- Rat Salad Review. (2020, March 30). The Timo Tolkki podcast episode 15- Special guest Jorg Michael [Video]. YouTube.
- DiVita, J. (2017, July 5). Top 25 power metal albums of all time. Loudwire.
- Lawson, D. (2016, October 19). The 10 essential power metal albums. Metal Hammer.
- Tolkki, T. (2010) Loneliness of a thousand years. Goldenworks.
- Rat Salad Review. (2020, February 9). The Timo Tolkki podcast episode 11- Destiny [Video]. YouTube.
Aku agak kemaruk dengan genre power metal pada penghujung 90an dan awal 2000, Stratovarius adalah antara yang menjadi puncanya...
ReplyDeleteTerbaik. Aku baru nak berjinak2.. huhu
Deletewould you stay with me, forever
ReplyDeleteterus masuk youtube dengar.. haha
terbaik posting, bipolar, terimakaseh kerana ingatkan kita semua, nobody is perfect, dan kita harus terima sesama insan kelebihan dan kekurangan nya
Terima kasih jugak kerana membaca. Tolkki ada sebut pasal lagu "Forever" dalam autobiografi dia. Dia kata, "This song was really composed for my father."
Deleteulasan yang mantap. lagu Black Diamond tu skali dgr trus melekat dlm kepala
ReplyDelete🤘
ReplyDelete