Tuesday, April 21, 2015

Socrates: Ahli Hikmah yang Mulia dan Zuhud

The way it began was that somebody had asked the Oracle at Delphi (always a bad idea) whether there was anyone in Greece wiser than Socrates.

‘No,’ came the answer. (Less obscure than many Delphic pronouncements, but troublemaking nonetheless.)

Socrates was shocked, because he knew that he wasn’t wise, so he set about looking for people who were wiser than he was. He asked an important priest to define piety.

‘It means honouring the gods and doing their will,’ said the priest.

‘But we have lots of gods,’ said Socrates, ‘and our myths say that they often quarrel among themselves. If two gods are quarrelling, which of them do I honour?’

There was, of course, no answer for that.
Petikan dialog Socrates (470-399 SM) di atas aku ambil daripada buku A Classical Education (2013) oleh Caroline Taggart. Buku ini menceritakan banyak perkara tentang zaman klasik Greek dan Roman yang disampaikan dengan ringkas dan santai. Terdapat 10 bab bermula dengan The Wordy Stuff: Classical Languages, The Made-Up Stuff: Religion and Mythology, A Detour: Crete, The Old Stuff I: Ancient Greek History, The Old Stuff II: Roman History, The Posh Stuff: Classical Literature, The Fancy Stuff: Architecture and Art, The Clever Stuff I: Math, Sciences and Invention, The Clever Stuff II: Philosophy and the ‘Liberal Arts’ dan yang terakhir, A Bit of Light Relief: The Games. Baru dibeli bulan lepas. Terima kasih Big Bad Wolf Sale 2015!

A Classical Education (2013)

Kembali kepada Socrates, beliau dikatakan sebagai bapa kepada falsafah Greek selain muridnya, Plato. Kemudian, cara berfikir atau logik yang betul, bersifat formal dan sistematis disempurnakan oleh Aristotle. Berkenaan pendekatan yang diguna oleh Socrates, hal ini membuatkannya dituduh merosakkan pemikiran anak muda di Athens. Menurut Imam Shahrastani dalam bukunya, Agama dan Ideologi (al-Milal wa al-Nihal), Socrates ialah seorang ahli hikmah yang mulia dan zuhud. Beliau meninggalkan keseronokan dunia dan sibuk dengan latihan jiwa serta pembersihan akhlak. Beliau melarang pemimpin-pemimpin di zamannya daripada melakukan syirik dan menyembah berhala tetapi mereka menentang dan membuat keputusan untuk membunuhnya. Lalu, Socrates dipenjara dan diberi minum racun (hemlock). Antara guru beliau ialah Pythagoras yang hidup di zaman Nabi Sulaiman bin Daud a.s.

The Death of Socrates

Menurut Dr. Mohd Farid Mohd Shahran dalam bukunya, Akidah dan Pemikiran Islam: Isu dan Cabaran (2013), ketika kerajaan Athens menjatuhkan hukuman mati ke atas Socrates, kawannya Crito telah menasihatkan supaya beliau lari dari kota tersebut kerana apa yang beliau pertahankan ialah nilai-nilai yang luhur. Socrates enggan kerana beliau tidak mahu menentang undang-undang negara Athens sambil berpegang bahawa tindakan itu juga merupakan nilai luhur yang harus dipertahankan. Akhirnya tamatlah riwayat hidup seorang tokoh pemikir dan ahli falsafah yang mana diistilahkan oleh anak muridnya, Plato sebagai manusia yang paling baik, bijaksana dan adil. Untuk pengetahuan, perkataan falsafah berasal daripada perkataan Greek, philo (cinta) dan sophos (hikmah, kebijaksanaan), yang bermakna cinta pada kebijaksanaan (love of wisdom) atau pada kebenaran dan keutamaan.

Peter Murphy - Socrates the Python

P/S: Bacaan selanjutnya tentang peranan Socrates dalam menghadapi golongan Sofis (Sophists) dan cabaran penisbian nilai serta perbahasan tentang akal, logik dan intelektualisme dalam Islam bolehlah merujuk buku Akidah dan Pemikiran Islam: Isu dan Cabaran (2013) oleh Dr. Mohd Farid Mohd Shahran. Buku Agama dan Ideologi (al-Milal wa al-Nihal) oleh Imam Shahrastani banyak mengutarakan pandangan Socrates tentang ketuhanan. Juga menarik untuk dibaca ialah buku Menjadi Intelektual (2003) oleh Dr. Abdul Rahman Abdullah yang membincangkan tentang sejarah ilmu dan falsafah ilmu. Selamat membaca dan rock on!
  

Friday, April 3, 2015

Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor oleh Prof. Dr. Hamka (1958)

 “Macam mana dengan buku Hamka? Hang dah habis baca ka?”
“Dah. Bagi aku menarik. Banyak benda yang dia cerita. Lagi pun, aku boleh relate balik dengan apa yang aku tengok dalam Sang Pencerah.”
Itu kata kawan aku, Fex Darwish selepas aku tanya dia berkenaan buku Hamka, Teguran Suci & Jujur Terhadap Mufti Johor. Buku tersebut sedikit sebanyak ada menceritakan tentang persatuan Muhammadiyah sepertimana dalam filem Sang Pencerah (2010). Untuk pengetahuan, Muhammadiyah ialah gerakan Kaum Muda di Indonesia yang didirikan oleh Kiyai Haji Ahmad Dahlan pada tahun 1912. Hamka atau Haji Abdul Malik bin Abdul Karim bin Amrullah adalah antara tokoh Muhammadiyah.

 
 Karya yang dianggap “The Lost Manuscript”
Diterbitkan oleh Pustaka Dini

Buku ini ditulis oleh Hamka pada tahun 1958 yang mana menurut beliau bertujuan untuk membersihkan salah faham di antara umat Islam, baik di Malaya atau di Indonesia yang timbul kerana kenyataan Mufti Johor dalam majalah Semenanjung. Mufti Johor, Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad dalam kenyataannya itu memperkatakan tentang masalah buku Ibadat Rasulullah yang ditulis oleh Ustaz Abu Bakar al-Asha’ari yang katanya tiada guna kerana mengelirukan orang ramai. Namun, beliau dilihat lebih banyak memperburukkan Kaum Muda khususnya di Indonesia.

Mufti Johor menyatakan bahawa masalah berkenaan Kaum Muda dan Kaum Tua ini pada asalnya bermula di Turki dan beliau mengaitkan Kaum Muda di Turki dengan Kaum Muda di Indonesia. Hal ini sama sekali tidak dipersetujui oleh Hamka kerana menurut beliau, Kaum Muda di Turki (Turkiyyatul Fatah) ialah gerakan politik, bukan gerakan agama. Manakala Kaum Muda di Indonesia pula ialah gerakan agama semata-mata yang membincangkan masalah ijtihad dan taqlid, terutama dalam soal ibadat dan akidah. Asalnya dibawa ke Sumatera oleh orang-orang Minangkabau yang datang dari Mekah. Turut memainkan peranan ialah ayah Hamka sendiri.

Kemudian, Mufti Johor menyatakan bahawa Kaum Muda di Indonesia banyak menimbulkan was-was sehingga menyebabkan 10 juta rakyat Indonesia memeluk agama Kristian. Hamka selaku Ahli Agama (Pegawai Tinggi Kementerian Agama) yang dilantik oleh Republik Indonesia membantah dengan mengemukakan statistik bancian pemeluk agama negara itu. Bahkan menurut Hamka, perkumpulan Islam yang mula-mula sekali menentang diayah orang-orang Kristian ialah perkumpulan Kaum Muda Muhammadiyah dengan mendirikan sekolah, rumah-rumah sakit serta tempat memelihara anak yatim dan orang miskin. Adapun Kaum Tua ketika itu hanya tahu menghina.

Sang Pencerah (2010)
Filem biografi pengasas Muhammadiyah, K.H. Ahmad Dahlan.

Selanjutnya, dakwaan-dakwaan lain oleh Mufti Johor seperti Kaum Muda menyebabkan 30 juta rakyat Indonesia menjadi komunis, Kaum Muda mengambil fatwa dari Qadiani, Kaum Muda tidak percaya kepada beberapa tiang-tiang agama Islam, hukuman kafir terhadap orang Islam yang ingkar akan kenajisan babi serta tuduhan bahawa Ustaz Hassan Bandung menafsirkan al-Quran menurut teori Darwin dan Freud juga dijawab dengan mudah dan bijak oleh Hamka. Tidaklah aku berhajat untuk mengupas satu persatu. Hamka mengaku adakala penulisannya keras, namun bukan atas dasar permusuhan, tetapi atas dasar hormat dan kasih.

Pada pandangan aku, buku ini sesuai dibaca kepada mereka yang ingin mengenal sejarah dan polemik agama yang terjadi di antara Kaum Tua dan Kaum Muda. Menarik apabila Hamka bercerita mengenai tokoh Kaum Muda di Malaysia iaitu Syeikh Tahir Jalaluddin yang gigih mendidik masyarakat tentang sunnah melalui risalahnya biarpun usia hampir mencecah 90 tahun. Risalah itu bertajuk Risalah Penebas atas Bidaah-bidaah di Kepala Batas. Juga pujian Hamka kepada Ustaz Abu Bakar al-Asha’ari dan Ustaz Mustafa Abdul Rahman atas usaha mereka menerangkan ilmu agama yang diibaratnya sebagai bintang-bintang yang berkelap-kelip di langit Malaya.

Seterusnya, melalui buku ini aku melihat Hamka ingin menyampaikan mesej agar kita membebaskan diri kita daripada belengu taqlid (blind following or second-hand belief). Dalam erti kata yang lain, janganlah kita mudah menerima atau mengamalkan apa sahaja kata-kata orang sekalipun ianya seorang syeikh atau ulama besar melainkan kata-katanya itu berdasarkan al-Quran dan hadis. Hamka menukilkan kata-kata Imam Malik, Imam al-Syafi’i, Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad bin Hanbal bagi menunjukkan keutamaan al-Quran dan hadis sebagai sumber agama. Kesimpulannya, polemik seperti ini perlulah dihadapi dengan ilmu dan adab.

P/S: Menarik koleksi buku-buku Hamka di blog PC Kokak dan ulasan novel Hamka, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck di blog Xyrus Zone..