Tuesday, November 22, 2016

Apakah yang Terjadi kepada Cucu Rasulullah ﷺ Bernama Muhsin?

Ketika Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff singgah ke Pulau Pinang, saya sempat bertanya kepada beliau berkenaan cucu lelaki Rasulullah yang bernama Muhsin. Saya katakan kepadanya yang saya sudah membaca buku beliau bertajuk Pemurnian Sejarah Awal Islam (Siri 3) khususnya artikel Anak Cucu Rasulullah yang Dilupa dan Dipinggirkan.


Namun, dalam artikel buku tersebut, Muhsin hanya tersenarai sebagai anak ketiga Fatimah dengan ‘Ali bin Abi Talib tanpa ada apa-apa kisah berkenaannya. Apakah yang terjadi kepada Muhsin? Terdapat cerita yang mengatakan bahawa Muhsin meninggal dunia dalam kandungan angkara ‘Umar menolak pintu rumah Fatimah sehingga mengenai perutnya. Benarkah cerita sedemikian?

Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff merupakan pengasas dan Syeikhul Hadis bagi Pusat Pengajian Al-Qur’an Darul Kautsar yang terletak di Kelantan. Beliau sempat berguru dengan ilmuwan besar di India dan Pakistan semisal Maulana al-Syeikh al-Mufti Wali Hasan Khan. Beliau menjawab, “Muhsin meninggal dunia ketika masih kecil. Kisah tentang ‘Umar menyebabkan Fatimah keguguran itu tidak benar. Itu cerita orang-orang Syiah.”

P/S: Kehadiran ilmuwan ini ke Pulau Pinang adalah untuk membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian terhadap Riwayat-Riwayat tentang Zaman Muda Rasulullah Sebelum Menjadi Nabi bersempena Daurah Sirah Nabawiyah anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia. Boleh muat turun kertas kerjanya di SINI dan tonton rakamannya di SINI.