Saturday, May 9, 2020

Legenda Punk yang Mahu Yusuf Islam ke Rock & Roll Hall of Fame


Memulakan karier pada tahun 1965, Cat Stevens berada di puncak kemasyhuran dalam era 70-an dengan lagu-lagu folk seperti "Peace Train," "Wild World" dan "Father & Son." Setelah memeluk Islam dengan nama Yusuf Islam, beliau menerbitkan pelbagai rakaman bercorak keagamaan seperti album The Life of the Last Prophet dan A is for Allah.

Namun, menurut Yusuf, "One of my greatest supporters turns out to be someone you wouldn’t expect." Salah seorang penyokong beliau dikatakan telah melobi kemasukannya ke dalam Rock & Roll Hall of Fame (RRHOF). Lebih mengejutkan, individu terbabit merupakan pemain gitar kumpulan punk Ramones iaitu Johnny Ramone.

Johnny Ramone seorang konservatif dan beliau membenci hippies. Beliau menulis dalam autobiografinya, "I hated hippies and never liked that peace and love shit." Jadi, bagaimana beliau boleh dikatakan mengangkat seorang pemuzik yang lagu-lagunya menjadi pujaan golongan hippies?

Perkara ini apabila ditelusuri hanya mula diperkatakan selepas kematian beliau. Johnny Ramone menghidap kanser prostat dan meninggal dunia pada September 2004. Ketika berucap di perkuburan beliau, Seymour Stein mendedahkan antara permintaan terakhir legenda punk rock itu adalah supaya Cat Stevens dimasukkan ke dalam RRHOF.

Seymour Stein terkenal sebagai pengasas bersama Sire Records, sebuah syarikat rakaman yang menandatangani Ramones pada tahun 1975. Beliau juga salah seorang pengasas RRHOF. Beliau menceritakan dalam satu temu bual, "From his deathbed, Johnny Ramone sent me a letter advocating that Cat Stevens get in."

Selain surat tersebut, Stein menerima lagi dua pucuk surat menyatakan perkara yang sama daripada dua pemuzik tersohor. Ini kerana Johnny Ramone begitu serius mahukan Yusuf dicalonkan dan beliau telah menggesa dua rakan baiknya yang turut meminati penyanyi folk itu untuk sama-sama memberi sokongan. Siapakah mereka?

Untuk pengetahuan, dua rakan baiknya itu sudah beberapa kali memainkan lagu-lagu Cat Stevens dalam konsert masing-masing. Mungkin ada di antara kita pernah menontonnya. Mereka ialah pemain gitar Red Hot Chili Peppers, John Frusciante dan penyanyi kumpulan Pearl Jam, Eddie Vedder.

Kedua-dua mereka berada di sisi Johnny Ramone pada hari beliau pergi buat selama-lamanya. Ia hari yang menyedihkan. Eddie Vedder ada berkongsi kenangannya pada hari tersebut dalam buku Pearl Jam Twenty. Katanya, "The day he died, he and I watched the Cat Stevens concert DVD Majikat and did baseball trivia together."

Hasil sokongan mereka terutamanya Johnny Ramone, Yusuf tercalon buat pertama kali pada tahun 2005. Pencalonan itu bagaimanapun tidak berjaya. Hampir sedekad kemudian, Yusuf tercalon buat kali kedua dan kali ini permintaan terakhir legenda punk rock itu berjaya ditunaikan.

Pada April 2014, Yusuf menghadiri Majlis Induksi RRHOF Tahunan yang ke-29 di Barclays Center, New York dan diberi penghargaan bersama pemuzik-pemuzik lain. Antara pemuzik yang terpilih pada tahun itu ialah Kiss dan Nirvana. Yusuf menyifatkan pemilihannya sebagai "unexpected and strangely, outrageously rock & roll!"

Rujukan:
  1. Lewis, R. (2013, December 19). Yusuf on alter-ego Cat Stevens' Rock Hall of Fame induction. Los Angeles Times. 
  2. Ramone, J. (2012). Commando: The Autobiography of Johnny Ramone. Abrams Image.
  3. Kapelovitz, D. (2005, January 20). Rock & Roll Cemetery. LA Weekly. 
  4. Aswad, J. (n.d.). So How Do You Get Into The Rock Hall Of Fame? MTV. 
  5. Varga, G. (2005, September 17). Miles Davis tops rock hall of fame candidates list. SignOn San Diego. 
  6. Punk legend Johnny Ramone dies. (2004, September 16). The Guardian. 
  7. Pearl Jam. (2011). Pearl Jam Twenty. Simon & Schuster.
  8. 20 Best Moments at the Rock and Roll Hall of Fame 2014 Induction. (2014, April 11). Rolling Stone.