Sunday, May 31, 2015

Ulasan Buku: Why I Still Carry A Guitar oleh Yusuf Islam [Bahagian 3]

Sambungan daripada Bahagian 2.. 

Making Music Again (The Star, 29 November 2006)

Pada tahun 2006, Yusuf Islam kembali dengan album An Other Cup selepas 27 tahun berundur daripada dunia muzik. Berita ini mengisi ruang di dada-dada akhbar. Sebenarnya, beliau kembali menyanyi dan menulis lagu bukanlah secara tiba-tiba. Beliau telah pun melancarkan sebuah syarikat rakaman, Mountain of Light seawal 1994 lagi dan merakam pelbagai album khasnya bagi menyampaikan mesej tentang Islam. Bezanya, pengkritik melihat album kali ini sebagai ‘sekular’ memandangkan Yusuf Islam kembali memetik gitar. Peralihan beliau yang beransur-ansur memasuki studio dan menghasilkan muzik ini dapat dibaca pada bab The Call, Return to Da’wah through Harmony, Children and Song, A Guitar Comes Home, The New Wave dan An Other Cup.

Penggunaan alat muzik sememangnya menjadi satu isu yang hangat dalam kalangan umat Islam. Malah, Yusuf Islam sendiri telah dituduh murtad kerana kembali menghasilkan muzik dan perkara ini sudah dijawab oleh beliau melalui artikel Music: A Question of Faith or Da’wah. Menariknya buku ini, beliau menggunakan ilmu hadis dan melakukan tahqiq (semakan) ke atas hadis yang menjadi hujah pengharaman alat muzik. Katanya,
“Whilst I am certainly not claiming to be a scholar, after twenty-five years of studying the subject, I became aware that many of the Hadith which were used to prohibit music altogether are not clear in the authentic collections, and even one reference in Sahih Al Bukhari is lodged under the heading of ‘Drink’ and had a broken chain (munqati).”
Merujuk Syarah Kitab al-Manzhumah al-Baiquniah, definisi yang masyhur bagi hadis munqathi’ ialah hadis yang gugur (terputus) salah seorang daripada perawinya sebelum sahabat pada satu tempat di mana pun tempatnya. Hukum hadis munqathi’ adalah sangat dhaif. Secara tidak langsung, Yusuf Islam mengatakan sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari adalah tidak sahih. Bukankah ini menjejaskan kedudukan Sahih al-Bukhari?

Yusuf / Cat Stevens - You Are My Sunshine (Official Video)

Untuk pengetahuan, Yusuf Islam tidak bersendiri dalam hal ini. Ibnu Hazm dari Andalusia antara tokoh hadis yang berpendapat sama seperti beliau. Hal ini mungkin mengelirukan, tetapi sebenarnya ia tidaklah menjejaskan kedudukan Sahih al-Bukhari. Menurut Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff, hadis yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari itu bukan dalam hadis musnadnya tetapi dalam tarjamah al-bab (tajuk) dan dikemukakan secara ta’liq (tergantung). Kedudukan hadis dalam tajuk tidak sama dengan hadis yang musnad kerana yang dikatakan tinggi kedudukan Sahih al-Bukhari itu hadisnya yang musnad, iaitu lengkap dengan sanad atau jalan periwayatan. Berkenaan pandangan Ibnu Hazm, sila lihat video bertajuk Apakah Hukum Muzik Menurut Ibnu Hazm dan Hujah-hujahnya.

Kemudian, Yusuf Islam turut membincangkan hadis Imam al-Bukhari itu dari sudut fiqh (kefahaman) dan memperlihatkan keluasan pandangan beliau. Namun beliau tidak mahu perbincangan ini berlarutan sehingga menjadi persoalan ‘aqidah. Ya, dahulu beliau menolak untuk menggunakan alat muzik tetapi atas dasar berhati-hati. Ujarnya,
“Naturally, when I was new to Islam there was good reason to be cautious, but I had spent many years studying the influences of Islamic thought on the unity of the Muslim world, and realized that there was more harm if people simply inherited their religion and opinions and abandoned the need for Ijtihad (intellectual struggle) in dealing directly with the problems faced in this rapidly degenerating world. Never had the people of this blessed earth ever experienced such an atheistically secular and godless age - this was the true challenge of our time.”

Justeru, kembalinya Yusuf Islam memetik gitar adalah dengan ilmu dan beliau bukan sekadar mahu bertemu dengan rakan-rakan dan peminat-peminat lama. Hakikatnya, beliau sedar yang beliau mempunyai satu lagi misi dan beliau melihat muzik adalah kesinambungan yang positif terhadap hasratnya untuk membina jalan menuju keamanan, menyampaikan mesej yang bermoral, dan melenyapkan kejahilan. Kini setelah sembilan tahun kembali dengan An Other Cup, Yusuf Islam masih lagi memetik gitar dan menyanyi dengan semangat yang murni biarpun usianya hampir mencecah 70 tahun. Bukan setakat itu sahaja, beliau juga telah meluaskan kreativiti dan imaginasinya dalam bidang teater dan sambutan yang diberikan oleh penonton sangat hebat!
  
Moonshadow the Musical (TV Commercial) 

Kesimpulannya, biografi ini walaupun ringkas, ia ditulis dengan baik dan teratur terutama untuk menyatakan perkembangan ilmu serta pandangan-pandangan beliau sebagai seorang individu yang hidup secara kolektif dalam sebuah komuniti. Beliau sangat menekankan perihal kuasa pendidikan, interaksi sosial, dan penggunaan media bagi membebaskan manusia daripada belengu kejahilan. Pada pandangan aku, Yusuf Islam ialah contoh terbaik individu yang berjaya mengimbangi hidup serta kebijaksanaannya secara teori (al-nazhariyyah) dan praktikal (al-‘amaliyyah). Inspirasi beliau tidak lain dan tidak bukan ialah kalam Allah (al-Qur’an) dan sunnah Rasulullah. Semoga kita juga dapat mengambil inspirasi seperti beliau, insya-Allah.

Tamat. Kembali ke Bahagian 1.

P/S: Memandangkan ulasan ini aku sertakan kepada ITBM sempena pertandingan yang mereka anjurkan, aku ingin mencadangkan kepada pihak ITBM untuk menterjemahkan autobiografi Imam al-Ghazali, al-Munqidz min al-Dhalal supaya buku tersebut dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. 
  

7 comments:

  1. Wah..makin menarik.tq reviewnya bro.mmg nak kena cari jugak buku ni

    ReplyDelete
  2. Thank you for the effort. Aku sangat menghargainya.
    An excellent read.

    ReplyDelete
  3. Tq. Aku masih tak dapat lagu cari bukunya...

    ReplyDelete
  4. Fuhhh best baca review ni...ternyata saudara bukan org sembarangan, byk ilmu hadith serta sirah nabawiyah yang tuan tahu dan mahu kongsikan bersama. Terima kasih.

    ReplyDelete
  5. Adi Herman,

    saya orang biasa saja, sekadar menumpang orang2 berilmu.. huhu

    ReplyDelete
  6. terima kasih semua kerana mengikuti siri ulasan ini!

    ReplyDelete
  7. Assalamualaikum Encik Zulhelmi, mohon untuk menyemak PM di Facebook dengan kadar segera. Terima kasih.

    ReplyDelete