Tuesday, June 1, 2010

Mari Menghayati Puisi & Lagu

Kali ini saya ingin membawa pembaca semua menghayati puisi Melayu daripada A.Samad Said dengan muzik oleh Space Gambus Experiment (SGE). Anda kenal A.Samad Said? Jika tidak, sila keluar dari bumi Malaysia ini..

Sedikit pengenalan, A.Samad Said ialah mantan Sasterawan Negara 1986. Jangan keliru dengan Dol Said, dia tu ialah pahlawan Naning (Perang Naning 1831). SGE pula terhasil daripada gabungan pemuzik Kamal Sabran (Elektro + Akustik) dan Zulkifli Ramli (Gambus/Oud).

Terima kasih kepada SGE kerana dengan adanya mereka, puisi Melayu sebegini tidak hilang di dunia. Puisi yang ditulis pada tahun 1960 ini kembali segar pada tahun 2010. Di bawah ini saya letakkan videonya. Sangat sesuai dilayan pada waktu malam tatkala bintang mengerdip.


"Di Bawah Bintang Mengerdip" oleh A.Samad Said
Muzik ditulis and dibawakan oleh Space Gambus Experiment


Di Bawah Bintang Mengerdip

I
(Surat daripada pelayan)

Di bawah bintang mengerdip aku ingin bersunyi
tiada buku tiada lagu tiada rindu
tapi siapa dapat percaya bulan turut berduka
ketika dunia sedang asyik berpesta ria.

Di bawah bintang mengerdip aku ingin bersayu
tiada ayahanda tiada bonda tiada kanda
tapi siapa sanggup percaya malam turut berhiba
ketika kekasih erat bersenda di Damansara.

Angin liar disini bunga kenanga keguguran
mengusik hati ini bukan kepalang lagi
kerana itu dibawah bintang mengerdip aku berlara
tiada tasik tiada kenangan tiada siapa.

Adam, jika benarlah belasmu ada
di pusaraku nanti taburilah bunga!

II
(surat kepada pelayan)

Ketika senja memerah surat gementarmu tiba
ku baca dengan degupan jantung bertambah
mengapa di bawah bintang mengerdip anda luka
tentang pusara dan bunga anda khabarkan pula?

Buku lagu dan rindu-ayahanda bonda dan kanda
di teluk mesra terkembang sudah layar sejarahnya
tapi aku terus berkelana entah kemana terdamparnya
tiadakan berdaya melihatmu lara di malam indah.

Ribut besar disini pohon kenanga bertumbangan
menyentak dada ini gementar sampai ke nadi
tapi tiada yang dapat diterka siapa yang dahulu ke muara
kerana sama akan kita tinggalkan pulau-singgah.

Hawa, jika benarlah anda berduka
separuh laramu kurasakan sudah!

Kuala Lumpur
29 Mac 1960

Catatan:
Inti puisi ini dipetik daripada pengalamanku bergaul dengan beberapa orang penari yang antaranya jujur bercerita tentang nasib malang mereka. Aku tersentuh.

*Diambil daripada buku di bawah.





















peh...style posing pakcik!


Akhir kata, puisi adalah satu cabang kesenian manusia, dan kesenian adalah apa yang membezakan manusia dengan haiwan.

No comments:

Post a Comment