Tuesday, December 27, 2016

And the Waltz Goes On

A waltz composed by Sir Anthony Hopkins, one of the greatest living actors. Well known for his portrayal of Hannibal Lecter in The Silence of the Lambs. He composed the waltz in 1964. Performed for the first time in 2011 for such a large crowd by André Rieu and his Johann Strauss Orchestra.


And the Waltz Goes On

P/S: Ada sesapa tengok Westworld? Anthony Hopkins berlakon sebagai pengasas Westworld iaitu sebuah taman hiburan serba canggih bertemakan pekan koboi yang dihuni oleh robot/android. Aku baru tengok separuh musim pertama. Boleh tahan thrill.
  
 Westworld Trailer

Wednesday, December 14, 2016

Tuesday, November 22, 2016

Apakah yang Terjadi kepada Cucu Rasulullah ﷺ Bernama Muhsin?

Ketika Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff singgah ke Pulau Pinang, saya sempat bertanya kepada beliau berkenaan cucu lelaki Rasulullah yang bernama Muhsin. Saya katakan kepadanya yang saya sudah membaca buku beliau bertajuk Pemurnian Sejarah Awal Islam (Siri 3) khususnya artikel Anak Cucu Rasulullah yang Dilupa dan Dipinggirkan.


Namun, dalam artikel buku tersebut, Muhsin hanya tersenarai sebagai anak ketiga Fatimah dengan ‘Ali bin Abi Talib tanpa ada apa-apa kisah berkenaannya. Apakah yang terjadi kepada Muhsin? Terdapat cerita yang mengatakan bahawa Muhsin meninggal dunia dalam kandungan angkara ‘Umar menolak pintu rumah Fatimah sehingga mengenai perutnya. Benarkah cerita sedemikian?

Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff merupakan pengasas dan Syeikhul Hadis bagi Pusat Pengajian Al-Qur’an Darul Kautsar yang terletak di Kelantan. Beliau sempat berguru dengan ilmuwan besar di India dan Pakistan semisal Maulana al-Syeikh al-Mufti Wali Hasan Khan. Beliau menjawab, “Muhsin meninggal dunia ketika masih kecil. Kisah tentang ‘Umar menyebabkan Fatimah keguguran itu tidak benar. Itu cerita orang-orang Syiah.”

P/S: Kehadiran ilmuwan ini ke Pulau Pinang adalah untuk membentangkan kertas kerja bertajuk Kajian terhadap Riwayat-Riwayat tentang Zaman Muda Rasulullah Sebelum Menjadi Nabi bersempena Daurah Sirah Nabawiyah anjuran Pertubuhan Kebajikan Al-Qayyim Malaysia. Boleh muat turun kertas kerjanya di SINI dan tonton rakamannya di SINI.
  

Wednesday, August 31, 2016

Roots Fest, Butterworth (28/08/2016)

Nam Ron, pelakon dan pengarah kelahiran Perlis.

The Island, kumpulan reggae dari Pulau Pinang.

Aksi menarik ketika persembahan The Island.
  

Tuesday, July 5, 2016

POM POM POM BUNYI ROCK & ROLL!


Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada yang menerjah blog Kaboi Tanduk. Maaf zahir dan batin sekiranya pengisian blog ini terlebih, terkurang, tersalah atau tersilap yang mana kesannya mungkin membuatkan tidur anda tidak lena.

Gambar: Album-album yang baru sahaja menjadi koleksi. Walaupun Edisi Malaysia, sisipannya bukan sekeping dua tetapi lengkap dengan prakata dan lirik. Iron Fist (1982) daripada Motörhead sebagaimana maklum merupakan follow-up kepada album terkenal Ace of Spades (1980). Manakala Salisbury (1971) dan Look at Yourself (1971) daripada Uriah Heep terbit sebelum Demons and Wizards (1972). Walaupun yang kemudian itu album popular mereka tetapi laman Progarchives.com menunjukkan rating kedua-dua album sebelumnya lebih tinggi dan aku secara peribadi memilih Look at Yourself sebagai album rock terbaik sempena Hari Raya Aidilfitri! 
  

Wednesday, May 4, 2016

Ada Apa dengan Dr. MAZA?

Jadual majlis ilmu Masjid Sembilang yang diedarkan beberapa hari lepas mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat apabila salah seorang penceramahnya untuk bulan ini ialah Mufti Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA). Ada yang mengerutkan dahi, lalu mencemuh. Ada yang menerima dengan hati terbuka. Selebihnya mungkin tertanya-tanya, “Ada apa dengan Dr. MAZA?”

Jadual majlis ilmu Masjid Sembilang

Sebenarnya, aku sendiri terkejut kerana jarang melihat Dr. MAZA menyampaikan kuliah di masjid-masjid sekitar Pulau Pinang. Walaupun beliau anak kelahiran Pulau Pinang dan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia, gerak kerja beliau dilihat lebih sinonim dengan Perlis memandangkan sudah dua kali beliau menjadi mufti bagi negeri itu. Pendirian beliau dalam soal agama semestinya tidak lari daripada keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis. Misalnya, Perlis mempunyai tafsiran berbeza dalam hukum syarak kerana tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu. 

Namun, ini bukanlah masalah besar kerana enakmen negeri-negeri lain yang menyebut rujukannya mazhab Syafi’i tetap memperuntukkan pandangan mazhab muktabar yang lain sekiranya bercanggah dengan kepentingan awam. Contohnya, bayaran zakat fitrah menggunakan wang seperti yang diamalkan pada hari ini adalah daripada mazhab Hanafi kerana mazhab Syafi’i menggunakan makanan asasi. Menurut Dr. MAZA dalam diskusi Ekstremisme Agama di Malaysia, Perlis antara negeri terawal yang membolehkan bayaran zakat fitrah menggunakan wang.

Pernah seorang kawan berkata, “Aku dengar orang kata Dr. MAZA sesat.” Tuduhan ini biasa dilemparkan kepada beliau. Secara umum, aku melihat pendapat-pendapat beliau masih mempunyai asas biarpun berbeza dengan faham kebiasaan masyarakat. Tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang aku kurang setuju. Misalnya, beliau seperti Salafi yang lain cenderung untuk tidak menggunakan kaedah takwil terhadap ayat-ayat mutasyabihat dan menganggap pendekatan golongan Asya’irah/Maturidiyyah dalam mengajarkan akidah Sifat 20 kepada orang awam sebagai tidak sesuai.

Buku-buku Dr. MAZA

Meskipun, tidak selayaknya Dr. MAZA dilabel sebagai sesat kerana pegangan beliau masih dalam kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Sebaiknya orang awam perlulah menghadapi situasi ini dengan ilmu dan adab. Beliau ilmuwan yang turut aktif menulis melalui laman web, buku-buku dan kertas kerja. Perkataannya seperti manusia lain yang boleh diambil dan ditinggal, melainkan perkataan Rasulullah . Suka untuk aku kongsikan di sini sebuah buku beliau yang aku kira menarik, ilmiah dan mudah didapati. Tajuknya, Fitnah terhadap Sahabat Rasulullah (2012)

Untuk pengetahuan, penulisan buku ini adalah berdasarkan tesis master beliau. Kandungannya bertujuan merungkai fitnah terhadap sahabat Rasulullah ﷺ yang sering disebarkan oleh golongan Syiah. Sudah maklum Syiah mempunyai akidah memburukkan generasi sahabat, bahkan sehingga ke tahap mengkafirkan sebahagian besar daripadanya. Antara modal mereka ialah peristiwa pertelingkahan sahabat selepas kewafatan Rasulullah ﷺ. Melalui buku ini, Dr. MAZA menyemak semula rekod sejarah dan menyingkap realiti menurut neraca al-Quran dan hadis.

Kembali kepada jemputan Dr. MAZA ke Masjid Sembilang, pada hemat aku usaha pihak masjid dalam mempelbagaikan penceramah jemputannya perlu disambut dengan hati yang terbuka. Aku berharap orang ramai dapat hadir memenuhkan ruang masjid sepertimana kedatangan selebriti Nasir Bilal Khan pada bulan lepas. Aku juga ingin mencadangkan kepada pihak masjid agar menyediakan sesi soal jawab baik secara langsung mahupun kiriman bertulis supaya para hadirin dapat mengambil peluang untuk bertanya dan memanfaatkan lagi kedatangan ilmuwan kontemporari ini.

P/S: Penjelasan mengenai sejarah aliran Asya’irah/Maturidiyyah dan Salafiyyah oleh Ustaz Aizam Mas’ud  (Pegawai Penyelidik JAKIM) boleh ikuti di SINI.
  

Sunday, April 3, 2016

Habuan Big Bad Wolf 2016

Aku singgah ke jualan buku Big Bad Wolf pada hari Khamis yang lalu di Penang Times Square, George Town. Suasananya terasa lebih tenang berbanding kunjungan aku tahun lepas pada hujung minggu yang sesak dengan kehadiran orang ramai. Tak banyak buku yang benar-benar menarik minat pembacaan aku. Hasilnya, hanya dua buah buku menjadi habuan untuk dibawa pulang. Berikut ialah buku-bukunya:


1. Inside Out: A Personal History of Pink Floyd

Kali pertama menjengah ke bahagian buku-buku muzik memang aku tak perasan adanya buku ini. Bukunya bersaiz kecil dan terletak di celah timbunan buku-buku yang lebih besar. Mujurlah aku pergi sekali lagi untuk menggodek tempat tersebut. Dengan terjumpanya buku ini, perjalanan aku terasa sangat berbaloi.

Inside Out ialah sebuah memoir mengenai Pink Floyd yang ditulis oleh salah seorang anggotanya sendiri iaitu Nick Mason. Apa yang menarik tentang pemain dram ini ialah beliau satu-satunya ahli kumpulan Pink Floyd yang paling lama dan terlibat dalam kesemua album yang mereka hasilkan. Buku ini kali pertama dicetak pada tahun 2004 dan edisi yang ada pada aku ialah cetakan 2011. Edisi ini sudah dikemaskini dengan memasukkan satu bab baru kerana terjadinya reunion bersejarah mereka bersama Roger Waters untuk persembahan di konsert Live 8 (2005) anjuran Bob Geldof. Juga terdapat kemas kini pada bahagian kronologi dengan memasukkan tarikh meninggalnya Syd Barrett dan Rick Wright masing-masing pada tahun 2006 dan 2008. Buku ini setebal 384 muka surat dengan beberapa helaian berwarna.

2. Einstein: The Life of A Genius

Melihat kulit depan buku ini dengan warna gelap dan wajah seseorang yang bagaikan tiada perasaan, aku menyangka berada pada bahagian buku-buku jenayah. Pada pandangan aku, reka kulitnya tidak menarik serta tidak menggambarkan peribadi insan yang memberi tafsiran baru terhadap makna ruang, masa dan graviti.

Einstein ialah seorang ahli fizik yang berasal dari Jerman. Aku tertarik dengan ilmuwan ini setelah membaca tulisan-tulisan Prof. Shaharir. Walaupun Prof. Shaharir mengkritik Teori Kenisbian/Relativiti Einstein khususnya mengenai tabii masa dan ruang serta mendakwa beliau menciplak (plagiarize) karya orang lain, aku masih menyimpan rasa kagum terhadap imaginasinya dalam membina teori tersebut. Biografi berkulit keras dengan saiz besar ini tidak sekadar menceritakan kesarjanaannya, malah merangkumi segenap kisah peribadi beliau. Setiap halaman penuh berwarna. Tambah menarik, diselitkan pelbagai replika dokumen dan memorabilia seperti sijil graduasi, poskad, surat-surat dan nota-nota milik Einstein. Penulisnya, Walter Isaacson merupakan orang yang sama menulis buku Einstein: His Life and Universe.
   

Monday, January 4, 2016

Back to the Future Time Machine Hover Mode (2016 Hot Wheels Screen Time Series)


Aku tertarik untuk membeli kereta Hot Wheels ini selepas melihat salah satu modelnya ialah kereta DeLorean terbang (hover mode) yang muncul dalam filem Back to the Future Part II (1989). Ada dua siri yang berbeza ketika itu, HW City - Space Team dan HW Screen Time. Aku ambil HW Screen Time kerana keadaannya yang sangat baik memandangkan ia merupakan siri terbaru untuk tahun 2016. Manakala HW City - Space Team pula ialah siri tahun lepas dan cerminnya berlainan daripada versi asal kerana menggunakan warna biru. Kereta dengan skala 1/64 ini tidaklah begitu terperinci. Misalnya tangki kitar semula Mr. Fusion yang menjana mesin masa ini sepatutnya berwarna putih. Perincian ini bagaimanapun ada pada model untuk siri Hot Wheels Entertainment yang harganya lebih mahal. Harga untuk model siri ini hanya RM 8 sahaja dan telah dihasilkan di Malaysia.

Doc: Where we’re going, we don’t need roads.


Biff: A flying DeLorean?


Trivia: Masihkah anda ingat dunia masa depan dengan kereta terbang, hoverboard, dan lain-lain alat berteknologi tinggi yang menjadi destinasi Dr. Emmett Brown, Marty McFly dan bakal isterinya itu? Tarikhnya adalah pada 21 Oktober 2015.