Sunday, April 22, 2012

Bersama Meor Pesta Jiwa..

Rasanya sudah hampir beberapa minggu aku bercadang untuk berjumpa dengan seorang lagi busker, Meor Yusof Aziddin dan akhirnya semalam bertemu juga kami di KL Sentral. Tujuan aku sekadar untuk membeli apa-apa album keluarannya berserta buku kedua hasil tulisannya sendiri iaitu Sembang Tepi Jalan: Syurga Yang Hilang


Seperti juga Nan Blues, Meor (atau aku panggil di sini sebagai abang Meor) bukanlah orang baru dalam dunia busker. Walaupun bermain muzik di jalanan, abang Meor boleh dikira sebagai  seorang yang aktif dalam berkarya. Sehingga kini sudah ada tujuh buah album solo dan satu album bersama kumpulannya, Society. Selain bermain muzik, abang Meor juga aktif menulis dan dikenali melalui blognya, Pesta Jiwa. 

Aku mula tahu pasal abang Meor melalui blognya. Dari situ juga aku dapat tahu yang abang Meor menggemari irama folk seperti Iwan Fals, Bob Dylan, Nick Drake, Cat Stevens serta puisi Jalaludin Rumi, tapi sayang, waktu itu aku belum familiar dengan dunia blog dan jarang guna internet. Jadi aku tak begitu mengikuti hasil tulisannya sehinggalah aku terbeli album Dari Rakyat Untuk Rakyat (2009) dan buku pertama Sembang Tepi Jalan di Pesta Buku BOCO yang lepas.

Suasana busking di sekitar KL Sentral
 
Berbalik kepada pertemuan kami, abang Meor kebiasaannya memang busking di KL Sentral. Jadi aku  tengok dulu abang Meor main beberapa lagu sebelum mendapatkan buku terbarunya. Aku ambil sekali album Yang Terlintas Di Fikiran (2006). Sebenarnya, aku berharap untuk membeli album Itu Padang...Aku Di Situ (2003), satu album yang aku kira sebagai masterpiece, tapi rezeki aku tiada. Katanya, album itu sudah habis.

Abang Meor ajak aku minum bersama. Katanya,  pukul 7.00 malam dia akan rehat sekejap sebelum sambung balik busking. Rasa segan pun ada sebenarnya sebab aku bukanlah orang yang pandai berbual tetapi banyak pula yang kami bualkan. Kebanyakannya berkisar tentang muzik, kehidupan dan secara tak langsung menyentuh aspek ketuhanan. Aku suka cara abang Meor berfikir, pandangannya sangat berbeza dengan orang lain yang pernah aku temui.

Lagu "Yang Terlintas Di Fikiran" bersama Azmyl Yunor

Aku rasa cukup sebagai pengenalan mengenai abang Meor. Selepas ini aku kena bertolak ke Pulau Pinang.  Ingin tahu dengan lebih lanjut atau berhasrat untuk beli album dan bukunya, bolehlah melawat blog Pesta Jiwa atau facebook page Meor Yusof Aziddin. Untuk pengetahuan, album dan bukunya tak ada dijual di kedai, semua dibikin sendiri tanpa melalui mana-mana major label!

Saturday, April 7, 2012

Bersama Nan Blues..

Semalam aku upload satu video di youtube, video Nan Blues (atau aku panggil sebagai abang Nan) busking di Central Market dengan lagu "Sesat di Kuala Lumpur". Nyanyian asal oleh M. Nasir dengan kumpulannya Kembara. Video dirakam tiga tahun lepas oleh kawan aku, Izan ketika kami singgah di Kuala Lumpur.


Bagi sesetengah orang, mungkin video tu tak ada yang menarik pun. Kualitinya tak cantik, rakam pun tak penuh (sekejap saja) tapi bila tengok video tu aku dapat rasa kembali dengan jelas pengalaman melihat abang Nan busking secara live. Di tempat asal aku Pulau Pinang, belum pernah lagi aku tengok orang busking begitu.

Abang Nan bermain gitar lengkap dengan amp dan juga harmonika. Seingat aku, dia ada nyanyi lagi dua lagu kesukaan aku, "Knockin' On Heaven's Door" dan "Like a Rolling Stone", nyanyian asal oleh Bob Dylan. Mungkin sebab tu aku tak boleh lupa pasal abang Nan. Bagi aku, abang Nan lebih hebat dari penyanyi asal, Bob Dylan mahupun M. Nasir.


"Sesat di Kuala Lumpur"
Central Market


Tujuan aku upload video tu sekadar ingin berkongsi kepada yang menghargai pemuzik jalanan seperti abang Nan, apatah lagi aku dapat tahu suasana busking sudah tiada di Central Market. Selepas upload, aku cari di internet perkembangan abang Nan dan aku dapat tahu yang dia akan main untuk satu program di PKNS, Shah Alam. Apa lagi, esoknya aku terus pergi..

Diringkaskan, tadi abang Nan ada main lagu "Blowin' in the Wind", "Busker Blues", "Kupu-kupu", "Blues Untuk Rakyat" dan beberapa lagi lagu yang aku tak ingat tajuknya. Seronok tengok abang Nan, selang satu lagu dia akan bercerita mengenai lagu yang akan dimainkannya. Lebih menarik lagi abang Nan bersetuju memainkan lagu permintaan aku, "Sesat di Kuala Lumpur".