Friday, March 16, 2018

Anak-anak Tahfiz dalam Motif Viral

Semalam aku menonton Motif Viral, satu rancangan yang dikatakan kerap mengangkat golongan yang melakukan benda-benda pelik atau entah apa-apa. Sebenarnya rancangan ini ada juga mempromosikan hal-hal yang bagus. Macam semalam, Motif Viral menjemput Ustaz Kamilin Jamilin dan dua anak didiknya dari Darul Siddir yang sangat hebat hafalan al-Quran mereka. 


Betapa hebatnya hafalan mereka sehingga ketiga-tiga hos tersipu, terpaku dan terdiam melihat mereka diuji dengan soalan-soalan yang sukar tetapi dapat dijawab dengan mudah bagaikan mempunyai photographic memory. Selain al-Quran, adik-adik ini juga boleh menghafal Hadis 40 himpunan Imam al-Nawawi. Dalam hal ini, aku sendiri berasa malu sebab pernah bercita-cita untuk menghafal Hadis 40 tetapi hadis no. 2 yang dibaca oleh adik itu pun aku tak betul-betul ingat lagi.

Tahniah kepada guru muda yang mendidik mereka iaitu Ustaz Kamilin atau sepatutnya dipanggil Dr. Kamilin. Untuk pengetahuan, sebulan yang lalu beliau telah lulus cemerlang viva peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang hadis dengan skor terbaik tanpa pembetulan. Tesisnya berkenaan al-Jarh wa al-Ta'dil, satu ilmu yang bersifat kritikal demi mempertahankan kewibawaan hadis Nabi ﷺ. Terima kasih kerana menjadi inspirasi kepada kami untuk mendekati al-Quran dan hadis.

Wednesday, March 14, 2018

Stephen Hawking dalam kenangan

"One day, all scientists in this world will worship God," kata seorang pemilik kedai buku terpakai di Jalan Chulia beberapa tahun lepas. Dia berkata begitu berdasarkan tulisan Stephen Hawking dalam buku A Brief History of Time. Menurut Hawking, kefahaman tentang alam semesta akan membawa kita mengenali "the mind of God".

Stephen Hawking 1942-2018

Aku katakan kepadanya yang aku sedang membaca buku The Grand Design. Buku tersebut ditulis 22 tahun selepas buku A Brief History of Time. Dalam The Grand Design, apabila berbicara tentang penciptaan alam, Hawking menganggap Tuhan tidak penting. Bagi beliau, graviti lebih penting.

Apa pun akidah Hawking, kami terus berbual. Berbual dan berkongsi apa sahaja. Bak kata Hawking dalam lagu Pink Floyd, "All we need to do is make sure we keep talking."