Tuesday, November 10, 2015

Aqidah Thahawiyah: Prinsip-Prinsip ‘Aqidah Salaf

“Sebaik-baik manusia adalah pada masaku (iaitu generasi Sahabat), kemudian yang sesudahnya (iaitu generasi Tabi’in) kemudian yang sesudahnya (iaitu generasi Tabi’ut Tabi’in).” [Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 2652) dan Muslim (no. 2533 (212))]
Berdasarkan sabda Rasulullah di atas, aku berpandangan perlunya menilai pengetahuan dan amalan sama ada akidah, fiqah atau akhlak berdasarkan kefahaman generasi Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in. Mereka merupakan generasi yang terbaik kefahamannya terhadap agama. Ketiga-tiga generasi ini juga biasa disebut oleh para ulama sebagai Salafus Soleh atau Salaf (salaf secara harfinya bermaksud terdahulu) dan mereka hidup sekitar tiga kurun terawal Hijrah. 

Aqidah Thahawiyah

Buku yang aku ingin kongsikan ini berkenaan akidah bertajuk Aqidah Thahawiyah. Penulisnya ialah Imam Abu Ja’far ath-Thahawi yang lahir pada tahun 239 H. Bapa saudara serta gurunya merupakan salah seorang murid Imam asy-Syafi’i yang terkenal iaitu Imam al-Muzani. Namun, ath-Thahawi lebih cenderung mengikuti fiqah mazhab Hanafi. Beliau menulis buku ini dengan menghimpunkan prinsip-prinsip akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang menjadi keyakinan para Salaf.

Pada pembacaan aku, buku ini sangat bermanfaat dalam mengajar asas-asas penting akidah atau pokok agama terutama dalam membezakan fahaman-fahaman yang menyelisihi pegangan Salaf. Imam ath-Thahawi mengarang buku ini ketika umat Islam berhadapan dengan aneka ragam pemikiran dan golongan (firqah) yang berbeza dalam soal akidah. Antara golongan itu ialah Khawarij, Musyabbihah, Jahmiyyah, JabriyyahQadariyyahRafidhah (Syiah) dan Mu’tazilah

Setiap golongan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Contohnya Mu’tazilah yang mana sistem teologi mereka meletakkan akal sebagai dalil utama pernah menjadi fahaman rasmi kerajaan Abbasiyyah. Prinsip mereka itu telah menyempitkan bahagian wahyu dan menimbulkan polemik agama seperti Mihnah Khalq al-Quran yang banyak mengorbankan ahli hadis dan fiqah. Mereka juga tanpa segan silu menolak sesuatu hadis apabila merasakan tidak rasional meskipun ianya sahih dan mutawatir

Selain itu, Rafidhah daripada kalangan Syiah membawa fahaman ekstrem dengan akidah mengkafirkan para Sahabat. Kesannya telah menukar rupa asal agama dari pelbagai sudut. Begitu juga golongan lain seperti Khawarij yang mengkafirkan pelaku dosa besar, Musyabbihah yang menyamakan sifat Allah dengan makhluk, Jahmiyyah yang menafikan sifat-sifat Allah, Jabriyyah yang keterlaluan dalam menetapkan takdir (determinist) dan Qadariyyah yang berfahaman kebebasan kehendak (free will).

Justeru, kehadiran buku yang serba ringkas tentang akidah ini sememangnya perlu kepada umat Islam untuk berhadapan dengan polemik agama yang terjadi ketika itu. Malah, sifatnya yang ringkas serta menyeluruh dalam menyatakan asas-asas penting akidah seperti tauhid, sifat-sifat Allah, kenabian, hari kebangkitan, takdir dan selainnya membuatkan Aqidah Thahawiyah masih menjadi rujukan sehingga kini. Semoga Allah melimpahkan kurnia buat pengarangnya.

Maklumat lanjut tentang buku ini serta urusan pembeliannya boleh merujuk di www.atsar.ilmusunnah.com. Terjemahan dalam bahasa Melayu Indonesia dan mendapat komentar ringkas daripada dua orang ilmuwan terkenal di Arab Saudi. Buku lain sebagai cadangan ialah al-Milal wa al-Nihal (Imam asy-Syahrastani) yang membincangkan setiap golongan yang telah tersebut di atas.
    

5 comments:

  1. Menarik ni.pasal akidah pun ada juga yg lain pandangan nya.terima kasih atas info buku ni bro..

    ReplyDelete
  2. jangan lupa tekan link yang ada terutama Rafidhah..

    situ ada buku format pdf Syiah Rafidhah: Di Antara Kecuaian Ulama dan Kebingungan Ummah..

    salah satu karya Maulana Muhammad Asri Yusoff yang terkenal..

    ReplyDelete