Saturday, November 28, 2015

SHIT (1999) – Novel Politik yang Busuk Lagi Membusukkan


Kawan aku sekali lagi bertanya tentang SHIT, sebuah novel satira karya Shahnon Ahmad. Aku sudah kata novel itu tak menarik. Tulisannya berselirat dan memualkan! Shahnon Ahmad sendiri menggambarkan karyanya sebagai novel politik yang busuk lagi membusukkan. Latar ceritanya ialah perut atau lebih tepat lagi usus besar yang padat dengan lengkaran ketulan taik. Pemimpin barisan taik yang berlengkar itu bernama PukiMak @ PM. Ceritanya begini, kepala taik yang bernama PM itu sangat degil untuk keluar dari lobang keramat dan mempertahan kebusukannya dengan teori bahawa kebusukan itulah budaya baru barisan taik. Malang sekali, tiada siapa berani membantah kecuali seketul taik. Taik itu bernama Wirawan. 

Lantas, dengan taktik kotor, PM telah mengarahkan lobang keramat supaya mengemut keluar Wirawan. Perlahan-lahan Wirawan bergolek dalam kancah lendir dan lemak hingga tiba di pinggir rembung. Apabila Wirawan terberak keluar, kebusukannya segera dibasuh sampai bersih oleh hujan, angin dan mentari. Kemudian, Wirawan dengan laungan reformasi menjadi pemimpin kepada bumi dan rakyat untuk berperang melawan barisan taik. Matlamat mereka agar wilayah perut menjadi bersih dan suci kerana sudah lama mereka terkesan dengan kebusukan kentut demi kentut dek kedegilan PM yang tak mahu keluar itu. Cukuplah serba sedikit jalan ceritanya. Keseluruhan cerita setebal 240 m/s tentu lebih mengganggu kewarasan anda.
  
   

Sunday, November 15, 2015

Buku ‘Pentagram Di Atas Pusara’ Menjadi Rebutan!


Buku Pentagram Di Atas Pusara, karya sulung Adi Herman baru sahaja sampai ke tangan aku. Malang sekali buku tersebut yang aku sendiri belum sempat menghabiskan bacaannya telah menjadi rebutan beberapa ekor makhluk ganjil! Khabarnya cetakan pertama buku itu sudah habis terjual di pasaran. Tidak hairanlah makhluk-makhluk ini datang berebut-rebut untuk membacanya. Tambahan pula penulisnya memang berbakat besar dengan gaya penulisan yang thrill, luar biasa dan berhikmah. Kepada yang belum mendapatkan buku ini, terpaksalah anda menanti cetakan seterusnya..
  

Tuesday, November 10, 2015

Aqidah Thahawiyah: Prinsip-Prinsip ‘Aqidah Salaf

“Sebaik-baik manusia adalah pada masaku (iaitu generasi Sahabat), kemudian yang sesudahnya (iaitu generasi Tabi’in) kemudian yang sesudahnya (iaitu generasi Tabi’ut Tabi’in).” [Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 2652) dan Muslim (no. 2533 (212))]
Berdasarkan sabda Rasulullah di atas, aku berpandangan perlunya menilai pengetahuan dan amalan sama ada akidah, fiqah atau akhlak berdasarkan kefahaman generasi Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in. Mereka merupakan generasi yang terbaik kefahamannya terhadap agama. Ketiga-tiga generasi ini juga biasa disebut oleh para ulama sebagai Salafus Soleh atau Salaf (salaf secara harfinya bermaksud terdahulu) dan mereka hidup sekitar tiga kurun terawal Hijrah. 

Aqidah Thahawiyah

Buku yang aku ingin kongsikan ini berkenaan akidah bertajuk Aqidah Thahawiyah. Penulisnya ialah Imam Abu Ja’far ath-Thahawi yang lahir pada tahun 239 H. Bapa saudara serta gurunya merupakan salah seorang murid Imam asy-Syafi’i yang terkenal iaitu Imam al-Muzani. Namun, ath-Thahawi lebih cenderung mengikuti fiqah mazhab Hanafi. Beliau menulis buku ini dengan menghimpunkan prinsip-prinsip akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang menjadi keyakinan para Salaf.

Pada pembacaan aku, buku ini sangat bermanfaat dalam mengajar asas-asas penting akidah atau pokok agama terutama dalam membezakan fahaman-fahaman yang menyelisihi pegangan Salaf. Imam ath-Thahawi mengarang buku ini ketika umat Islam berhadapan dengan aneka ragam pemikiran dan golongan (firqah) yang berbeza dalam soal akidah. Antara golongan itu ialah Khawarij, Musyabbihah, Jahmiyyah, JabriyyahQadariyyahRafidhah (Syiah) dan Mu’tazilah

Setiap golongan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Contohnya Mu’tazilah yang mana sistem teologi mereka meletakkan akal sebagai dalil utama pernah menjadi fahaman rasmi kerajaan Abbasiyyah. Prinsip mereka itu telah menyempitkan bahagian wahyu dan menimbulkan polemik agama seperti Mihnah Khalq al-Quran yang banyak mengorbankan ahli hadis dan fiqah. Mereka juga tanpa segan silu menolak sesuatu hadis apabila merasakan tidak rasional meskipun ianya sahih dan mutawatir

Selain itu, Rafidhah daripada kalangan Syiah membawa fahaman ekstrem dengan akidah mengkafirkan para Sahabat. Kesannya telah menukar rupa asal agama dari pelbagai sudut. Begitu juga golongan lain seperti Khawarij yang mengkafirkan pelaku dosa besar, Musyabbihah yang menyamakan sifat Allah dengan makhluk, Jahmiyyah yang menafikan sifat-sifat Allah, Jabriyyah yang keterlaluan dalam menetapkan takdir (determinist) dan Qadariyyah yang berfahaman kebebasan kehendak (free will).

Justeru, kehadiran buku yang serba ringkas tentang akidah ini sememangnya perlu kepada umat Islam untuk berhadapan dengan polemik agama yang terjadi ketika itu. Malah, sifatnya yang ringkas serta menyeluruh dalam menyatakan asas-asas penting akidah seperti tauhid, sifat-sifat Allah, kenabian, hari kebangkitan, takdir dan selainnya membuatkan Aqidah Thahawiyah masih menjadi rujukan sehingga kini. Semoga Allah melimpahkan kurnia buat pengarangnya.

Maklumat lanjut tentang buku ini serta urusan pembeliannya boleh merujuk di www.atsar.ilmusunnah.com. Terjemahan dalam bahasa Melayu Indonesia dan mendapat komentar ringkas daripada dua orang ilmuwan terkenal di Arab Saudi. Buku lain sebagai cadangan ialah al-Milal wa al-Nihal (Imam asy-Syahrastani) yang membincangkan setiap golongan yang telah tersebut di atas.