Baru-baru ini aku membaca sebuah buku bertajuk Syeikh Tahir Jalaluddin: Pemikir Islam (2003). Buku tersebut mengumpulkan enam kertas kerja yang membincangkan pelbagai perspektif ketokohan Syeikh Tahir Jalaluddin. Aku tertarik dengan kertas kerja Prof. Muhammad Bukhari Lubis iaitu Sumbangan Syeikh Tahir Jalaluddin (r.h.) terhadap Perkembangan Persuratan Islami.
Maulana ‘Asri – Syair ‘Allamah Iqbal: Satu Kenangan Perang Yarmuk (Urdu)
Dalam kertas kerja tersebut, Prof. Bukhari Lubis mengangkat Syeikh Tahir Jalaluddin sebagai seorang pujangga selain seorang sarjana yang berwibawa. Kualiti ketokohan ulama seperti Syeikh Tahir ini dilihatnya semakin berkurangan. Menurut beliau,
“Pada zaman sekarang suasana ini sungguh berbeza. Banyak agamawan yang tidak dapat menilai seni, walaupun mereka sudah mempelajari dan mendalami salah satu cabang seni, iaitu sastera, khasnya sastera Arab. Ada ulama fikah yang turut mendalami ilmu-ilmu Arabiah - maksudnya termasuklah sastera Arab – sebelum dia mendalami ilmu fikah, tetapi sayangnya tidak dapat menilai sastera (tidak kira Arab, Melayu, dan sebagainya), malah ada masanya merendah-rendahkan kegiatan kesusasteraan walaupun yang berlandaskan pengajaran Islam.”
Kata-kata beliau itu ada benarnya. Tak ramai agamawan yang dapat menilai seni khususnya sastera. Jarang sekali aku mendengar nama-nama penyair seperti Hamzah Fansuri, ‘Allamah Iqbal atau Maulana Jalaluddin Rumi daripada agamawan kita. Tak mustahil jika masyarakat berasa asing mendengar nama-nama penyair tersebut.
Aku masih ingat lagi, kali pertama mendengar nama Maulana Jalaluddin Rumi iaitu daripada bapa aku. Katanya, Rumi ialah seorang sufi dan puisi-puisinya yang indah itu terkenal di serata dunia. Aku hairan memandangkan aku tak pernah pun mendengar tentang Rumi. Kemudian, aku lihat buku-buku berkenaan Rumi dan terjemahan puisinya begitu banyak dalam bahasa Inggeris. Hal ini menunjukkan bahawa orang luar yang bahkan bukan beragama Islam lebih menghargai karya seni umat Islam berbanding penganutnya sendiri.
Maulana ‘Asri – Maulana Jalaluddin Rumi dan Kitab Masnawi
Oleh itu, aku tertanya-tanya sekiranya ada sesiapa khususnya agamawan yang dapat bercerita tentang Rumi dan karyanya. Menariknya, Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff mengemukakan sebuah kisah daripada Rumi ketika mensyarahkan hadis dalam Sahih al-Bukhari. Tak sangka ilmuwan hadis ini menjadikan karya Rumi sebagai bahan untuk syarahan beliau. Menurut Maulana ‘Asri, kisah Rumi mengenai seekor anak harimau yang membesar dalam lingkungan sekawan kambing itu ialah ibarat kepada keadaan Rasulullah ﷺ.
Menurutnya lagi, kebanyakan karya-karya Rumi seperti syair-syair dan kisah-kisah ibarat beliau sebenarnya mentafsirkan al-Quran dan hadis. Pandangan ini sama seperti yang dinyatakan oleh Prof. Bukhari Lubis dalam buku Bunga Rampai Sastera Parsi (1990),
“Rumi sentiasa menyisipkan ayat-ayat al-Quran ke dalam karyanya, atau sekadar mentafsirkan ayat al-Quran menerusi tulisannya.”
“Tindakan yang sama juga dilakukan oleh penyair sufi ini terhadap Hadis Nabi (s.a.w.), sama ada mengutipnya secara langsung atau hanya menggunakan intipati ideanya sahaja.”
Prof. Bukhari Lubis dalam kajiannya mengagumi kekreatifan Rumi dalam berkisah serta kebolehannya dalam mencipta sahsiah dan watak. Begitu juga Maulana ‘Asri yang mengakui keunikan sasteranya. Malah, beliau menukilkan pendapat Maulana Anwar Syah Kashmiri terhadap Masnawi sebagai salah satu kitab ajaib di dunia.
Maulana ‘Asri – Syair Syeikh Sa’di: Bustan (Parsi)
Selain memperkenalkan Rumi dan karya agungnya, Maulana ‘Asri turut memperkenalkan penyair-penyair Muslim yang lain seperti Syeikh Sa’di dan ‘Allamah Iqbal. Istimewanya, beliau berupaya membaca syair-syair mereka dalam bahasa asal iaitu Parsi dan Urdu. Beliau memuji Sa’di dan syair-syairnya yang sangat mendalam dalam menggambarkan perasaan dan jiwa manusia. Manakala syair Iqbal daripada Bang-i Dara menjadi pengisian berguna dalam kuliahnya yang bertujuan memurnikan sejarah Islam.
Pada hemat aku, usaha agamawan seperti Maulana ‘Asri yang memperkenalkan penyair-penyair ini adalah amat menarik. Beliau menyelitkan syair-syair dan kisah ibarat mereka di dalam kuliahnya kerana menyedari sifat manusia yang gemarkan kelainan dan kepelbagaian. Selain itu, kemahiran beliau bertutur dalam pelbagai bahasa mampu mengangkat karya seni umat Islam yang kian hilang dalam peredaran zaman. Khabarnya, beliau berhasrat untuk mengadakan seminar berkenaan Iqbal. Semoga hasratnya menjadi kenyataan!
uihhh saya baru tahu tentang info ni. banyak juga para agamawan Islam zaman dahulu yang terlibat sama dalam kesusasteraan ya.
ReplyDeleteGood info baru tau jugak ni.tq bro
ReplyDelete