Penulisan ini adalah ringkasan yang dibuat berdasarkan buku Prof. Seyyed Hossein Nasr, Sadr al-Din Shirazi dan Hikmat Muta’aliyah (Edisi 2) halaman 48-63 berkenaan magnum opus Sadr al-Din Shirazi (Mulla Sadra).
Karya agung Mulla Sadra (979-1050 H), al-Hikmat al-Muta’aliyah fil-Asfar al’-Aqliyyat al-Arba’ah (Hikmat Muta’aliyah tentang Empat Perjalanan Akal pada Jiwa) atau Asfar ditulis pada tahun 1037 H/1628 M. Terkenal kepada orang Parsi dan sebahagian besar masyarakat Muslimin benua kecil Indo-Pakistan, Asfar merangkumi hampir kesemua masalah yang dibincangkan dalam aliran-aliran pemikiran Islam yang awal seperti ilmu kalam, falsafah dan tasawuf. Ia merupakan lautan ilmu doktrin metafizikal dalam pemikiran Islam, malah pemikiran Yunani juga.
Buku hasil terjemahan Prof. Madya Baharuddin Ahmad terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tajuk asal, Sadr al-Din Shirazi and His Transcendent Theosophy (1978).
Istilah al-Hikmat al-Muta’aliyah merupakan judul kitab dan aliran pemikirannya yang diterjemahkan sebagai ‘Transcendent Theosophy’. Doktrin Mulla Sadra adalah ‘theosophy’ dan bukannya ‘philosophy’ kerana ia tidak terpancar dari rangka akalan manusia semata tetapi daripada benih pengertian qalbu atau wijdan. Frasa “al-Asfar al-‘Aqliyyat al-Arba’ah” ialah simbol perjalanan atau pengembaraan dari keadaan jahil ke satu keadaaan yang jelas, bercahaya dan ‘sedar’. Mulla Sadra menyatakan seorang arifin akan melalui empat perjalanan dan beliau menggunakan simbol ini bagi menggambarkan proses intelek manusia mencapai ilmu yang haqiqat.
Empat perjalanan yang dinyatakan oleh Mulla Sadra adalah seperti berikut:
1) Dari makhluk (khalq) ke Hakikat Kebenaran atau Pencipta (Haqq)
2) Dari Hakikat ke Hakikat dengan Hakikat (min al-haqq ila’l-haqq bi’l-haqq)
3) Dari Hakikat kepada makhluk dengan Hakikat (min al-haqq ila’l-khalq bi’l-haqq)
4) Dari makhluk kepada makhluk dengan Hakikat (min al-khalq ila’l-khalq bi’l-haqq).
Mulla Sadra memulakan Asfar dengan satu bab pengenalan bagi kita memahami diri dan pemikirannya. Perjalanan (safar) pertama dikhaskan kepada persoalan metafizik dan ontologi. Perjalanan kedua membicarakan sistem “falsafah tabii” menjadikan kajian ini tertakluk di bawah kategori logika Aristotle. Perjalanan ketiga membincangkan persoalan Zat, Nama dan Sifat Tuhan iaitu satu bidang ilmu daripada bidang ilmu Islam tradisional yang disebut “metafizik dalam maknanya yang khas” (al-ilahiyyat bi-ma’na’l-akhass). Safar terakhir dalam Asfar ditumpukan kepada psikologi tradisional (‘ilm al-nafs) dan soal kebangkitan semula atau eskatologi.
P/S: Menurut Prof. Seyyed Hossein Nasr, ahli sufi merupakan golongan paling banyak menggunakan simbol perjalanan dengan memberi contoh karya Farid al-Din ‘Attar, Mantiq al-Tayr (Persidangan Burung-burung). Untuk pengetahuan, karya itu menjadi inspirasi kepada lagu “Tanya Sama Itu Hud Hud” (M. Nasir).