Beberapa hari lepas, aku berkesempatan menghadiri syarahan kitab al-Rahiq al-Makhtum di Institut al-Qayyim, Pulau Pinang. Kitab tersebut yang ditulis oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri telah memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan Sirah (1979) anjuran Rabitah al-‘Alam al-Islami, Makkah. Syarahannya diadakan pada setiap hari Selasa minggu keempat dan disampaikan oleh Penasihat Institut al-Qayyim, Ustaz Abd. Rasyid Idris.
Pak Long tidak jemu menimba ilmu
Selesai sahaja syarahan dan sesi soal jawab, pakcik yang berada di sebelah aku berjabat tangan dan beramah mesra. Kami berbual ringkas. “Saya sebenarnya orang baru,” kata aku. Pakcik itu sudah tua dan orang di situ memanggilnya sebagai Pak Long. Kata Pak Long, “Nabi meninggalkan kita dua perkara yang mana apabila kita berpegang kepadanya, maka kita tak akan sesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnah. Cukuplah dua perkara itu.”
Kemudian Pak Long berpesan lagi, “Mintalah perlindungan kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan.” Menurut Pak Long, syaitan akan sentiasa berusaha mengelirukan kita. “Berapa ramai orang yang tak mengaji? Berapa ramai orang yang tak sembahyang?” soalnya. Pak Long akui cabaran yang dihadapi oleh anak muda zaman sekarang memang hebat. Lalu Pak Long mengibaratkan al-Quran dan Sunnah itu sebagai kunci bagi menyelesaikan segala permasalahan.
Akhir sekali Pak Long berpesan, “Berdoalah supaya Allah tak hilangkan kita daripada iman. Berdoa juga untuk kedua ibu bapa kita.” Katanya, “Kita melakukan kesalahan, mereka pun melakukan kesalahan. Berdoalah memohon keampunan Allah.” Begitulah pesan Pak Long. Pak Long bersyukur keempat-empat anaknya sudah berjaya. Kini Pak Long bahagia menikmati usia senja walaupun sedikit uzur. Oh, ya! Kita mungkin kenal salah seorang anaknya iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.