Pertama sekali aku mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan kepada yang membaca blog Kaboi Tanduk, tinggal beberapa jam saja lagi sebelum kita menginjak masuk ke bulan yang penuh barakah. Semoga amal kita kali ini dapat mendekatkan lagi diri kepada Allah, pencipta asal kejadian kita semua.
Entry kali ini seperti juga entry Mengenang Ulama Terdahulu, cumanya ulama yang ingin aku perkenalkan ini bukanlah ulama yang telah lama meninggalkan kita, beliau masih hidup dan tidak putus dengan usaha dakwahnya sebagai menyambung usaha dakwah yang telah ditinggalkan oleh ulama terdahulu. Beliau yang aku maksudkan itu ialah Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Syeikh Nuruddin berasal dari Banjarmasin, Kalimantan Selatan, Indonesia. Walaupun berasal dari Indonesia, beliau kerap juga berkunjung ke Malaysia memandangkan beliau pernah menjadi guru di Maahad Tarbiyah Islamiah (Kedah). Dalam dua minggu lepas, aku berkesempatan untuk menghadiri tausiah Syeikh Nuruddin di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. Satu pengalaman yang tidak mungkin dapat aku lupakan kerana aku duduk sangat hampir dengan Syeikh Nuruddin.
Syeikh Nuruddin begitu tersentuh hatinya mendengar laungan azan oleh Syeikh Ali Moola, iaitu muazzin Masjidil Haram, Mekah yang kebetulan dijemput pada hari yang sama. Katanya, mendengar laungan azan itu mengingatkan beliau pada Tanah Suci Mekah, tempat pengajiannya suatu ketika dahulu dan juga mengingatkan beliau pada Kota Madinah. Betapa rindunya Syeikh Nuruddin sehingga aku dapat melihat dengan jelas air matanya keluar ketika beliau bercerita mengenai perasaannya.
Katanya, "Bagaimana kita tidak merindukan sebuah tempat, sebuah kota yang di sana tempat mundar-mandirnya baginda, yang di sana nabi kita dikuburkan, yang di sana nabi kita duduk dengan orang ramai, yang di sana nabi kita khutbah, yang di sana nabi kita memberikan nasihat, yang di sana nabi kita memberikan panduan dan bimbingan kepada umat, yang di sana dengan Saidina Rasulullah s.a.w sembahyang berdiri di hadapan Allah yang sehingga sampai bengkak kedua belah kaki beliau."
Katanya, "Bagaimana kita tidak merindukan sebuah tempat, sebuah kota yang di sana tempat mundar-mandirnya baginda, yang di sana nabi kita dikuburkan, yang di sana nabi kita duduk dengan orang ramai, yang di sana nabi kita khutbah, yang di sana nabi kita memberikan nasihat, yang di sana nabi kita memberikan panduan dan bimbingan kepada umat, yang di sana dengan Saidina Rasulullah s.a.w sembahyang berdiri di hadapan Allah yang sehingga sampai bengkak kedua belah kaki beliau."
Sambungnya lagi, "Betapa bahagianya kalau pada waktu kita di Madinah kita berpijak di tempat nabi kita berpijak, kita berdiri di tempat nabi kita berdiri, kita berjalan di tempat nabi kita mundar-mandir, ataupun juga dengan kedua belah telapak kaki kita berpijak di atas telapak kaki para sahabat, atau juga pada waktu kita beri'tikaf di Masjid Nabawi yang dengan punggung kita duduk di tempat para sahabat nabi kita duduk, mungkin juga di tempat nabi kita duduk."
Tausiah Syeikh Nuruddin pada hari itu sememangnya banyak menanamkan rasa cinta dan rindu kepada Rasulullah melalui cerita para sahabat, mendidik jiwa dengan akhlak yang baik di samping mengenal erti tawaduk dan merendah diri. Rasanya cukup setakat ini sebagai pengenalan mengenai seorang ulama yang aku hormati. Boleh baca di SINI untuk mengetahui latar belakang Syeikh Nuruddin dengan lebih lanjut.
Seperkara lagi, boleh juga ikuti program Ihya Ramadhan bersama Syeikh Nuruddin sepanjang bulan Ramadhan di TV AlHijrah setiap hari pada pukul 5.00 hingga 5.30 petang. Kalau sesiapa yang boleh rakam, minta tolong rakam dan upload ya!