Thursday, January 29, 2015

Pesan Pak Long (Institut al-Qayyim)

Beberapa hari lepas, aku berkesempatan menghadiri syarahan kitab al-Rahiq al-Makhtum di Institut al-Qayyim, Pulau Pinang. Kitab tersebut yang ditulis oleh Syeikh Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri telah memenangi tempat pertama Sayembara Penulisan Sirah (1979) anjuran Rabitah al-‘Alam al-Islami, Makkah. Syarahannya diadakan pada setiap hari Selasa minggu keempat dan disampaikan oleh Penasihat Institut al-Qayyim, Ustaz Abd. Rasyid Idris. 

Pak Long tidak jemu menimba ilmu

Selesai sahaja syarahan dan sesi soal jawab, pakcik yang berada di sebelah aku berjabat tangan dan beramah mesra. Kami berbual ringkas. “Saya sebenarnya orang baru,” kata aku. Pakcik itu sudah tua dan orang di situ memanggilnya sebagai Pak Long. Kata Pak Long, “Nabi meninggalkan kita dua perkara yang mana apabila kita berpegang kepadanya, maka kita tak akan sesat selama-lamanya. Itulah al-Quran dan Sunnah. Cukuplah dua perkara itu.” 

Kemudian Pak Long berpesan lagi, “Mintalah perlindungan kepada Allah daripada (kejahatan) syaitan.” Menurut Pak Long, syaitan akan sentiasa berusaha mengelirukan kita. “Berapa ramai orang yang tak mengaji? Berapa ramai orang yang tak sembahyang?” soalnya. Pak Long akui cabaran yang dihadapi oleh anak muda zaman sekarang memang hebat. Lalu Pak Long mengibaratkan al-Quran dan Sunnah itu sebagai kunci bagi menyelesaikan segala permasalahan. 

Akhir sekali Pak Long berpesan, “Berdoalah supaya Allah tak hilangkan kita daripada iman. Berdoa juga untuk kedua ibu bapa kita.” Katanya, “Kita melakukan kesalahan, mereka pun melakukan kesalahan. Berdoalah memohon keampunan Allah.” Begitulah pesan Pak Long. Pak Long bersyukur keempat-empat anaknya sudah berjaya. Kini Pak Long bahagia menikmati usia senja walaupun sedikit uzur. Oh, ya! Kita mungkin kenal salah seorang anaknya iaitu Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
   

Saturday, July 12, 2014

Labah-labah Kerengga



Sekali imbas ianya seperti kerengga. Sebenarnya bukan kerengga tetapi labah-labah. Ya, labah-labah. Cubalah kira bilangan kakinya itu. Jumlahnya lapan seperti labah-labah yang lain. Terima kasih kepada Mat Arip yang menemui haiwan unik ini di bangsal nelayan Bagan Ajam, Pulau Pinang. Dia juga sempat merakam aksi labah-labah berupa kerengga ini bergayut pada benang yang keluar dari hujung punggungnya. Sempoi..



Kali terakhir aku nampak haiwan unik lagi pelik ini ialah belasan tahun lepas, ketika berehat di tepi sungai setelah puas mandi-manda. Aku hairan dan terpaku melihatnya. Apakah haiwan ini terhasil akibat proses mutasi antara labah-labah dan semut? Memang surreal.. Malangnya bila aku panggil kawan aku, haiwan itu hilang. Aku kecewa malah berasa keliru sama ada apa yang aku lihat itu benar atau hanya khayalan.



Untuk pengetahuan, nama saintifik labah-labah ini ialah Myrmarachne plataleoides atau dikenal sebagai Kerengga Ant-like Jumper. Semua labah-labah di sini adalah jantan. Labah-labah betina lebih persis menyerupai kerengga. Labah-labah berupa semut atau ant mimicry sangat banyak, melebihi 100 spesies. Oh, ya! Kalau perasan, yang di hadapan itu bukan kepalanya. Itu bahagian rahang, dalam ada taring..



  

Sunday, May 25, 2014

Pergolakan Jiwa Imam al-Ghazali

"I saw for certain that I was on the brink of a crumbling bank of sand and in imminent danger of hell-fire.."
".. my tongue would not utter a single word nor could I accomplish anything at all." 
".. I could hardly swallow or digest a single mouthful of food."
"My powers became so weakened that the doctors gave up all hope of successful treatment."
Imam al-Ghazali menulis kata-kata tersebut dalam buku autobiografi beliau, al-Munqiz min al-Dalal (Deliverance from Error). Kata-kata itu menggambarkan keadaan dirinya semasa menempuh satu peringkat atau fasa yang bergolak. Sudah pasti bukan pergolakan biasa kerana beliau yang berada pada kemuncak kariernya (sebagai profesor di Universiti al-Nizamiyyah), dikenal pula sebagai seorang yang mahir dan unggul dalam berhujah, ironinya, menggambarkan dirinya tewas dan tiada harapan. Peringkat ini beliau alami sebelum menulis Ihya’ ‘Ulum al-Din (The Revival of the Religious Sciences) dan karya-karya lain berkenaan penyucian jiwa.
   
Peter Murphy - I Am My Own Name
   

Friday, April 18, 2014

Dr. Danial: Teori Big Bang


Memandangkan kawan aku ada buku Quran Saintifik edisi kemas kini yang diterbitkan pada awal tahun ini, manakala aku pula ada edisi lama yang diterbitkan pada tahun 2007, aku fikir baik juga aku buat perbandingan untuk melihat perubahan atau penambahan pada tulisan Dr. Danial. Melalui prakata edisi kemas kini beliau menyatakan,
Hampir 50% daripada isinya dikemaskinikan. Terdapat beberapa tajuk baharu yang saya tambah, antaranya Metodologi Pentafsiran Al-Quran dan Bolehkah Diterima Penemuan Oleh Saintis Kafir.. 
Sebagai lanjutan untuk entri lepas, fokus aku di sini adalah kepada tulisan beliau mengenai teori Big Bang dan aku lihat ada penambahan dibuat di akhir tulisan beliau mengenai teori tersebut pada m/s 44. Aku melihat penambahan itu sebagai reaksi terhadap kritikan oleh Prof. Shaharir. Kata Dr. Danial, 
Kita tidak perlu beriman dengan teori Big Bang, apatah lagi terdapat beberapa aspek tentang teori ini yang masih didebatkan. Namun para saintis rata-ratanya bersetuju tentang hakikat permulaan alam yang diutarakan oleh teori ini, iaitu, langit dan bumi pada asalnya bercantum padu.
Profesor Dr. Zaghloul Ragheb Mohamed An-Najjar, seorang pakar dalam bidang geologi (Ph.D. Geology, University of Wales, UK, 1963) merupakan Pengerusi Jawatankuasa Mukjizat Saintifik dalam Al-Quran dan Sunnah di bawah naungan Majlis Tertinggi Agama Islam Mesir. Beliau merumuskan hal ini dengan berkata (di http://www.elnaggarzr.com/en/index.php), "Sama ada kita hendak menerima model Big Bang atau versi-versi yang diubah-suai, ia tidak menjadi masalah. Hal ini disebabkan ia tidak mengubah perkara pokok tentangnya, iaitu, pada asalnya langit dan bumi bercantum padu. Hal ini mengagumkan kerana ketika itu (pada zaman Nabi) tidak ada seorang pun yang tahu tentang hakikat ini." 
Untuk pengetahuan, al-Quran telah menyatakan asal usul kejadian langit dan bumi pada asalnya bercantum padu sebelum dipisahkan antara kedua-duanya (al-Anbiya' 21: 30). Penerangan lanjut boleh juga lihat Al-Quran Menjawab Bersama Dr. Danial.

In the Beginning by Genesis on Grooveshark
P.S: "It has begun, you're in the hands of destiny.."
  

Tuesday, April 8, 2014

Ustaz Azhar Idrus: Sains Menipu Manusia?

Penulisan entri ini adalah berdasarkan komen aku di Facebook terhadap mereka yang menggambarkan Ustaz Azhar Idrus (UAI) sebagai seorang ahli agama yang cuba menjauhkan umat Islam daripada ilmu sains melalui satu video beliau baru-baru ini.

Ustaz Azhar Idrus - Sains Menipu Manusia

Saya agak terkejut, tetapi apabila dinilai semula, ianya tidaklah seteruk mana. Pada mulanya, UAI mungkin dilihat membakul-sampahkan ilmu sains. Namun kita masih boleh bertoleransi dalam hal ini dengan mengatakan ia hanya dituju kepada Teori Big Bang sahaja. Setahu saya, tidak semua ahli sains menerima sepenuhnya teori ini. Ambil contoh mudah Dr. Danial Zainal Abidin yang menerima teori ini seperti yang ditulis di dalam bukunya, Quran Saintifik. Kemudian kita lihat pula kritikan oleh Prof. Shaharir Mohamad Zain terhadap bukunya itu - http://me.leokid.my/kritikan-quran-saintifik-karya-dr.../

Ustaz Azhar Idrus - Matahari atau Bumi Mengelilingi?

Persoalannya di sini, adakah benar UAI membakul-sampahkan ilmu sains? Hakikatnya tidak. Beliau di sini seperti ahli sains lain yang cuba memberi kritikan cuma kritikannya tidaklah saintifik. Untuk pengetahuan, ada sahaja pandangan beliau yang menerima ilmu sains. Malah ada satu ketika beliau secara tidak langsung membantah pendukung Teori Geosentrik khususnya di kalangan umat Islam sendiri yang mengatakan bahawa Bumi adalah pegun dan bertindak sebagai pusat alam semesta atas dasar tafsiran mereka terhadap zahir ayat al-Quran - http://www.youtube.com/watch?v=Qq1J59QsY2w
___________________
P.S: Perbahasan lanjut Prof. Shaharir Mohamad Zain mengenai penolakan teori Big Bang boleh dibaca pada buku Kritikan Teori Kenisbian & Teori Quantum.
  

Friday, March 28, 2014

Society: Holocaust (A Circle of Friends, 1993)

Patutlah aku dengar suara lain macam, memang bukan lagu Society pun! Ini mesti kes tersilap cetak sampaikan tukang upload pun tak sedar. Ok, apa yang aku maksudkan di sini ialah lagu kumpulan Society dalam album kompilasi A Circle of Friends (1993) yang aku dengar di YouTube. Suara penyanyinya tak seperti yang biasa aku dengar.

Society - Holocaust

Agaknya ramai yang tak sedar sebab ulasan yang aku baca di blog Dissecting the Euphony pun tak menunjukkan yang mereka sedar tentang perkara ini. Lagu yang sebetulnya setelah disahkan sendiri oleh abang Meor selaku frontman kumpulan tersebut ialah seperti yang aku letak di atas yang mana ia dinyatakan sebagai lagu daripada kumpulan Commoner. Kata abang Meor mengenai album kompilasi ini,
Ini antara album terawal untuk genre alternatif di Malaysia. Kredit untuk Joe Kidd as a producer..
Membaca komen di YouTube pula menunjukkan kepada aku yang lagu ini ada kekuatannya yang tersendiri. Lagu dan liriknya berjaya mengembalikan memori, kenangan atau nostalgia kepada pendengarnya yang hidup di era tersebut. Malah, apabila dibandingkan views untuk lagu ini dengan lagu-lagu kumpulan lain, ianya jauh lebih tinggi serta berjaya mengatasi kumpulan yang lebih well known seperti Flop Poppy, Subculture dan Spiral Kinetik Circus. Nampaknya lagu ini bertaraf kvlt!

_________________
P.S: Ulasan album solo terbaru Meor, Redup (2013) boleh dibaca di blog Krenmaut. 
  

Friday, November 15, 2013