Saturday, August 15, 2020

Yusuf Islam dan Pengaruhnya dalam Kalangan Pemuzik Grunge


Apabila Frances Bean Cobain menyanyikan lagu "The Wind" dan memuat naik videonya di Instagram, ia mendapat perhatian ramai termasuklah penulis asal lagu tersebut iaitu Yusuf Islam. Timbul persoalan, daripada mana anak Kurt Cobain mendengar lagu itu? Adakah melalui koleksi piring hitam bapanya? Adakah pemuzik grunge meminati muzik folk?

Seperti yang pernah dikongsikan dalam penulisan sebelum ini, Yusuf atau Cat Stevens mendapat sokongan yang tidak disangka daripada legenda punk rock Johnny Ramone. Pemain gitar Ramones itu sebelum meninggal dunia telah melobi kemasukan Yusuf ke dalam Rock & Roll Hall of Fame. Turut membantu beliau ketika itu ialah penyanyi kumpulan grunge Pearl Jam, Eddie Vedder.

Vedder bukanlah membantu Johnny Ramone semata-mata atas dasar simpati terhadap rakannya yang menderita sakit kanser itu, tetapi beliau sendiri berkongsi minat mendengar lagu-lagu Yusuf. Semenjak tahun 90-an lagi beliau telah menyanyikan lagu-lagu Yusuf dalam konsert-konsert beliau. Antara lagu yang menjadi pilihan beliau ialah "Trouble," "Don't Be Shy" dan "If You Want to Sing Out, Sing Out."

Ketiga-tiga lagu tersebut sinonim dengan filem komedi gelap Harold and Maude. Filem arahan Hal Ashby itu memuatkan sebanyak sembilan buah lagu oleh Yusuf. Kata Vedder, "When I was 12, I remember seeing the movie, Harold and Maude, a film that is accompanied by several Cat Stevens songs. Cat’s voice represents the interior voice of the character throughout the movie, and he does it absolutely perfectly."

Melihat sinergi yang sempurna antara filem dan muzik itu, beliau menyatakan, "It really inspired me to try writing for film." Pada tahun 2007, Vedder telah menulis lagu-lagu bagi filem Into the Wild. Filem biografi tentang Christopher McCandless itu mendapat dua pencalonan Academy Awards. Manakala, lagu "Guaranteed" memenangi anugerah Golden Globe Awards bagi kategori Best Original Song.

Chris Cornell bersikap prejudis terhadap muzik folk yang didedahkan kepadanya dalam era 70-an. Beliau membencinya kerana beliau membenci hippies. Menurutnya, "The reason why I hated it had more to do with who I associated it with. Something like, ‘Their taste sucks. Whatever you like, I definitely hate.’ The best example I can think of is probably Cat Stevens. Great songs, amazing albums—hated the people who liked it."

Penyanyi Soundgarden itu tidak menafikan kehebatan karya Yusuf sekalipun beliau membenci golongan yang menggemarinya. Bahkan, semasa mengeluarkan album Higher Truth, beliau mengaku bahawa pemuzik berketurunan Greek itu ialah salah seorang pengaruh folk beliau. Kata Cornell kepada Rolling Stone, "I came around later to Tom Waits, some parts of Jim Croce and a lot of Cat Stevens."

Beliau pernah beberapa kali memainkan lagu "Trouble" dalam siri persembahan akustiknya. Lagu tersebut menceritakan keadaan seseorang yang merayu supaya dapat mengelakkan kematian. Yusuf sendiri menulisnya ketika berada di ambang kematian akibat tenat menghidap penyakit batuk kering (tuberculosis). Kata Cornell mengenai lagu tersebut, "This was quite one of the ones that I actually related to a lot."

Anggota Soundgarden yang lain iaitu Ben Shepherd dan Matt Cameron pernah menubuhkan sebuah kumpulan dikenali sebagai Hater pada tahun 1993. Berbeza dengan Soundgarden, Shepherd bermain gitar dan menyanyi untuk kumpulan psychedelic garage rock ini. Bersama John McBain, John Waterman dan Brian Wood, mereka mengeluarkan album sulung berjudul Hater pada tahun yang sama.

Shepherd memilih lagu "Mona Bone Jakon" iaitu lagu asal oleh Yusuf sebagai pembuka album sulung mereka. Jarang sebenarnya lagu ini dipilih oleh mana-mana artis untuk dinyanyikan semula. Lagu versi nyanyian semula oleh Hater berbeza dengan versi asal yang dikeluarkan pada tahun 1970. Di samping muziknya yang kedengaran lebih rancak, Shepherd menambah dua rangkap dalam lagu tersebut.

Namun, beliau menyesali tindakannya itu. Kata Shepherd, "I’ve just always loved that song. I was such a young idiot I didn’t even think about the ethics of adding verses to it. Man, what an idiotic, graffiti-is, bullshit thing to do. The story goes, he’s extremely protective of his songs. He’ll have a couple of different publishing companies protecting a song." Meskipun begitu, Yusuf dikatakan telah memberi keizinan kepadanya.

Apa kata Yusuf tentang grunge? Dalam wawancara bersama The Project, beliau ada menyebutkan perihal grunge. Anaknya bermain dalam sebuah kumpulan dikenali sebagai Noxshi. Ditanya adakah muziknya sama seperti beliau, Yusuf menjawab, "It's a grungy. But I could have inspired a few grunge mentalists in my time because I was to do with emotion, letting out and not holding it back. That's what it's about."

Rujukan
  1. K, E. (2019, August 10). Kurt Cobain’s Daughter Shares An Astonishing Video - And Yusuf Cat Stevens Commented. Metalhead Zone. 
  2. Tanduk, K. (2020, May 9). Legenda Punk yang Mahu Yusuf Islam ke Rock & Roll Hall of Fame. Kaboi Tanduk. 
  3. Uncut. (2009, August 6). Uncut Artist Interview: Pearl Jam’s Eddie Vedder. Uncut. 
  4. Phaneuf, W. (2015, October 31). Chris Cornell Unplugs to Discover His ‘Higher Truth.’ Acoustic Guitar. 
  5. Fricke, D. (2015, September 15). Chris Cornell on Secret Folk Influences, Why He Feels Like Neil Young. Rolling Stone. 
  6. Kamerarosak. (2020, June 6). Chris Cornell - Trouble (Cat Stevens cover). YouTube. 
  7. Segal, D. (2016, June 9). Ben Shepherd on the Reissue of Hater’s Self-Titled LP, Covering Cat Stevens, and Blasting Alan Thicke’s Ears. The Stranger. 
  8. Yusuf / Cat Stevens. (2018, June 28). Yusuf Islam / Cat Stevens - Interview on ‘The Project’ (2012). YouTube.