Wednesday, January 10, 2018

Peter Murphy dan Bookxcess

Lama benar aku tak tulis apa-apa di sini. Sebelum blog ini menjadi kubur, lebih baik aku hias apa-apa yang patut supaya menjadi taman. Kongsi ringkas-ringkas sahaja.

Peter Murphy 


Beberapa tahun lepas, aku pernah bercerita tentang Peter Murphy. Beliau terkenal dengan gelaran Godfather of Goth kerana mencetuskan fenomena muzik gothic rock lewat 70-an bersama Bauhaus. Dikatakan memeluk Islam setelah tertarik dengan ajaran sufi, Holy Smoke (1992) merupakan album solo keempat dan yang pertama diterbitkan selepas beliau berhijrah ke Istanbul. Aku baru menerima album ini empat hari sebelum menjelangnya 2018. Album ini menyusuli Deep (1989), sebuah album yang melonjakkan namanya. Namun, Holy Smoke dianggap pengkritik sebagai album yang menjatuhkan karier beliau kerana jualan tidak memberangsangkan dan lagu-lagu tidak cukup melekat. 

Jadi kenapa memilih album ini? Pertama, pada pandangan aku, Holy Smoke ialah album terakhir yang dihasilkan pada waktu kemuncak beliau sebagai seorang penyanyi. Selepas album ini, vokal beliau kedengaran dimamah usia dan tidak lagi menonjol. Kedua, kualiti rakamannya sangat baik. Pasanglah sekuat mana, anda tetap terhibur, bahkan lebih menghargai betapa jelas dan padu bunyinya. Tidak seperti album-album hari ini yang menjadi mangsa loudness war. Ketiga, lagu-lagunya tidaklah teruk. Jualannya tidak memberangsangkan kerana pada waktu itu kiblat pendengar muzik mula beralih kepada Seattle (baca: grunge). Sekalipun ada lagu yang hambar, lagu-lagunya secara keseluruhan masih mantap dan mengekalkan identiti Peter Murphy sebagai ikon gothic yang berjiwa halus lagi romantis. Keempat, gambar pada kulit album dan gambar-gambar yang menghiasi sisipan (inlay) adalah daripada Antoin Corbijn.  

Peter Murphy - The Sweetest Drop

Peter Murphy - Hit Song

Bookxcess

Penulis blog Lubang Kuning merungut kepada aku tentang Big Bad Wolf yang tidak lagi singgah ke Pulau Pinang untuk menjual buku-buku murah. Memandangkan sempena 12 hari bulan 12 yang lalu Bookxcess Online menawarkan tambahan diskaun sebanyak 12% bagi pembelian melebihi RM100, maka aku mengajaknya turut serta memesan buku-buku bersama aku. Terima kasih kepada Rafi yang pernah beritahu buku-buku Big Bad Wolf diambil daripada Bookxcess. Jadi stoknya lebih kurang sama sahaja. 


Kami masing-masing memesan tiga buah buku. Tajuk buku-buku yang aku pesan ialah: 
  • The Case for God oleh Karen Armstrong 
  • The Story of Philosophy oleh James Garvey dan Jeremy Stangroom 
  • The Magic of Reality oleh Richard Dawkins 

Karya Karen Armstrong dipilih kerana aku sememangnya berhasrat untuk membaca dan memiliki sebuah buku daripada beliau. Kalau siapa masih ingat, blog Krenmaut pernah berkongsi tentang buku A History of God daripada penulis yang sama. Perkongsiannya agak thought provoking dan menarik minat aku. Namun, buku tersebut tiada dalam katalog dan aku mengambil keputusan memilih The Case for God, sebuah buku yang masih bercerita tentang Tuhan. Kandungannya terbahagi kepada dua bahagian iaitu The Unknown God dan The Modern God. Penulisannya pula dikatakan bertitik tolak daripada kritikan golongan ateis semisal Richard Dawkins, Christopher Hitchens dan Sam Harris terhadap agama. Bagi Armstrong, kritikan mereka adalah lemah dan dangkal kerana memfokuskan Tuhan yang dikembangkan oleh golongan fundamentalis.

Kemudian, aku bercadang untuk membaca sebuah buku tentang falsafah yang ditulis berdasarkan kerangka fikir atau worldview orang Barat sendiri. Belek senarai buku-buku yang ada, The Story of Philosophy memang kena dengan kehendak aku dan ulasan-ulasan yang aku baca mengenai buku tersebut nampak positif. Kedua-dua penulis masing-masing mempunyai autoriti dalam bidang falsafah dan sosiologi. Disebabkan mereka juga merupakan editor The Philosophers' Magazine, penyampaiannya mudah dan santai. Selain itu, apa yang menarik minat aku walaupun buku ini tertumpu kepada sejarah pemikiran Barat, terdapat peruntukan bagi pemikiran daripada tamadun Islam dengan membicarakan tokoh-tokoh seperti Ibnu Sina, al-Ghazali dan Ibnu Rusyd.

Richard Dawkins - The Magic of Reality (Talks at Google)

Akhir sekali, sebuah buku yang ditulis oleh ahli biologi evolusi dan pemuka ateis abad ini iaitu Richard Dawkins. Beliau sangat terkenal dengan persepsi negatif dan kenyataan yang kasar terhadap agama. Antara buku beliau yang sering disebut-sebut ialah The Selfish Gene dan The God Delusion.  Buku The Magic of Reality bagaimanapun disasarkan kepada golongan muda. Buku ini lebih kurang pengenalan terhadap sains untuk budak-budak sekolah dan sebagai panduan kepada ibu bapa ateis mendidik anak-anak mereka. Istilah magic pada tajuknya digunakan dengan maksud poetic atau kiasan sahaja. Menerusi buku ini, Dawkins mahu membawa pembacanya berfikir dan menghargai realiti alam berpandukan neraca sains berbanding merasa takjub dengan cerita-cerita aneh atau karut yang sering disampaikan oleh golongan beragama. 

P/S: Holy Smoke dibeli daripada Boon KH Tan dengan harga yang sangat berpatutan melalui GROUP JUALAN CD/LP/EP/KASET ORIGINAL. Buku Dawkins jenis paperback layak dikatakan versi teks sahaja walaupun tertera nama pelukisnya.
  

4 comments:

  1. Menarik info tu aku nak cuba dgr kat youtube nanti

    ReplyDelete
  2. Sama2 bro.aku pun lupa nak bagitau bookexcess online mmg tgh jual murah.tak dpt pegi bbw takpa lagi pun list buku dlm talian sama yg di jual kat event bbw.buku2 yg aku beli masa event tahun 2013 pun ada yg tak baca lagi..heheh.buku2 yg kau beli pun bole tahan menarik.
    Btw,thanks info pasal peter murphy tu baru tau dia rupanya ikon gothic

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama la kita, buku2 lama pun belum habis baca.. mungkin kita bukan pembaca yang bagus, lebih kepada pendengar.. atau boleh jadi kita pembaca yang bagus sebab lepas baca sikit kita fikir, hadam dan praktis, sebab tu ambik masa lama.. haha

      Delete