Maulana Muhammad 'Asri Yusoff
Gambar oleh Daud Mili
Gambar oleh Daud Mili
Mungkin di sini ada yang sudah kenal dengan Maulana Asri kerana beberapa kali juga namanya disebut di blog Krenmaut. Beberapa hari lepas aku terbaca satu status di Facebook yang memuji beliau,
Saya pernah berjumpa dan berbual-bual dengan Maulana Asri Yusoff. Malahan saya juga telah menonton banyak rakaman kuliahnya di www.darulkautsar.net mahupun di Youtube. Saya semakin hormat pada ilmu dan keperibadiannya.
Ketika kuliah atau di luar kuliah, beliau tidak pernah menyindir, menerima teguran malahan berterima kasih kepada orang yang sudi menegurnya, berlapang dada, tidak mencaci maki dan jawapannya akan diterangkan dari pelbagai sudut dan mazhab serta begitu berhikmah. Sukar untuk sesiapa membenci ilmuan seperti Maulana Asri.
Alangkah baiknya jikalau ilmuan yang ada di Malaysia dapat mencontohi akhlak mulia yang ditonjolkan oleh Maulana Asri Yusoff. InshaAllah, anak murid akan mencontohi akhlak yang ditunjukkan oleh guru mereka.
- Firdaus Wong Wai Hung
Aku setuju, sukar untuk sesiapa membenci ilmuwan seperti Maulana Asri. Perkara ini aku dapat lihat sendiri di kalangan mereka yang mungkin berbeza pendapat dengan beliau. Apabila berbicara tentang beliau atau pendapat yang dikemukakannya, mereka tetap menjaga adab dan tingkah laku kerana rasa hormat kepada ilmu dan keperibadian beliau. Oleh sebab itu, mereka yang mengikuti kuliah Maulana Asri terdiri daripada pelbagai latar belakang pengajian dan aliran hasil keterbukaan beliau sendiri.
Masjid Darul Kautsar
Gambar dari Kelab Peminat Maulana Muhammad 'Asri Yusoff
Sepulangnya ke Malaysia, beliau berkhidmat sedikit sebanyak kepada masyarakat dan membuka Pusat Pengajian Al-Qur'an Darul Kautsar. Untuk pengetahuan, Maulana Asri merupakan sebilangan kecil ilmuwan hadis di Malaysia yang berjaya khatam mensyarahkan Sahih al-Bukhari. Istimewanya syarahan hadis oleh beliau ialah ianya dilakukan dengan begitu terperinci. Antara buku yang dikarang oleh beliau pula ialah Syiah Rafidhah, Siri Pemurnian Awal Islam, Kamus Tematik al-Kautsar (Melayu - Arab - Urdu) dan lain-lain.
Aku telah menuntut dengan Maulana Asri lebih daripada 20 tahun iaitu sejak tahun 1989. Aku tahu beliau amat cinta kepada imam-imam hadith dan kitab-kitab susunan/karangan mereka. Saban tahun beliau menelaah dan mengajar kitab-kitab berkenaan tanpa mengenal penat lelah. Sekarang ini beliau berusaha untuk menghasilkan kitab-kitab syarah hadith dan pemurnian sejarah.
- Wan Azahar Wan Omar
Sebagaimana yang dikhabarkan oleh salah seorang murid Maulana Asri, beliau kini sedang berusaha untuk menghasilkan kitab-kitab syarah hadis. Antaranya kitab syarah kepada Sahih al-Bukhari, Misykatul Mashaabiih dan Jaami' at-Tirmizi. Difahamkan kitab-kitab syarah hadis seumpama itu sangat kurang di tempat kita berbanding di tempat lain seperti India dan Pakistan. Semoga Allah mempermudahkan usaha beliau..
----------
Untuk makluman, kepada sesiapa yang tinggal di sekitar Lembah Klang bolehlah mengikuti kuliah Maulana Asri untuk siri talaqqi Jaami' at-Tirmizi pada hari esok, Sabtu (22 Jun) pukul 9 malam di Hotel Laman Seri, Seksyen 13, Shah Alam. Kemudian hari Ahad (23 Jun), siri talaqqi Sahih al-Bukhari pukul 10 pagi dan Misykatul Mashaabiih pukul 2:30 petang bertempat di Masjid al-Qurtubi, Segambut. Kuliah ini diadakan setiap minggu ke-2 dan ke-4. Maklumat lanjut boleh ikuti di SINI.
[UPDATE] Bermula dari 24 Ogos 2013, siri talaqqi Jaami' at-Tirmizi dipindahkan ke lokasi baru di Performing Art Theatre, Management & Science University (MSU), Seksyen 13, Shah Alam. Waktunya seperti biasa, hari Sabtu pukul 9 malam, setiap minggu ke-2 dan ke-4.
[UPDATE] Bermula dari 24 Ogos 2013, siri talaqqi Jaami' at-Tirmizi dipindahkan ke lokasi baru di Performing Art Theatre, Management & Science University (MSU), Seksyen 13, Shah Alam. Waktunya seperti biasa, hari Sabtu pukul 9 malam, setiap minggu ke-2 dan ke-4.
Muqaddimah Jaami' at-Tirmizi