Thursday, December 24, 2015

Mengenal Anak Cucu Rasulullah ﷺ

Penulisan entri ini diringkaskan daripada artikel Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff yang bertajuk Anak Cucu Nabi S.A.W. yang Dilupa dan Dipinggirkan. Artikel tersebut telah dimuatkan bersama artikel-artikel beliau yang lain di dalam sebuah buku berjudul, Siri Pemurnian Sejarah Awal Islam (Siri 3).



Anak-anak Lelaki Rasulullah ﷺ

1. Qasim

2. ‘Abdullah

3. Tayyib atau Thahir

4. Ibrahim

Anak sulong Rasulullah ﷺ ialah Qasim. Sebahagian ulama mengatakan Tayyib atau Thahir tak lain tak bukan ‘Abdullah jua. Ibrahim merupakan anak lelaki yang bongsu dan ibunya ialah Mariah al-Qibthiyyah. Selain Ibrahim, mereka ialah anak-anak Nabi ﷺ dengan Sayyidatina Khadijah. Para ulama tidak mengemukakan apa-apa kisah atau peranan anak-anak lelaki Nabi ﷺ kerana kesemuanya meninggal dunia ketika masih kecil. Kalau pun ada hanyalah peristiwa ketika berlakunya kematian mereka.

Anak-anak Perempuan Rasulullah ﷺ

1. Zainab (isteri Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’)

Zainab ialah anak perempuan sulong Nabi ﷺ. Beliau dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian dan merupakan anak perempuan yang paling utama berdasarkan sabda Nabi ﷺ yang bermaksud, “Dia adalah anak perempuanku yang paling utama, dia telah menderita keranaku.” Zainab ialah orang yang mula-mula sekali memeluk agama Islam daripada kalangan anak-anak gadis dan telah mendapat kesusahan kerana berhijrah di jalan Allah sehingga mengalami keguguran. Suaminya iaitu Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’ ialah anak saudara Sayyidatina Khadijah. 

2. Ruqayyah (isteri ‘Utsman bin ‘Affan)

Ruqayyah ialah anak perempuan kedua Rasulullah ﷺ. Beliau dilahirkan tujuh atau lapan tahun sebelum kenabian dan terkenal dengan kejelitaannya. Ruqayyah antara yang terawal menerima Islam seperti ibu dan adik beradiknya. Beliau dan suaminya, ‘Utsman bin ‘Affan menyertai hijrah pertama orang-orang Islam ke Habsyah pada tahun kelima kenabian. Pada tahun kedua Hijrah, Ruqayyah diserang penyakit cacar. Ketika itu juga berlangsungnya perang Badar dan demi menjaganya, ‘Utsman tidak mengikuti peperangan tersebut. Ruqayyah meninggal pada tahun yang sama.

3. Fathimah (isteri ‘Ali bin Abi Thalib)

Fathimah ialah anak perempuan ketiga Rasulullah ﷺ. Para ulama berbeza pendapat tentang tahun kelahiran Fathimah yang terkenal dengan gelaran az-Zahra ini. Pendapat yang betul ialah beliau dilahirkan lima tahun sebelum kenabian kerana bertepatan dengan hadits “inzar al-‘asyirah”. Fathimah berkahwin dengan ‘Ali bin Abi Thalib selepas perang Badar. Hasil perkongsian hidupnya dengan ‘Ali, mereka telah mendapat lima orang cahaya mata. Anak-anak mereka mengikut tertibnya adalah seperti berikut: (1) Ummu Kultsum (2) Zainab (3) Muhsin (4) Hasan (5) Husain. 

4. Ummu Kultsum (isteri ‘Utsman bin ‘Affan)

Anak perempuan Rasulullah ﷺ yang keempat atau yang bongsu ialah Ummu Kultsum. Rasulullah ﷺ menjodohkan Ummu Kultsum dengan ‘Utsman bin ‘Affan setelah Ruqayyah meninggal dunia. Itulah sebabnya ‘Utsman digelar “Zun an-Nurain” (yang memiliki dua cahaya). Pemilihan ‘Utsman buat kali kedua sebagai menantu Rasulullah ﷺ adalah berdasarkan wahyu daripada Allah sebagaimana sabdanya, “Tidak aku kahwinkan Ummu Kultsum dengan ‘Utsman setelah mendapat wahyu dari langit.” Ummu Kultsum meninggal pada tahun kesembilan Hijrah.

Cucu-cucu Lelaki Rasulullah ﷺ

1. ‘Ali bin Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’

‘Ali bin Abu al-‘Ash ialah cucu pertama Nabi ﷺ yang lahir sekitar tujuh atau lapan tahun sebelum Hijrah. Selepas dua tahun penyusuan, Rasulullah ﷺ meminta Zainab untuk memeliharanya. Rasulullah ﷺ sangat menyayangi cucunya ini dan selalu membawanya ke setiap tempat penting. Misalnya pada peristiwa pembukaan Mekah, Nabi ﷺ memboncengkan ‘Ali di belakang untanya. Nabi ﷺ juga menyuruh ‘Ali naik ke atas bahunya untuk membersihkan bahagian dalam Ka’bah daripada berhala-berhala. Cucunda Nabi ﷺ ini syahid dalam perang Yarmuk pada tahun 15 Hijrah.

2. ‘Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Affan

‘Abdullah ialah anak Ruqayyah dengan ‘Utsman bin Affan yang lahir di Habsyah. Mulai saat itu, ‘Utsman lebih senang dipanggil Abu ‘Abdillah. ‘Abdullah kemudiannya digelar ‘Abdullah al-Akbar. Ramai ahli sejarah terpengaruh dengan cerita bahawa ‘Abdullah meninggal dunia pada tahun keempat Hijrah ketika berumur enam tahun akibat muka atau matanya dipatuk bapa ayam. Cerita tersebut bertentangan dengan akal. ‘Abdullah masih hidup sampai ke zaman ‘Ali bin Husain yang lahir pada tahun 38 H, bahkan telah menjadi guru kepada ‘Ali yang digelar Zainal ‘Abidin itu.

3. Muhsin bin ‘Ali bin Abi Thalib

Muhsin hanya tersenarai sebagai anak ketiga Fathimah dengan ‘Ali bin Abi Thalib tanpa ada apa-apa kisah berkenaannya. Tertib kelahiran adik-beradiknya yang lain telah pun dinyatakan sebelum ini. Berbeza dengan pendapat konvensional yang menganggap tertib kelahiran mereka begini: (1) Hasan (2) Husain (3) Muhsin (4) Zainab (5) Ummu Kultsum. Dikatakan Hasan lahir pada tahun ketiga Hijrah, Husain tahun keempat Hijrah, Muhsin tahun kelima atau keenam Hijrah, Zainab tahun ketujuh Hijrah dan Ummu Kultsum tahun kelapan, kesembilan atau kesepuluh Hijrah. 

4. Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib

Hasan ialah anak keempat Fathimah dengan ‘Ali bin Abi Thalib mengikut tertib kelahiran yang betul. Dakwaan bahawa Hasan ialah anak sulong Fathimah yang lahir pada tahun ketiga Hijrah sama sekali tidak berasas. Berdasarkan kesepakatan ulama, bidan yang menyambut kelahiran Hasan ialah Asmaa’ binti ‘Umais. Asmaa’ telah berhijrah ke Habsyah dan hanya sampai ke Madinah selepas perang Khaibar pada tahun ketujuh Hijrah. Justeru, paling awal Hasan dilahirkan pada tahun ketujuh Hijrah dan berumur tidak lebih daripada empat tahun ketika Baginda ﷺ wafat.

5. Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib

Husain ialah adik kepada Hasan. Dakwaan bahawa Husain ialah anak kedua Fathimah yang lahir pada tahun keempat Hijrah sudah tentu tidak munasabah setelah mengetahui abangnya lahir paling awal pada tahun ketujuh Hijrah. Ibu susuan Husain ialah Ummu al-Fadhl iaitu isteri kepada ‘Abbas. Ummu al-Fadhl tinggal di Mekah sehingga tahun pembukaan Mekah iaitu tahun kelapan Hijrah. Menurut perkiraan, beliau tiba di Madinah pada tahun kesembilan Hijrah. Oleh itu, dapat diputuskan bahawa Husain ialah anak bongsu Fathimah yang lahir pada tahun kesembilan Hijrah.

Cucu-cucu Perempuan Rasulullah ﷺ

1. Umamah binti Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’

Umamah merupakan cucu kedua Rasulullah ﷺ. Kitab-kitab hadits sering menceritakan kisah seorang cucu perempuan Nabi ﷺ yang selalu didukungnya ketika sedang solat. Cucu perempuan Nabi ﷺ itu ialah Umamah binti Abu al-‘Ash. Betapa istimewanya Umamah dapat dilihat pada satu peristiwa di mana Baginda ﷺ mendapat kalung yang sangat bernilai. Nabi ﷺ bersabda, “Aku akan memakaikannya kepada ahli keluargaku yang tercinta.” Lalu Baginda ﷺ memanggil cucunya, Umamah dan memakaikan kalung tersebut di lehernya dengan penuh kasih sayang. 

2. Ummu Kultsum binti ‘Ali bin Abi Thalib

Ummu Kultsum ialah anak perempuan sulong Fathimah dan ‘Ali yang lahir pada penghujung tahun ketiga Hijrah atau pada tahun keempat Hijrah. Ummu Kultsum ini kemudiannya telah menjadi isteri Sayyidina ‘Umar dan mereka mendapat dua orang anak iaitu Zaid dan Ruqayyah. Kesediaan ‘Ali bermenantukan ‘Umar merupakan bukti paling kuat tentang tidak adanya sebarang permusuhan di antara mereka berdua seperti yang didakwakan oleh golongan Syi‘ah. Ummu Kultsum antara yang menjadi saksi pembunuhan adik bongsunya, Husain oleh orang-orang Syi‘ah sendiri.

3. Zainab binti ‘Ali bin Abi Thalib

Zainab ialah anak kedua Sayyidatina Fathimah. Zainab berkahwin dengan sepupunya iaitu ‘Abdullah bin Ja’far bin Abi Thalib. Namun, mereka bercerai kerana perbezaan pendapat dalam soal mengikuti Husain ke Kufah untuk memberontak terhadap khalifah semasa, Amirul Mu’minin Yazid bin Mu‘awiyah. Setelah sampai ke Karbala’, Zainab berasa amat tertipu dengan orang-orang Syi‘ah Kufah kerana mereka sendiri bertindak membunuh saudara-maranya. Zainab kemudian berangkat ke Syam atas jemputan khalifah Yazid dan menetap di sana hingga ke akhir hayatnya.

P/S: Untuk pengetahuan, artikel asal lebih terperinci dengan rujukannya yang pelbagai sehingga berjumlah hampir 70 m/s. Selain memperkenalkan anak cucu Rasulullah ﷺ yang jarang kita dengar, ianya bertujuan untuk menjelaskan penyelewengan yang berlaku terhadap sejarah hidup mereka. Penyelewengan tersebut mempunyai maksud tertentu dalam mengurangkan (discredit) sebahagian anak cucu Baginda ﷺ di samping melebihkan sebahagian yang lain. Hubungi Mohd Haazim (010-211 5951) untuk mendapatkan buku-buku Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff.
   

Saturday, November 28, 2015

SHIT (1999) – Novel Politik yang Busuk Lagi Membusukkan


Kawan aku sekali lagi bertanya tentang SHIT, sebuah novel satira karya Shahnon Ahmad. Aku sudah kata novel itu tak menarik. Tulisannya berselirat dan memualkan! Shahnon Ahmad sendiri menggambarkan karyanya sebagai novel politik yang busuk lagi membusukkan. Latar ceritanya ialah perut atau lebih tepat lagi usus besar yang padat dengan lengkaran ketulan taik. Pemimpin barisan taik yang berlengkar itu bernama PukiMak @ PM. Ceritanya begini, kepala taik yang bernama PM itu sangat degil untuk keluar dari lobang keramat dan mempertahan kebusukannya dengan teori bahawa kebusukan itulah budaya baru barisan taik. Malang sekali, tiada siapa berani membantah kecuali seketul taik. Taik itu bernama Wirawan. 

Lantas, dengan taktik kotor, PM telah mengarahkan lobang keramat supaya mengemut keluar Wirawan. Perlahan-lahan Wirawan bergolek dalam kancah lendir dan lemak hingga tiba di pinggir rembung. Apabila Wirawan terberak keluar, kebusukannya segera dibasuh sampai bersih oleh hujan, angin dan mentari. Kemudian, Wirawan dengan laungan reformasi menjadi pemimpin kepada bumi dan rakyat untuk berperang melawan barisan taik. Matlamat mereka agar wilayah perut menjadi bersih dan suci kerana sudah lama mereka terkesan dengan kebusukan kentut demi kentut dek kedegilan PM yang tak mahu keluar itu. Cukuplah serba sedikit jalan ceritanya. Keseluruhan cerita setebal 240 m/s tentu lebih mengganggu kewarasan anda.
  
   

Sunday, November 15, 2015

Buku ‘Pentagram Di Atas Pusara’ Menjadi Rebutan!


Buku Pentagram Di Atas Pusara, karya sulung Adi Herman baru sahaja sampai ke tangan aku. Malang sekali buku tersebut yang aku sendiri belum sempat menghabiskan bacaannya telah menjadi rebutan beberapa ekor makhluk ganjil! Khabarnya cetakan pertama buku itu sudah habis terjual di pasaran. Tidak hairanlah makhluk-makhluk ini datang berebut-rebut untuk membacanya. Tambahan pula penulisnya memang berbakat besar dengan gaya penulisan yang thrill, luar biasa dan berhikmah. Kepada yang belum mendapatkan buku ini, terpaksalah anda menanti cetakan seterusnya..
  

Tuesday, November 10, 2015

Aqidah Thahawiyah: Prinsip-Prinsip ‘Aqidah Salaf

“Sebaik-baik manusia adalah pada masaku (iaitu generasi Sahabat), kemudian yang sesudahnya (iaitu generasi Tabi’in) kemudian yang sesudahnya (iaitu generasi Tabi’ut Tabi’in).” [Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari (no. 2652) dan Muslim (no. 2533 (212))]
Berdasarkan sabda Rasulullah di atas, aku berpandangan perlunya menilai pengetahuan dan amalan sama ada akidah, fiqah atau akhlak berdasarkan kefahaman generasi Sahabat, Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in. Mereka merupakan generasi yang terbaik kefahamannya terhadap agama. Ketiga-tiga generasi ini juga biasa disebut oleh para ulama sebagai Salafus Soleh atau Salaf (salaf secara harfinya bermaksud terdahulu) dan mereka hidup sekitar tiga kurun terawal Hijrah. 

Aqidah Thahawiyah

Buku yang aku ingin kongsikan ini berkenaan akidah bertajuk Aqidah Thahawiyah. Penulisnya ialah Imam Abu Ja’far ath-Thahawi yang lahir pada tahun 239 H. Bapa saudara serta gurunya merupakan salah seorang murid Imam asy-Syafi’i yang terkenal iaitu Imam al-Muzani. Namun, ath-Thahawi lebih cenderung mengikuti fiqah mazhab Hanafi. Beliau menulis buku ini dengan menghimpunkan prinsip-prinsip akidah Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang menjadi keyakinan para Salaf.

Pada pembacaan aku, buku ini sangat bermanfaat dalam mengajar asas-asas penting akidah atau pokok agama terutama dalam membezakan fahaman-fahaman yang menyelisihi pegangan Salaf. Imam ath-Thahawi mengarang buku ini ketika umat Islam berhadapan dengan aneka ragam pemikiran dan golongan (firqah) yang berbeza dalam soal akidah. Antara golongan itu ialah Khawarij, Musyabbihah, Jahmiyyah, JabriyyahQadariyyahRafidhah (Syiah) dan Mu’tazilah

Setiap golongan mempunyai pengaruhnya yang tersendiri. Contohnya Mu’tazilah yang mana sistem teologi mereka meletakkan akal sebagai dalil utama pernah menjadi fahaman rasmi kerajaan Abbasiyyah. Prinsip mereka itu telah menyempitkan bahagian wahyu dan menimbulkan polemik agama seperti Mihnah Khalq al-Quran yang banyak mengorbankan ahli hadis dan fiqah. Mereka juga tanpa segan silu menolak sesuatu hadis apabila merasakan tidak rasional meskipun ianya sahih dan mutawatir

Selain itu, Rafidhah daripada kalangan Syiah membawa fahaman ekstrem dengan akidah mengkafirkan para Sahabat. Kesannya telah menukar rupa asal agama dari pelbagai sudut. Begitu juga golongan lain seperti Khawarij yang mengkafirkan pelaku dosa besar, Musyabbihah yang menyamakan sifat Allah dengan makhluk, Jahmiyyah yang menafikan sifat-sifat Allah, Jabriyyah yang keterlaluan dalam menetapkan takdir (determinist) dan Qadariyyah yang berfahaman kebebasan kehendak (free will).

Justeru, kehadiran buku yang serba ringkas tentang akidah ini sememangnya perlu kepada umat Islam untuk berhadapan dengan polemik agama yang terjadi ketika itu. Malah, sifatnya yang ringkas serta menyeluruh dalam menyatakan asas-asas penting akidah seperti tauhid, sifat-sifat Allah, kenabian, hari kebangkitan, takdir dan selainnya membuatkan Aqidah Thahawiyah masih menjadi rujukan sehingga kini. Semoga Allah melimpahkan kurnia buat pengarangnya.

Maklumat lanjut tentang buku ini serta urusan pembeliannya boleh merujuk di www.atsar.ilmusunnah.com. Terjemahan dalam bahasa Melayu Indonesia dan mendapat komentar ringkas daripada dua orang ilmuwan terkenal di Arab Saudi. Buku lain sebagai cadangan ialah al-Milal wa al-Nihal (Imam asy-Syahrastani) yang membincangkan setiap golongan yang telah tersebut di atas.
    

Thursday, October 15, 2015

Hikmat Muta’aliyah: Karya Agung & Doktrin Teosofi Mulla Sadra

Penulisan ini adalah ringkasan yang dibuat berdasarkan buku Prof. Seyyed Hossein Nasr, Sadr al-Din Shirazi dan Hikmat Muta’aliyah (Edisi 2) halaman 48-63 berkenaan magnum opus Sadr al-Din Shirazi (Mulla Sadra).

Karya agung Mulla Sadra (979-1050 H), al-Hikmat al-Muta’aliyah fil-Asfar al’-Aqliyyat al-Arba’ah (Hikmat Muta’aliyah tentang Empat Perjalanan Akal pada Jiwa) atau Asfar ditulis pada tahun 1037 H/1628 M. Terkenal kepada orang Parsi dan sebahagian besar masyarakat Muslimin benua kecil Indo-Pakistan, Asfar merangkumi hampir kesemua masalah yang dibincangkan dalam aliran-aliran pemikiran Islam yang awal seperti ilmu kalam, falsafah dan tasawuf. Ia merupakan lautan ilmu doktrin metafizikal dalam pemikiran Islam, malah pemikiran Yunani juga. 

Buku hasil terjemahan Prof. Madya Baharuddin Ahmad terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Tajuk asal, Sadr al-Din Shirazi and His Transcendent Theosophy (1978).
Istilah al-Hikmat al-Muta’aliyah merupakan judul kitab dan aliran pemikirannya yang diterjemahkan sebagai ‘Transcendent Theosophy’. Doktrin Mulla Sadra adalah ‘theosophy’ dan bukannya ‘philosophy’ kerana ia tidak terpancar dari rangka akalan manusia semata tetapi daripada benih pengertian qalbu atau wijdan. Frasa “al-Asfar al-‘Aqliyyat al-Arba’ah” ialah simbol perjalanan atau pengembaraan dari keadaan jahil ke satu keadaaan yang jelas, bercahaya dan ‘sedar’. Mulla Sadra menyatakan seorang arifin akan melalui empat perjalanan dan beliau menggunakan simbol ini bagi menggambarkan proses intelek manusia mencapai ilmu yang haqiqat

Empat perjalanan yang dinyatakan oleh Mulla Sadra adalah seperti berikut: 
1) Dari makhluk (khalq) ke Hakikat Kebenaran atau Pencipta (Haqq)
2) Dari Hakikat ke Hakikat dengan Hakikat (min al-haqq ila’l-haqq bi’l-haqq)
3) Dari Hakikat kepada makhluk dengan Hakikat (min al-haqq ila’l-khalq bi’l-haqq)
4) Dari makhluk kepada makhluk dengan Hakikat (min al-khalq ila’l-khalq bi’l-haqq).

Mulla Sadra memulakan Asfar dengan satu bab pengenalan bagi kita memahami diri dan pemikirannya. Perjalanan (safar) pertama dikhaskan kepada persoalan metafizik dan ontologi. Perjalanan kedua membicarakan sistem “falsafah tabii” menjadikan kajian ini tertakluk di bawah kategori logika Aristotle. Perjalanan ketiga membincangkan persoalan Zat, Nama dan Sifat Tuhan iaitu satu bidang ilmu daripada bidang ilmu Islam tradisional yang disebut “metafizik dalam maknanya yang khas” (al-ilahiyyat bi-ma’na’l-akhass). Safar terakhir dalam Asfar ditumpukan kepada psikologi tradisional (‘ilm al-nafs) dan soal kebangkitan semula atau eskatologi. 

P/S: Menurut Prof. Seyyed Hossein Nasr, ahli sufi merupakan golongan paling banyak menggunakan simbol perjalanan dengan memberi contoh karya Farid al-Din ‘Attar, Mantiq al-Tayr (Persidangan Burung-burung). Untuk pengetahuan, karya itu menjadi inspirasi kepada lagu “Tanya Sama Itu Hud Hud” (M. Nasir).
  

Wednesday, September 30, 2015

Wordless Wednesday: Blues Bee?

Lebah Belang Biru (Blue-banded Bee)
Nama saintifik: Amegilla cingulata

P/S: Lagu Blues Bee(Ramli Sarip) memang sempoi..
    

Friday, September 11, 2015

Agamawan dan Kesusasteraan

Baru-baru ini aku membaca sebuah buku bertajuk Syeikh Tahir Jalaluddin: Pemikir Islam (2003). Buku tersebut mengumpulkan enam kertas kerja yang membincangkan pelbagai perspektif ketokohan Syeikh Tahir Jalaluddin. Aku tertarik dengan kertas kerja Prof. Muhammad Bukhari Lubis iaitu Sumbangan Syeikh Tahir Jalaluddin (r.h.) terhadap Perkembangan Persuratan Islami.

Maulana ‘Asri – Syair ‘Allamah Iqbal: Satu Kenangan Perang Yarmuk (Urdu)

Dalam kertas kerja tersebut, Prof. Bukhari Lubis mengangkat Syeikh Tahir Jalaluddin sebagai seorang pujangga selain seorang sarjana yang berwibawa. Kualiti ketokohan ulama seperti Syeikh Tahir ini dilihatnya semakin berkurangan. Menurut beliau,
“Pada zaman sekarang suasana ini sungguh berbeza. Banyak agamawan yang tidak dapat menilai seni, walaupun mereka sudah mempelajari dan mendalami salah satu cabang seni, iaitu sastera, khasnya sastera Arab. Ada ulama fikah yang turut mendalami ilmu-ilmu Arabiah - maksudnya termasuklah sastera Arab – sebelum dia mendalami ilmu fikah, tetapi sayangnya tidak dapat menilai sastera (tidak kira Arab, Melayu, dan sebagainya), malah ada masanya merendah-rendahkan kegiatan kesusasteraan walaupun yang berlandaskan pengajaran Islam.”
Kata-kata beliau itu ada benarnya. Tak ramai agamawan yang dapat menilai seni khususnya sastera. Jarang sekali aku mendengar nama-nama penyair seperti Hamzah Fansuri, ‘Allamah Iqbal atau Maulana Jalaluddin Rumi daripada agamawan kita. Tak mustahil jika masyarakat berasa asing mendengar nama-nama penyair tersebut.

Aku masih ingat lagi, kali pertama mendengar nama Maulana Jalaluddin Rumi iaitu daripada bapa aku. Katanya, Rumi ialah seorang sufi dan puisi-puisinya yang indah itu terkenal di serata dunia. Aku hairan memandangkan aku tak pernah pun mendengar tentang Rumi. Kemudian, aku lihat buku-buku berkenaan Rumi dan terjemahan puisinya begitu banyak dalam bahasa Inggeris. Hal ini menunjukkan bahawa orang luar yang bahkan bukan beragama Islam lebih menghargai karya seni umat Islam berbanding penganutnya sendiri.

Maulana ‘Asri – Maulana Jalaluddin Rumi dan Kitab Masnawi

Oleh itu, aku tertanya-tanya sekiranya ada sesiapa khususnya agamawan yang dapat bercerita tentang Rumi dan karyanya. Menariknya, Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff mengemukakan sebuah kisah daripada Rumi ketika mensyarahkan hadis dalam Sahih al-Bukhari. Tak sangka ilmuwan hadis ini menjadikan karya Rumi sebagai bahan untuk syarahan beliau. Menurut Maulana ‘Asri, kisah Rumi mengenai seekor anak harimau yang membesar dalam lingkungan sekawan kambing itu ialah ibarat kepada keadaan Rasulullah ﷺ. 

Menurutnya lagi, kebanyakan karya-karya Rumi seperti syair-syair dan kisah-kisah ibarat beliau sebenarnya mentafsirkan al-Quran dan hadis. Pandangan ini sama seperti yang dinyatakan oleh Prof. Bukhari Lubis dalam buku Bunga Rampai Sastera Parsi (1990),
“Rumi sentiasa menyisipkan ayat-ayat al-Quran ke dalam karyanya, atau sekadar mentafsirkan ayat al-Quran menerusi tulisannya.”
“Tindakan yang sama juga dilakukan oleh penyair sufi ini terhadap Hadis Nabi (s.a.w.), sama ada mengutipnya secara langsung atau hanya menggunakan intipati ideanya sahaja.” 
Prof. Bukhari Lubis dalam kajiannya mengagumi kekreatifan Rumi dalam berkisah serta kebolehannya dalam mencipta sahsiah dan watak. Begitu juga Maulana ‘Asri yang mengakui keunikan sasteranya. Malah, beliau menukilkan pendapat Maulana Anwar Syah Kashmiri terhadap Masnawi sebagai salah satu kitab ajaib di dunia.

Maulana ‘Asri – Syair Syeikh Sa’di: Bustan (Parsi)

Selain memperkenalkan Rumi dan karya agungnya, Maulana ‘Asri turut memperkenalkan penyair-penyair Muslim yang lain seperti Syeikh Sa’di dan ‘Allamah Iqbal. Istimewanya, beliau berupaya membaca syair-syair mereka dalam bahasa asal iaitu Parsi dan Urdu. Beliau memuji Sa’di dan syair-syairnya yang sangat mendalam dalam menggambarkan perasaan dan jiwa manusia. Manakala syair Iqbal daripada Bang-i Dara menjadi pengisian berguna dalam kuliahnya yang bertujuan memurnikan sejarah Islam.

Pada hemat aku, usaha agamawan seperti Maulana ‘Asri yang memperkenalkan penyair-penyair ini adalah amat menarik. Beliau menyelitkan syair-syair dan kisah ibarat mereka di dalam kuliahnya kerana menyedari sifat manusia yang gemarkan kelainan dan kepelbagaian. Selain itu, kemahiran beliau bertutur dalam pelbagai bahasa mampu mengangkat karya seni umat Islam yang kian hilang dalam peredaran zaman. Khabarnya, beliau berhasrat untuk mengadakan seminar berkenaan Iqbal. Semoga hasratnya menjadi kenyataan!