Saturday, September 19, 2020

Timo Tolkki: Legenda Power Metal yang Menghidap Penyakit Bipolar


Timo Tolkki terkenal sebagai bekas pemain gitar Stratovarius, sebuah kumpulan power metal dari Finland yang ditubuhkan pada tahun 1984. Beliau turut memainkan peranan sebagai penyanyi tiga album terawal, penulis hampir kesemua lagu dan penerbit album-album kumpulan tersebut sehinggalah pengundurannya pada tahun 2008.

Bersama Stratovarius, Tolkki menempa nama ketika zaman kemuncak kegilaan menggoreng gitar. Kepantasan beliau bermain gitar dengan pelbagai teknik sememangnya tidak dapat dinafikan. Berdasarkan artikel yang diterbitkan oleh Guitar World, Tolkki termasuk dalam senarai "The 50 Fastest Shred Guitarists of All Time." Cuba dengarkan lagu "Speed of Light" daripada album Episode.

Selain pantas bermain gitar, beliau juga pantas dalam menulis lagu. Pada bulan Julai yang lepas, Tolkki ditemu bual dalam satu podcast yang dihoskan oleh Francesco Paoli (Fleshgod Apocalypse). Apabila berbicara tentang lagu-lagu yang ditulisnya, Tolkki berkata, "Most of the songs, I write very fast. About 15 to 20 minutes it takes."

Tolkki memberi contoh lagu Stratovarius yang paling hit iaitu "Black Diamond." Menurut beliau, lagu tersebut hanya ditulis dalam masa lima minit. Ia kedengaran tidak masuk akal. Beliau menerangkan hal ini dengan berkata, "I am a channel, so I received complete songs. Many classical composers—Beethoven—they were like this. They got whole compositions at once and they just wrote them down."

Beliau percaya seolah-olahnya terdapat bank universal yang menyimpan lagu-lagu dan dari situlah beliau menerimanya. Oleh sebab itu, beliau mampu menulis banyak lagu dalam masa yang sangat singkat. Bahkan, Tolkki mendakwa keseluruhan album Visions yang memuatkan lagu "Black Diamond" ditulis dalam masa sehari setengah sahaja!

Perkara ini diakui oleh Jörg Michael, bekas pemain dram Stratovarius dalam satu podcast yang lain. Beliau masih mengingati bagaimana Tolkki berpesan supaya jangan mengganggunya sewaktu mula menulis album Visions. Lalu, kata Michael, "I was thinking he is going in the woods now and writing this record for the next three weeks. One and a half days later, 'It's ready. Here are the demos.'"

Visions mendapat sambutan yang sangat baik dan dianggap sebagai salah satu album terhebat dalam genre power metal. Loudwire misalnya meletakkan Visions di tangga keenam dalam senarai "Top 25 Power Metal Albums of All Time." Metal Hammer pula meletakkan album tersebut dalam senarai "The 10 Essential Power Metal Albums."

Tolkki membuktikan karya yang hebat tidak semestinya memerlukan penciptanya memerah otak. Karya seperti ini terhasil melalui sumber intuisi (gerak hati). Ia berlaku spontan tanpa penaakulan secara sedar. Bak kata Michael, "Everybody says, 'Visions is so great! Visions is so great!' He was not even thinking about it writing it. . . . Because when you try to express yourself, then you don't think."

Biarpun kelihatan mudah berkarya, Tolkki menempuh hidup yang sukar. Semasa berumur 12 tahun, bapanya membunuh diri dengan terjun dari bangunan tidak jauh dari sekolahnya. Tolkki hampir menyaksikannya. Ia meninggalkan kesan yang mendalam dan berpanjangan sehingga menyebabkannya menjalani psikoterapi bertahun-tahun sebelum disahkan menghidap penyakit bipolar.

Memandangkan beliau menulis banyak lagu Stratovarius, sudah tentu lagu-lagu itu mencerminkan keadaan dirinya. Selepas Visions, beliau menghasilkan album Destiny yang kedengaran lebih gelap dan murung. Menurut Tolkki, ketika itu rumah tangganya bergolak. Pada masa yang sama, beliau sedang menyiasat kes kematian bapanya bagi merungkai segala persoalan yang terbungkam.

Hal itu bukanlah satu kekurangan. Malah, kejujuran Tolkki dalam berkarya menjadikan Destiny salah satu album terbaik Stratovarius. Lagu pembukaan bertajuk "Destiny" memuatkan irama yang pertama kali digubah oleh beliau sewaktu pemergian bapanya. Irama itu dinyanyikan oleh penyanyi koir Cantores Minores, sebuah kumpulan koir yang pernah disertainya semasa kanak-kanak.

Kemudian, Infinite menyusul dan diikuti Elements Pt. 1. Kedua-dua album tersebut menjadi kesukaan Tolkki kerana ia dipengaruhi oleh proses terapeutik yang dialaminya. Beliau menulis dalam autobiografinya, "I do not think I would be alive today without therapy and what it gave me. It didn’t really rescue me, I rescued myself. But it made me understand myself better."

Namun, semasa pembikinan album self-titled Stratovarius atau yang juga dikenali sebagai Black Album, Tolkki terjerumus ke dalam dunia psikosis. Ia satu tahap di mana seseorang terputus dengan dunia nyata. Beliau sendiri terkejut berjaya menyiapkan album tersebut. Beliau cuba untuk merakamkan sebuah lagi album bersama Stratovarius tetapi usaha itu gagal di pertengahan jalan.

Setelah meninggalkan Stratovarius, Tolkki membentuk kumpulan Revolution Renaissance dan Symfonia. Kedua-duanya tidak kekal lama. Menerusi projek Avalon, beliau menghasilkan tiga buah album metal opera dengan Return to Eden dikeluarkan pada tahun lepas. Dalam perkembangan terbaru, Tolkki mengasaskan sebuah kumpulan yang dinamakan sebagai Infinite Visions.

Rujukan
  1. Guitar World Staff. (2015, March 11). Need for speed: The 50 fastest shred guitarists of all time. Guitar World.
  2. Nuclear Blast Records. (2020, July 11). Saturday night lockdown ep #14: Francesco w/ Timo (Infinite Visions), Brittney (Unleash the Archers) [Video]. YouTube.
  3. Rat Salad Review. (2020, March 30). The Timo Tolkki podcast episode 15- Special guest Jorg Michael [Video]. YouTube.
  4. DiVita, J. (2017, July 5). Top 25 power metal albums of all time. Loudwire.
  5. Lawson, D. (2016, October 19). The 10 essential power metal albums. Metal Hammer.
  6. Tolkki, T. (2010) Loneliness of a thousand years. Goldenworks.
  7. Rat Salad Review. (2020, February 9). The Timo Tolkki podcast episode 11- Destiny [Video]. YouTube.

Saturday, August 15, 2020

Yusuf Islam dan Pengaruhnya dalam Kalangan Pemuzik Grunge


Apabila Frances Bean Cobain menyanyikan lagu "The Wind" dan memuat naik videonya di Instagram, ia mendapat perhatian ramai termasuklah penulis asal lagu tersebut iaitu Yusuf Islam. Timbul persoalan, daripada mana anak Kurt Cobain mendengar lagu itu? Adakah melalui koleksi piring hitam bapanya? Adakah pemuzik grunge meminati muzik folk?

Seperti yang pernah dikongsikan dalam penulisan sebelum ini, Yusuf atau Cat Stevens mendapat sokongan yang tidak disangka daripada legenda punk rock Johnny Ramone. Pemain gitar Ramones itu sebelum meninggal dunia telah melobi kemasukan Yusuf ke dalam Rock & Roll Hall of Fame. Turut membantu beliau ketika itu ialah penyanyi kumpulan grunge Pearl Jam, Eddie Vedder.

Vedder bukanlah membantu Johnny Ramone semata-mata atas dasar simpati terhadap rakannya yang menderita sakit kanser itu, tetapi beliau sendiri berkongsi minat mendengar lagu-lagu Yusuf. Semenjak tahun 90-an lagi beliau telah menyanyikan lagu-lagu Yusuf dalam konsert-konsert beliau. Antara lagu yang menjadi pilihan beliau ialah "Trouble," "Don't Be Shy" dan "If You Want to Sing Out, Sing Out."

Ketiga-tiga lagu tersebut sinonim dengan filem komedi gelap Harold and Maude. Filem arahan Hal Ashby itu memuatkan sebanyak sembilan buah lagu oleh Yusuf. Kata Vedder, "When I was 12, I remember seeing the movie, Harold and Maude, a film that is accompanied by several Cat Stevens songs. Cat’s voice represents the interior voice of the character throughout the movie, and he does it absolutely perfectly."

Melihat sinergi yang sempurna antara filem dan muzik itu, beliau menyatakan, "It really inspired me to try writing for film." Pada tahun 2007, Vedder telah menulis lagu-lagu bagi filem Into the Wild. Filem biografi tentang Christopher McCandless itu mendapat dua pencalonan Academy Awards. Manakala, lagu "Guaranteed" memenangi anugerah Golden Globe Awards bagi kategori Best Original Song.

Chris Cornell bersikap prejudis terhadap muzik folk yang didedahkan kepadanya dalam era 70-an. Beliau membencinya kerana beliau membenci hippies. Menurutnya, "The reason why I hated it had more to do with who I associated it with. Something like, ‘Their taste sucks. Whatever you like, I definitely hate.’ The best example I can think of is probably Cat Stevens. Great songs, amazing albums—hated the people who liked it."

Penyanyi Soundgarden itu tidak menafikan kehebatan karya Yusuf sekalipun beliau membenci golongan yang menggemarinya. Bahkan, semasa mengeluarkan album Higher Truth, beliau mengaku bahawa pemuzik berketurunan Greek itu ialah salah seorang pengaruh folk beliau. Kata Cornell kepada Rolling Stone, "I came around later to Tom Waits, some parts of Jim Croce and a lot of Cat Stevens."

Beliau pernah beberapa kali memainkan lagu "Trouble" dalam siri persembahan akustiknya. Lagu tersebut menceritakan keadaan seseorang yang merayu supaya dapat mengelakkan kematian. Yusuf sendiri menulisnya ketika berada di ambang kematian akibat tenat menghidap penyakit batuk kering (tuberculosis). Kata Cornell mengenai lagu tersebut, "This was quite one of the ones that I actually related to a lot."

Anggota Soundgarden yang lain iaitu Ben Shepherd dan Matt Cameron pernah menubuhkan sebuah kumpulan dikenali sebagai Hater pada tahun 1993. Berbeza dengan Soundgarden, Shepherd bermain gitar dan menyanyi untuk kumpulan psychedelic garage rock ini. Bersama John McBain, John Waterman dan Brian Wood, mereka mengeluarkan album sulung berjudul Hater pada tahun yang sama.

Shepherd memilih lagu "Mona Bone Jakon" iaitu lagu asal oleh Yusuf sebagai pembuka album sulung mereka. Jarang sebenarnya lagu ini dipilih oleh mana-mana artis untuk dinyanyikan semula. Lagu versi nyanyian semula oleh Hater berbeza dengan versi asal yang dikeluarkan pada tahun 1970. Di samping muziknya yang kedengaran lebih rancak, Shepherd menambah dua rangkap dalam lagu tersebut.

Namun, beliau menyesali tindakannya itu. Kata Shepherd, "I’ve just always loved that song. I was such a young idiot I didn’t even think about the ethics of adding verses to it. Man, what an idiotic, graffiti-is, bullshit thing to do. The story goes, he’s extremely protective of his songs. He’ll have a couple of different publishing companies protecting a song." Meskipun begitu, Yusuf dikatakan telah memberi keizinan kepadanya.

Apa kata Yusuf tentang grunge? Dalam wawancara bersama The Project, beliau ada menyebutkan perihal grunge. Anaknya bermain dalam sebuah kumpulan dikenali sebagai Noxshi. Ditanya adakah muziknya sama seperti beliau, Yusuf menjawab, "It's a grungy. But I could have inspired a few grunge mentalists in my time because I was to do with emotion, letting out and not holding it back. That's what it's about."

Rujukan
  1. K, E. (2019, August 10). Kurt Cobain’s Daughter Shares An Astonishing Video - And Yusuf Cat Stevens Commented. Metalhead Zone. 
  2. Tanduk, K. (2020, May 9). Legenda Punk yang Mahu Yusuf Islam ke Rock & Roll Hall of Fame. Kaboi Tanduk. 
  3. Uncut. (2009, August 6). Uncut Artist Interview: Pearl Jam’s Eddie Vedder. Uncut. 
  4. Phaneuf, W. (2015, October 31). Chris Cornell Unplugs to Discover His ‘Higher Truth.’ Acoustic Guitar. 
  5. Fricke, D. (2015, September 15). Chris Cornell on Secret Folk Influences, Why He Feels Like Neil Young. Rolling Stone. 
  6. Kamerarosak. (2020, June 6). Chris Cornell - Trouble (Cat Stevens cover). YouTube. 
  7. Segal, D. (2016, June 9). Ben Shepherd on the Reissue of Hater’s Self-Titled LP, Covering Cat Stevens, and Blasting Alan Thicke’s Ears. The Stranger. 
  8. Yusuf / Cat Stevens. (2018, June 28). Yusuf Islam / Cat Stevens - Interview on ‘The Project’ (2012). YouTube. 

Saturday, May 9, 2020

Legenda Punk yang Mahu Yusuf Islam ke Rock & Roll Hall of Fame


Memulakan karier pada tahun 1965, Cat Stevens berada di puncak kemasyhuran dalam era 70-an dengan lagu-lagu folk seperti "Peace Train," "Wild World" dan "Father & Son." Setelah memeluk Islam dengan nama Yusuf Islam, beliau menerbitkan pelbagai rakaman bercorak keagamaan seperti album The Life of the Last Prophet dan A is for Allah.

Namun, menurut Yusuf, "One of my greatest supporters turns out to be someone you wouldn’t expect." Salah seorang penyokong beliau dikatakan telah melobi kemasukannya ke dalam Rock & Roll Hall of Fame (RRHOF). Lebih mengejutkan, individu terbabit merupakan pemain gitar kumpulan punk Ramones iaitu Johnny Ramone.

Johnny Ramone seorang konservatif dan beliau membenci hippies. Beliau menulis dalam autobiografinya, "I hated hippies and never liked that peace and love shit." Jadi, bagaimana beliau boleh dikatakan mengangkat seorang pemuzik yang lagu-lagunya menjadi pujaan golongan hippies?

Perkara ini apabila ditelusuri hanya mula diperkatakan selepas kematian beliau. Johnny Ramone menghidap kanser prostat dan meninggal dunia pada September 2004. Ketika berucap di perkuburan beliau, Seymour Stein mendedahkan antara permintaan terakhir legenda punk rock itu adalah supaya Cat Stevens dimasukkan ke dalam RRHOF.

Seymour Stein terkenal sebagai pengasas bersama Sire Records, sebuah syarikat rakaman yang menandatangani Ramones pada tahun 1975. Beliau juga salah seorang pengasas RRHOF. Beliau menceritakan dalam satu temu bual, "From his deathbed, Johnny Ramone sent me a letter advocating that Cat Stevens get in."

Selain surat tersebut, Stein menerima lagi dua pucuk surat menyatakan perkara yang sama daripada dua pemuzik tersohor. Ini kerana Johnny Ramone begitu serius mahukan Yusuf dicalonkan dan beliau telah menggesa dua rakan baiknya yang turut meminati penyanyi folk itu untuk sama-sama memberi sokongan. Siapakah mereka?

Untuk pengetahuan, dua rakan baiknya itu sudah beberapa kali memainkan lagu-lagu Cat Stevens dalam konsert masing-masing. Mungkin ada di antara kita pernah menontonnya. Mereka ialah pemain gitar Red Hot Chili Peppers, John Frusciante dan penyanyi kumpulan Pearl Jam, Eddie Vedder.

Kedua-dua mereka berada di sisi Johnny Ramone pada hari beliau pergi buat selama-lamanya. Ia hari yang menyedihkan. Eddie Vedder ada berkongsi kenangannya pada hari tersebut dalam buku Pearl Jam Twenty. Katanya, "The day he died, he and I watched the Cat Stevens concert DVD Majikat and did baseball trivia together."

Hasil sokongan mereka terutamanya Johnny Ramone, Yusuf tercalon buat pertama kali pada tahun 2005. Pencalonan itu bagaimanapun tidak berjaya. Hampir sedekad kemudian, Yusuf tercalon buat kali kedua dan kali ini permintaan terakhir legenda punk rock itu berjaya ditunaikan.

Pada April 2014, Yusuf menghadiri Majlis Induksi RRHOF Tahunan yang ke-29 di Barclays Center, New York dan diberi penghargaan bersama pemuzik-pemuzik lain. Antara pemuzik yang terpilih pada tahun itu ialah Kiss dan Nirvana. Yusuf menyifatkan pemilihannya sebagai "unexpected and strangely, outrageously rock & roll!"

Rujukan:
  1. Lewis, R. (2013, December 19). Yusuf on alter-ego Cat Stevens' Rock Hall of Fame induction. Los Angeles Times. 
  2. Ramone, J. (2012). Commando: The Autobiography of Johnny Ramone. Abrams Image.
  3. Kapelovitz, D. (2005, January 20). Rock & Roll Cemetery. LA Weekly. 
  4. Aswad, J. (n.d.). So How Do You Get Into The Rock Hall Of Fame? MTV. 
  5. Varga, G. (2005, September 17). Miles Davis tops rock hall of fame candidates list. SignOn San Diego. 
  6. Punk legend Johnny Ramone dies. (2004, September 16). The Guardian. 
  7. Pearl Jam. (2011). Pearl Jam Twenty. Simon & Schuster.
  8. 20 Best Moments at the Rock and Roll Hall of Fame 2014 Induction. (2014, April 11). Rolling Stone. 

Tuesday, December 24, 2019

Do Androids Dream of Electric Sheep?


Sesiapa yang tidak memelihara haiwan akan dianggap sebagai tidak bermoral dan anti-empathic. Demikian persepsi masyarakat pasca World War Terminus.

Keadaan ini memaksa Rick Deckard untuk memiliki haiwan peliharaan buat dia dan isterinya. Boleh dikatakan setiap keluarga di kediamannya memelihara seekor haiwan walaupun harganya sangat mahal.

Sebenarnya, Deckard sudah ada seekor kambing biri-biri yang diwarisi daripada bapa mertuanya tapi haiwan itu mati. Lalu, dia gantikan dengan biri-biri elektrik yang nampak seakan-akan hidup.

Namun, Deckard risau sekiranya biri-biri elektriknya itu mengalami kerosakan mekanikal seperti mengembek tanpa henti. Jika situasi itu berlaku, pasti jiran-jirannya tahu haiwannya adalah palsu. Malulah dia!

Maka, dengan mengambil upah memburu android-android yang lari daripada tuan-tuan mereka, Deckard berharap agar dia dapat membeli seekor kambing biri-biri yang asli.

Diringkaskan daripada bab pertama novel Do Androids Dream of Electric Sheep? (1968) karya Philip K. Dick. Lain sungguh dengan versi filem, Blade Runner. Nama watak utama mengingatkan kepada ahli falsafah terkenal Rene Descartes.

Tuesday, November 13, 2018

Anjing haram? Berdosa bagi anjing makan?


Anjing adalah najis berat. Ini menurut pendapat Imam al-Syafi'i yang menjadi pegangan umum masyarakat Islam di Malaysia. Maknanya, apa-apa yang terkena anjing mestilah dibasuh tujuh kali dan salah satunya dengan air tanah.

Namun, untuk pengetahuan, ulama berbeza pendapat tentang tahap kenajisan anjing. Imam Ahmad bin Hanbal sependapat dengan Imam al-Syafi'i bahawa anjing adalah najis berat. Imam Abu Hanifah berpendapat najisnya adalah najis biasa yang hanya perlu dibasuh tanpa ada ikatan bilangan tertentu. Sebaik-baiknya tiga kali basuhan. Manakala, Imam Malik berpendapat anjing adalah suci. Bagi beliau, tidak perlu dibasuh walau terkena air liur, peluh atau tubuhnya sama ada kering mahupun basah. Itu secara ringkas pandangan imam-imam besar dalam mazhab fiqh (school of Islamic jurisprudence) berkenaan kenajisan anjing.[1]

Memberi makanan kepada anjing terutama anjing terbiar yang kelaparan tidaklah berdosa. Malah, berdasarkan hadis-hadis sahih, memberi minuman pun sudah membuatkan seseorang itu diampunkan dosa dan dimasukkan ke dalam syurga! 
Abu Hurairah reported: Messenger of Allah (ﷺ) said, "While a man was walking on his way he became extremely thirsty. He found a well, he went down into it to drink water. Upon leaving it, he saw a dog which was panting out of thirst. His tongue was lolling out and he was eating moist earth from extreme thirst. The man thought to himself: 'This dog is extremely thirsty as I was.' So he descended into the well, filled up his leather sock with water, and holding it in his teeth, climbed up and quenched the thirst of the dog. Allah appreciated his action and forgave his sins." The Companions asked: "Shall we be rewarded for showing kindness to the animals also?" He (ﷺ) said, "A reward is given in connection with every living creature." [Al-Bukhari and Muslim]
In the narration of Al-Bukhari, the Prophet (ﷺ) is reported to have said: "Allah forgave him in appreciation of this act and admitted him to Jannah."
Another narration says: "Once a dog was going round the well and was about to die out of thirst. A prostitute of Banu Israel happened to see it. So she took off her leather sock and lowered it into the well. She drew out some water and gave the dog to drink. She was forgiven on account of her action."[2]  
______
[1] Maulana Muhammad Asri Yusoff, Fiqh Al-Imam Al-Bukhari Di Dalam Kitab Shahihnya, p. 14.
[2] Imam al-Nawawi, Riyad as-Salihin, Book 1, Hadith 126.

Tuesday, August 7, 2018

Germans vs. French classical composers


Though Germans (Wagner & Richard Strauss) impressed me with their mystical sound and philosophical theme, French (Berlioz & Saint-Saens) took me to another level of awesomeness. Just listen to Songe d'une nuit du Sabbat, fifth movement of Berlioz's Symphonie Fantastique. It's like Syd Barrett meets Black Sabbath! And don't forget the stunning and magnificent Symphony No. 3 (aka Organ Symphony) by Saint-Saens.

Symphonie Fantastique (composed under the influence of opium)
"Berlioz tells it like it is. You take a trip, you wind up screaming at your own funeral." - Leonard Berstein

Symphony No. 3 aka Organ Symphony
"I gave everything to it I was able to give. What I have here accomplished, I will never achieve again." - Saint-Saens

P/S: Artist Gallery, kedai CD yang paling popular di Pulau Pinang dah nak tutup. Seingat aku dulu ada dalam 5 cawangan di seberang dan pulau, sekarang hanya tinggal di One-Stop Midlands Park. Itu pun akan tutup tak lama lagi. Semua CD diskaun 50%.

Tuesday, May 8, 2018

Selamat Memangkah Kertas Undi

Politik pada dasarnya adalah wadah yang murni. Begitulah kata Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad. Malangnya, senario politik yang berlaku tidak ubah seperti yang digambarkan beliau dalam novel Shit, busuk lagi membusukkan. Maka, hal-hal berkaitan politik bukan pilihan pertama untuk aku berbual dengan kawan-kawan.

Dr. Maszlee Malik

Namun, pilihanraya umum kali ini agak menarik terutama calon-calon yang bertanding. Misalnya, calon Parlimen P151 Simpang Renggam, Johor iaitu Dr. Maszlee Malik. Beliau merupakan calon parti BERSATU yang bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH). Walaupun muka baharu, pada pandangan aku, beliau yang terkenal sebagai ahli akademik, agamawan, penulis buku, penganalisis politik dan aktivis masyarakat selayaknya menjadi pilihan pengundi di sana tidak kira parti mana beliau bertanding.

Wan Saiful Wan Jan

Begitu juga rakan Dr. Maszlee, Wan Saiful Wan Jan yang menjadi calon Parlimen P011 Pendang, Kedah. Beliau terkenal dengan idea liberal dalam ekonomi. Ini bukan kali pertama beliau bertanding dalam arena politik. Beliau pernah bertanding satu kerusi di Limbury, England atas tiket Parti Konservatif semasa menetap di sana. Pengalaman yang lama bersama PAS dan terlibat dalam badan pemikir seperti IDEAS melayakkan Wan Saiful untuk membawa suara Pendang ke Parlimen.

Ustaz Nik Omar Nik Aziz

Selain itu, anak Tuan Guru Nik Aziz (semoga Allah merahmati beliau) iaitu Ustaz Nik Omar sebagai calon DUN N06 Chempaka dilihat berjaya membawa satu kelainan dengan menonjolkan sisi spiritual dalam PH. Parti lain juga tidak kurang hebatnya. PAS di tempat aku menampilkan calon pemuda yang latar belakangnya agak mengagumkan (lihat poster). Kemudian, Azwan Ali sebagai calon Bebas DUN N19 Bukit Antarabangsa pula berjaya menarik perhatian ramai dengan lagak diva dan masakan rendangnya.

Hj. Ahmad Rafaei Dato' Ir. A Rashid

Azwan Ali 

Antara lain yang menarik perhatian adalah apabila PAS disebut bakal berperanan sebagai kingmaker dalam menubuhkan kerajaan. Kepada siapa mereka akan berpihak? Isyaratnya jelas, PAS dan BN kelihatan mesra. Tiada provokasi sesama mereka. Aku ucapkan selamat memangkah kertas undi dan berhati-hati di jalan raya bagi yang pulang mengundi di kampung. Kepada yang mengambil keputusan untuk merosakkan undi atau tidak turun mengundi, itu juga hak demokrasi atau pilihan yang boleh dilakukan.