Jadual majlis ilmu Masjid Sembilang yang diedarkan beberapa hari lepas mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat apabila salah seorang penceramahnya untuk bulan ini ialah Mufti Perlis, Dato’ Dr. Mohd Asri Zainul Abidin (Dr. MAZA). Ada yang mengerutkan dahi, lalu mencemuh. Ada yang menerima dengan hati terbuka. Selebihnya mungkin tertanya-tanya, “Ada apa dengan Dr. MAZA?”
Jadual majlis ilmu Masjid Sembilang
Sebenarnya, aku sendiri terkejut kerana jarang melihat Dr. MAZA menyampaikan kuliah di masjid-masjid sekitar Pulau Pinang. Walaupun beliau anak kelahiran Pulau Pinang dan menjadi pensyarah di Universiti Sains Malaysia, gerak kerja beliau dilihat lebih sinonim dengan Perlis memandangkan sudah dua kali beliau menjadi mufti bagi negeri itu. Pendirian beliau dalam soal agama semestinya tidak lari daripada keputusan Majlis Fatwa Negeri Perlis. Misalnya, Perlis mempunyai tafsiran berbeza dalam hukum syarak kerana tidak terikat kepada mana-mana satu mazhab tertentu.
Namun, ini bukanlah masalah besar kerana enakmen negeri-negeri lain yang menyebut rujukannya mazhab Syafi’i tetap memperuntukkan pandangan mazhab muktabar yang lain sekiranya bercanggah dengan kepentingan awam. Contohnya, bayaran zakat fitrah menggunakan wang seperti yang diamalkan pada hari ini adalah daripada mazhab Hanafi kerana mazhab Syafi’i menggunakan makanan asasi. Menurut Dr. MAZA dalam diskusi Ekstremisme Agama di Malaysia, Perlis antara negeri terawal yang membolehkan bayaran zakat fitrah menggunakan wang.
Pernah seorang kawan berkata, “Aku dengar orang kata Dr. MAZA sesat.” Tuduhan ini biasa dilemparkan kepada beliau. Secara umum, aku melihat pendapat-pendapat beliau masih mempunyai asas biarpun berbeza dengan faham kebiasaan masyarakat. Tidak dinafikan terdapat beberapa perkara yang aku kurang setuju. Misalnya, beliau seperti Salafi yang lain cenderung untuk tidak menggunakan kaedah takwil terhadap ayat-ayat mutasyabihat dan menganggap pendekatan golongan Asya’irah/Maturidiyyah dalam mengajarkan akidah Sifat 20 kepada orang awam sebagai tidak sesuai.
Buku-buku Dr. MAZA
Meskipun, tidak selayaknya Dr. MAZA dilabel sebagai sesat kerana pegangan beliau masih dalam kerangka Ahli Sunnah wal Jamaah. Sebaiknya orang awam perlulah menghadapi situasi ini dengan ilmu dan adab. Beliau ilmuwan yang turut aktif menulis melalui laman web, buku-buku dan kertas kerja. Perkataannya seperti manusia lain yang boleh diambil dan ditinggal, melainkan perkataan Rasulullah ﷺ. Suka untuk aku kongsikan di sini sebuah buku beliau yang aku kira menarik, ilmiah dan mudah didapati. Tajuknya, Fitnah terhadap Sahabat Rasulullah (2012).
Untuk pengetahuan, penulisan buku ini adalah berdasarkan tesis master beliau. Kandungannya bertujuan merungkai fitnah terhadap sahabat Rasulullah ﷺ yang sering disebarkan oleh golongan Syiah. Sudah maklum Syiah mempunyai akidah memburukkan generasi sahabat, bahkan sehingga ke tahap mengkafirkan sebahagian besar daripadanya. Antara modal mereka ialah peristiwa pertelingkahan sahabat selepas kewafatan Rasulullah ﷺ. Melalui buku ini, Dr. MAZA menyemak semula rekod sejarah dan menyingkap realiti menurut neraca al-Quran dan hadis.
Kembali kepada jemputan Dr. MAZA ke Masjid Sembilang, pada hemat aku usaha pihak masjid dalam mempelbagaikan penceramah jemputannya perlu disambut dengan hati yang terbuka. Aku berharap orang ramai dapat hadir memenuhkan ruang masjid sepertimana kedatangan selebriti Nasir Bilal Khan pada bulan lepas. Aku juga ingin mencadangkan kepada pihak masjid agar menyediakan sesi soal jawab baik secara langsung mahupun kiriman bertulis supaya para hadirin dapat mengambil peluang untuk bertanya dan memanfaatkan lagi kedatangan ilmuwan kontemporari ini.
P/S: Penjelasan mengenai sejarah aliran Asya’irah/Maturidiyyah dan Salafiyyah oleh Ustaz Aizam Mas’ud (Pegawai Penyelidik JAKIM) boleh ikuti di SINI.
Aku singgah ke jualan buku Big Bad Wolf pada hari Khamis yang lalu di Penang Times Square, George Town. Suasananya terasa lebih tenang berbanding kunjungan aku tahun lepas pada hujung minggu yang sesak dengan kehadiran orang ramai. Tak banyak buku yang benar-benar menarik minat pembacaan aku. Hasilnya, hanya dua buah buku menjadi habuan untuk dibawa pulang. Berikut ialah buku-bukunya:
1. Inside Out: A Personal History of Pink Floyd
Kali pertama menjengah ke bahagian buku-buku muzik memang aku tak perasan adanya buku ini. Bukunya bersaiz kecil dan terletak di celah timbunan buku-buku yang lebih besar. Mujurlah aku pergi sekali lagi untuk menggodek tempat tersebut. Dengan terjumpanya buku ini, perjalanan aku terasa sangat berbaloi.
Inside Out ialah sebuah memoir mengenai Pink Floyd yang ditulis oleh salah seorang anggotanya sendiri iaitu Nick Mason. Apa yang menarik tentang pemain dram ini ialah beliau satu-satunya ahli kumpulan Pink Floyd yang paling lama dan terlibat dalam kesemua album yang mereka hasilkan. Buku ini kali pertama dicetak pada tahun 2004 dan edisi yang ada pada aku ialah cetakan 2011. Edisi ini sudah dikemaskini dengan memasukkan satu bab baru kerana terjadinya reunion bersejarah mereka bersama Roger Waters untuk persembahan di konsert Live 8 (2005) anjuran Bob Geldof. Juga terdapat kemas kini pada bahagian kronologi dengan memasukkan tarikh meninggalnya Syd Barrett dan Rick Wright masing-masing pada tahun 2006 dan 2008. Buku ini setebal 384 muka surat dengan beberapa helaian berwarna.
2. Einstein: The Life of A Genius
Melihat kulit depan buku ini dengan warna gelap dan wajah seseorang yang bagaikan tiada perasaan, aku menyangka berada pada bahagian buku-buku jenayah. Pada pandangan aku, reka kulitnya tidak menarik serta tidak menggambarkan peribadi insan yang memberi tafsiran baru terhadap makna ruang, masa dan graviti.
Einstein ialah seorang ahli fizik yang berasal dari Jerman. Aku tertarik dengan ilmuwan ini setelah membaca tulisan-tulisan Prof. Shaharir. Walaupun Prof. Shaharir mengkritik Teori Kenisbian/Relativiti Einstein khususnya mengenai tabii masa dan ruang serta mendakwa beliau menciplak (plagiarize) karya orang lain, aku masih menyimpan rasa kagum terhadap imaginasinya dalam membina teori tersebut. Biografi berkulit keras dengan saiz besar ini tidak sekadar menceritakan kesarjanaannya, malah merangkumi segenap kisah peribadi beliau. Setiap halaman penuh berwarna. Tambah menarik, diselitkan pelbagai replika dokumen dan memorabilia seperti sijil graduasi, poskad, surat-surat dan nota-nota milik Einstein. Penulisnya, Walter Isaacson merupakan orang yang sama menulis buku Einstein: His Life and Universe.
Aku tertarik untuk membeli kereta Hot Wheels ini selepas melihat salah satu modelnya ialah kereta DeLorean terbang (hover mode) yang muncul dalam filem Back to the Future Part II (1989). Ada dua siri yang berbeza ketika itu, HW City - Space Teamdan HW Screen Time. Aku ambil HW Screen Time kerana keadaannya yang sangat baik memandangkan ia merupakan siri terbaru untuk tahun 2016. Manakala HW City - Space Team pula ialah siri tahun lepas dan cerminnya berlainan daripada versi asal kerana menggunakan warna biru. Kereta dengan skala 1/64 ini tidaklah begitu terperinci. Misalnya tangki kitar semula Mr. Fusion yang menjana mesin masa ini sepatutnya berwarna putih. Perincian ini bagaimanapun ada pada model untuk siri Hot Wheels Entertainment yang harganya lebih mahal. Harga untuk model siri ini hanya RM 8 sahaja dan telah dihasilkan di Malaysia.
Doc: Where we’re going, we don’t need roads.
Biff: A flying DeLorean?
Trivia: Masihkah anda ingat dunia masa depan dengan kereta terbang, hoverboard, dan lain-lain alat berteknologi tinggi yang menjadi destinasi Dr. Emmett Brown, Marty McFly dan bakal isterinya itu? Tarikhnya adalah pada 21 Oktober 2015.
Penulisan entri ini diringkaskan daripada artikel Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff yang bertajuk Anak Cucu Nabi S.A.W. yang Dilupa dan Dipinggirkan. Artikel tersebut telah dimuatkan bersama artikel-artikel beliau yang lain di dalam sebuah buku berjudul, Siri Pemurnian Sejarah Awal Islam (Siri 3).
Anak-anak Lelaki Rasulullah ﷺ
1. Qasim
2. ‘Abdullah
3. Tayyib atau Thahir
4. Ibrahim
Anak sulong Rasulullah ﷺ ialah Qasim. Sebahagian ulama mengatakan Tayyib atau Thahir tak lain tak bukan ‘Abdullah jua. Ibrahim merupakan anak lelaki yang bongsu dan ibunya ialah Mariah al-Qibthiyyah. Selain Ibrahim, mereka ialah anak-anak Nabi ﷺ dengan Sayyidatina Khadijah. Para ulama tidak mengemukakan apa-apa kisah atau peranan anak-anak lelaki Nabi ﷺ kerana kesemuanya meninggal dunia ketika masih kecil. Kalau pun ada hanyalah peristiwa ketika berlakunya kematian mereka.
Anak-anak Perempuan Rasulullah ﷺ
1. Zainab (isteri Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’)
Zainab ialah anak perempuan sulong Nabi ﷺ. Beliau dilahirkan 10 tahun sebelum kenabian dan merupakan anak perempuan yang paling utama berdasarkan sabda Nabi ﷺ yang bermaksud, “Dia adalah anak perempuanku yang paling utama, dia telah menderita keranaku.” Zainab ialah orang yang mula-mula sekali memeluk agama Islam daripada kalangan anak-anak gadis dan telah mendapat kesusahan kerana berhijrah di jalan Allah sehingga mengalami keguguran. Suaminya iaitu Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’ ialah anak saudara Sayyidatina Khadijah.
2. Ruqayyah (isteri ‘Utsman bin ‘Affan)
Ruqayyah ialah anak perempuan kedua Rasulullah ﷺ. Beliau dilahirkan tujuh atau lapan tahun sebelum kenabian dan terkenal dengan kejelitaannya. Ruqayyah antara yang terawal menerima Islam seperti ibu dan adik beradiknya. Beliau dan suaminya, ‘Utsman bin ‘Affan menyertai hijrah pertama orang-orang Islam ke Habsyah pada tahun kelima kenabian. Pada tahun kedua Hijrah, Ruqayyah diserang penyakit cacar. Ketika itu juga berlangsungnya perang Badar dan demi menjaganya, ‘Utsman tidak mengikuti peperangan tersebut. Ruqayyah meninggal pada tahun yang sama.
3. Fathimah (isteri ‘Ali bin Abi Thalib)
Fathimah ialah anak perempuan ketiga Rasulullah ﷺ. Para ulama berbeza pendapat tentang tahun kelahiran Fathimah yang terkenal dengan gelaran az-Zahra ini. Pendapat yang betul ialah beliau dilahirkan lima tahun sebelum kenabian kerana bertepatan dengan hadits “inzar al-‘asyirah”. Fathimah berkahwin dengan ‘Ali bin Abi Thalib selepas perang Badar. Hasil perkongsian hidupnya dengan ‘Ali, mereka telah mendapat lima orang cahaya mata. Anak-anak mereka mengikut tertibnya adalah seperti berikut: (1) Ummu Kultsum (2) Zainab (3) Muhsin (4) Hasan (5) Husain.
4. Ummu Kultsum (isteri ‘Utsman bin ‘Affan)
Anak perempuan Rasulullah ﷺ yang keempat atau yang bongsu ialah Ummu Kultsum. Rasulullah ﷺ menjodohkan Ummu Kultsum dengan ‘Utsman bin ‘Affan setelah Ruqayyah meninggal dunia. Itulah sebabnya ‘Utsman digelar “Zun an-Nurain” (yang memiliki dua cahaya). Pemilihan ‘Utsman buat kali kedua sebagai menantu Rasulullah ﷺ adalah berdasarkan wahyu daripada Allah sebagaimana sabdanya, “Tidak aku kahwinkan Ummu Kultsum dengan ‘Utsman setelah mendapat wahyu dari langit.” Ummu Kultsum meninggal pada tahun kesembilan Hijrah.
Cucu-cucu Lelaki Rasulullah ﷺ
1. ‘Ali bin Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’
‘Ali bin Abu al-‘Ash ialah cucu pertama Nabi ﷺ yang lahir sekitar tujuh atau lapan tahun sebelum Hijrah. Selepas dua tahun penyusuan, Rasulullah ﷺ meminta Zainab untuk memeliharanya. Rasulullah ﷺ sangat menyayangi cucunya ini dan selalu membawanya ke setiap tempat penting. Misalnya pada peristiwa pembukaan Mekah, Nabi ﷺ memboncengkan ‘Ali di belakang untanya. Nabi ﷺ juga menyuruh ‘Ali naik ke atas bahunya untuk membersihkan bahagian dalam Ka’bah daripada berhala-berhala. Cucunda Nabi ﷺ ini syahid dalam perang Yarmuk pada tahun 15 Hijrah.
2. ‘Abdullah bin ‘Utsman bin ‘Affan
‘Abdullah ialah anak Ruqayyah dengan ‘Utsman bin Affan yang lahir di Habsyah. Mulai saat itu, ‘Utsman lebih senang dipanggil Abu ‘Abdillah. ‘Abdullah kemudiannya digelar ‘Abdullah al-Akbar. Ramai ahli sejarah terpengaruh dengan cerita bahawa ‘Abdullah meninggal dunia pada tahun keempat Hijrah ketika berumur enam tahun akibat muka atau matanya dipatuk bapa ayam. Cerita tersebut bertentangan dengan akal. ‘Abdullah masih hidup sampai ke zaman ‘Ali bin Husain yang lahir pada tahun 38 H, bahkan telah menjadi guru kepada ‘Ali yang digelar Zainal ‘Abidin itu.
3. Muhsin bin ‘Ali bin Abi Thalib
Muhsin hanya tersenarai sebagai anak ketiga Fathimah dengan ‘Ali bin Abi Thalib tanpa ada apa-apa kisah berkenaannya. Tertib kelahiran adik-beradiknya yang lain telah pun dinyatakan sebelum ini. Berbeza dengan pendapat konvensional yang menganggap tertib kelahiran mereka begini: (1) Hasan (2) Husain (3) Muhsin (4) Zainab (5) Ummu Kultsum. Dikatakan Hasan lahir pada tahun ketiga Hijrah, Husain tahun keempat Hijrah, Muhsin tahun kelima atau keenam Hijrah, Zainab tahun ketujuh Hijrah dan Ummu Kultsum tahun kelapan, kesembilan atau kesepuluh Hijrah.
4. Hasan bin ‘Ali bin Abi Thalib
Hasan ialah anak keempat Fathimah dengan ‘Ali bin Abi Thalib mengikut tertib kelahiran yang betul. Dakwaan bahawa Hasan ialah anak sulong Fathimah yang lahir pada tahun ketiga Hijrah sama sekali tidak berasas. Berdasarkan kesepakatan ulama, bidan yang menyambut kelahiran Hasan ialah Asmaa’ binti ‘Umais. Asmaa’ telah berhijrah ke Habsyah dan hanya sampai ke Madinah selepas perang Khaibar pada tahun ketujuh Hijrah. Justeru, paling awal Hasan dilahirkan pada tahun ketujuh Hijrah dan berumur tidak lebih daripada empat tahun ketika Baginda ﷺ wafat.
5. Husain bin ‘Ali bin Abi Thalib
Husain ialah adik kepada Hasan. Dakwaan bahawa Husain ialah anak kedua Fathimah yang lahir pada tahun keempat Hijrah sudah tentu tidak munasabah setelah mengetahui abangnya lahir paling awal pada tahun ketujuh Hijrah. Ibu susuan Husain ialah Ummu al-Fadhl iaitu isteri kepada ‘Abbas. Ummu al-Fadhl tinggal di Mekah sehingga tahun pembukaan Mekah iaitu tahun kelapan Hijrah. Menurut perkiraan, beliau tiba di Madinah pada tahun kesembilan Hijrah. Oleh itu, dapat diputuskan bahawa Husain ialah anak bongsu Fathimah yang lahir pada tahun kesembilan Hijrah.
Cucu-cucu Perempuan Rasulullah ﷺ
1. Umamah binti Abu al-‘Ash bin ar-Rabi’
Umamah merupakan cucu kedua Rasulullah ﷺ. Kitab-kitab hadits sering menceritakan kisah seorang cucu perempuan Nabi ﷺ yang selalu didukungnya ketika sedang solat. Cucu perempuan Nabi ﷺ itu ialah Umamah binti Abu al-‘Ash. Betapa istimewanya Umamah dapat dilihat pada satu peristiwa di mana Baginda ﷺ mendapat kalung yang sangat bernilai. Nabi ﷺ bersabda, “Aku akan memakaikannya kepada ahli keluargaku yang tercinta.” Lalu Baginda ﷺ memanggil cucunya, Umamah dan memakaikan kalung tersebut di lehernya dengan penuh kasih sayang.
2. Ummu Kultsum binti ‘Ali bin Abi Thalib
Ummu Kultsum ialah anak perempuan sulong Fathimah dan ‘Ali yang lahir pada penghujung tahun ketiga Hijrah atau pada tahun keempat Hijrah. Ummu Kultsum ini kemudiannya telah menjadi isteri Sayyidina ‘Umar dan mereka mendapat dua orang anak iaitu Zaid dan Ruqayyah. Kesediaan ‘Ali bermenantukan ‘Umar merupakan bukti paling kuat tentang tidak adanya sebarang permusuhan di antara mereka berdua seperti yang didakwakan oleh golongan Syi‘ah. Ummu Kultsum antara yang menjadi saksi pembunuhan adik bongsunya, Husain oleh orang-orang Syi‘ah sendiri.
3. Zainab binti ‘Ali bin Abi Thalib
Zainab ialah anak kedua Sayyidatina Fathimah. Zainab berkahwin dengan sepupunya iaitu ‘Abdullah bin Ja’far bin Abi Thalib. Namun, mereka bercerai kerana perbezaan pendapat dalam soal mengikuti Husain ke Kufah untuk memberontak terhadap khalifah semasa, Amirul Mu’minin Yazid bin Mu‘awiyah. Setelah sampai ke Karbala’, Zainab berasa amat tertipu dengan orang-orang Syi‘ah Kufah kerana mereka sendiri bertindak membunuh saudara-maranya. Zainab kemudian berangkat ke Syam atas jemputan khalifah Yazid dan menetap di sana hingga ke akhir hayatnya.
P/S: Untuk pengetahuan, artikel asal lebih terperinci dengan rujukannya yang pelbagai sehingga berjumlah hampir 70 m/s. Selain memperkenalkan anak cucu Rasulullah ﷺ yang jarang kita dengar, ianya bertujuan untuk menjelaskan penyelewengan yang berlaku terhadap sejarah hidup mereka. Penyelewengan tersebut mempunyai maksud tertentu dalam mengurangkan (discredit) sebahagian anak cucu Baginda ﷺ di samping melebihkan sebahagian yang lain. Hubungi Mohd Haazim (010-211 5951) untuk mendapatkan buku-buku Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff.
Kawan aku sekali lagi bertanya tentang SHIT, sebuah novel satira karyaShahnon Ahmad. Aku sudah kata novel itu tak menarik. Tulisannya berselirat dan memualkan! Shahnon Ahmad sendiri menggambarkan karyanya sebagai novel politik yang busuk lagi membusukkan. Latar ceritanya ialah perut atau lebih tepat lagi usus besar yang padat dengan lengkaran ketulan taik. Pemimpin barisan taik yang berlengkar itu bernama PukiMak @ PM. Ceritanya begini, kepala taik yang bernama PM itu sangat degil untuk keluar dari lobang keramat dan mempertahan kebusukannya dengan teori bahawa kebusukan itulah budaya baru barisan taik. Malang sekali, tiada siapa berani membantah kecuali seketul taik. Taik itu bernama Wirawan.
Lantas, dengan taktik kotor, PM telah mengarahkan lobang keramat supaya mengemut keluar Wirawan. Perlahan-lahan Wirawan bergolek dalam kancah lendir dan lemak hingga tiba di pinggir rembung. Apabila Wirawan terberak keluar, kebusukannya segera dibasuh sampai bersih oleh hujan, angin dan mentari. Kemudian, Wirawan dengan laungan reformasi menjadi pemimpin kepada bumi dan rakyat untuk berperang melawan barisan taik. Matlamat mereka agar wilayah perut menjadi bersih dan suci kerana sudah lama mereka terkesan dengan kebusukan kentut demi kentut dek kedegilan PM yang tak mahu keluar itu. Cukuplah serba sedikit jalan ceritanya. Keseluruhan cerita setebal 240 m/s tentu lebih mengganggu kewarasan anda.