Sunday, May 31, 2015

Ulasan Buku: Why I Still Carry A Guitar oleh Yusuf Islam [Bahagian 3]

Sambungan daripada Bahagian 2.. 

Making Music Again (The Star, 29 November 2006)

Pada tahun 2006, Yusuf Islam kembali dengan album An Other Cup selepas 27 tahun berundur daripada dunia muzik. Berita ini mengisi ruang di dada-dada akhbar. Sebenarnya, beliau kembali menyanyi dan menulis lagu bukanlah secara tiba-tiba. Beliau telah pun melancarkan sebuah syarikat rakaman, Mountain of Light seawal 1994 lagi dan merakam pelbagai album khasnya bagi menyampaikan mesej tentang Islam. Bezanya, pengkritik melihat album kali ini sebagai ‘sekular’ memandangkan Yusuf Islam kembali memetik gitar. Peralihan beliau yang beransur-ansur memasuki studio dan menghasilkan muzik ini dapat dibaca pada bab The Call, Return to Da’wah through Harmony, Children and Song, A Guitar Comes Home, The New Wave dan An Other Cup.

Penggunaan alat muzik sememangnya menjadi satu isu yang hangat dalam kalangan umat Islam. Malah, Yusuf Islam sendiri telah dituduh murtad kerana kembali menghasilkan muzik dan perkara ini sudah dijawab oleh beliau melalui artikel Music: A Question of Faith or Da’wah. Menariknya buku ini, beliau menggunakan ilmu hadis dan melakukan tahqiq (semakan) ke atas hadis yang menjadi hujah pengharaman alat muzik. Katanya,
“Whilst I am certainly not claiming to be a scholar, after twenty-five years of studying the subject, I became aware that many of the Hadith which were used to prohibit music altogether are not clear in the authentic collections, and even one reference in Sahih Al Bukhari is lodged under the heading of ‘Drink’ and had a broken chain (munqati).”
Merujuk Syarah Kitab al-Manzhumah al-Baiquniah, definisi yang masyhur bagi hadis munqathi’ ialah hadis yang gugur (terputus) salah seorang daripada perawinya sebelum sahabat pada satu tempat di mana pun tempatnya. Hukum hadis munqathi’ adalah sangat dhaif. Secara tidak langsung, Yusuf Islam mengatakan sebuah hadis dalam Sahih al-Bukhari adalah tidak sahih. Bukankah ini menjejaskan kedudukan Sahih al-Bukhari?

Yusuf / Cat Stevens - You Are My Sunshine (Official Video)

Untuk pengetahuan, Yusuf Islam tidak bersendiri dalam hal ini. Ibnu Hazm dari Andalusia antara tokoh hadis yang berpendapat sama seperti beliau. Hal ini mungkin mengelirukan, tetapi sebenarnya ia tidaklah menjejaskan kedudukan Sahih al-Bukhari. Menurut Maulana Muhammad ‘Asri Yusoff, hadis yang disebutkan oleh Imam al-Bukhari itu bukan dalam hadis musnadnya tetapi dalam tarjamah al-bab (tajuk) dan dikemukakan secara ta’liq (tergantung). Kedudukan hadis dalam tajuk tidak sama dengan hadis yang musnad kerana yang dikatakan tinggi kedudukan Sahih al-Bukhari itu hadisnya yang musnad, iaitu lengkap dengan sanad atau jalan periwayatan. Berkenaan pandangan Ibnu Hazm, sila lihat video bertajuk Apakah Hukum Muzik Menurut Ibnu Hazm dan Hujah-hujahnya.

Kemudian, Yusuf Islam turut membincangkan hadis Imam al-Bukhari itu dari sudut fiqh (kefahaman) dan memperlihatkan keluasan pandangan beliau. Namun beliau tidak mahu perbincangan ini berlarutan sehingga menjadi persoalan ‘aqidah. Ya, dahulu beliau menolak untuk menggunakan alat muzik tetapi atas dasar berhati-hati. Ujarnya,
“Naturally, when I was new to Islam there was good reason to be cautious, but I had spent many years studying the influences of Islamic thought on the unity of the Muslim world, and realized that there was more harm if people simply inherited their religion and opinions and abandoned the need for Ijtihad (intellectual struggle) in dealing directly with the problems faced in this rapidly degenerating world. Never had the people of this blessed earth ever experienced such an atheistically secular and godless age - this was the true challenge of our time.”

Justeru, kembalinya Yusuf Islam memetik gitar adalah dengan ilmu dan beliau bukan sekadar mahu bertemu dengan rakan-rakan dan peminat-peminat lama. Hakikatnya, beliau sedar yang beliau mempunyai satu lagi misi dan beliau melihat muzik adalah kesinambungan yang positif terhadap hasratnya untuk membina jalan menuju keamanan, menyampaikan mesej yang bermoral, dan melenyapkan kejahilan. Kini setelah sembilan tahun kembali dengan An Other Cup, Yusuf Islam masih lagi memetik gitar dan menyanyi dengan semangat yang murni biarpun usianya hampir mencecah 70 tahun. Bukan setakat itu sahaja, beliau juga telah meluaskan kreativiti dan imaginasinya dalam bidang teater dan sambutan yang diberikan oleh penonton sangat hebat!
  
Moonshadow the Musical (TV Commercial) 

Kesimpulannya, biografi ini walaupun ringkas, ia ditulis dengan baik dan teratur terutama untuk menyatakan perkembangan ilmu serta pandangan-pandangan beliau sebagai seorang individu yang hidup secara kolektif dalam sebuah komuniti. Beliau sangat menekankan perihal kuasa pendidikan, interaksi sosial, dan penggunaan media bagi membebaskan manusia daripada belengu kejahilan. Pada pandangan aku, Yusuf Islam ialah contoh terbaik individu yang berjaya mengimbangi hidup serta kebijaksanaannya secara teori (al-nazhariyyah) dan praktikal (al-‘amaliyyah). Inspirasi beliau tidak lain dan tidak bukan ialah kalam Allah (al-Qur’an) dan sunnah Rasulullah. Semoga kita juga dapat mengambil inspirasi seperti beliau, insya-Allah.

Tamat. Kembali ke Bahagian 1.

P/S: Memandangkan ulasan ini aku sertakan kepada ITBM sempena pertandingan yang mereka anjurkan, aku ingin mencadangkan kepada pihak ITBM untuk menterjemahkan autobiografi Imam al-Ghazali, al-Munqidz min al-Dhalal supaya buku tersebut dapat dimanfaatkan oleh setiap lapisan masyarakat. 
  

Saturday, May 23, 2015

Ulasan Buku: Why I Still Carry A Guitar oleh Yusuf Islam [Bahagian 2]

Sambungan daripada Bahagian 1..

Yusuf Islam berucap sempena majlis pelancaran buku beliau di PBAKL.

Melalui pembacaan buku ini, aku lihat Yusuf / Cat Stevens begitu selesa dan jujur bercakap tentang Islam. Beliau telah memeluk Islam hampir 38 tahun sejak 1977. Pengalaman bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat meluaskan pandangan dan mematangkan dirinya. Aku sangat tertarik dengan kisah-kisah beliau selepas mula memeluk Islam khususnya dalam bab Shahadah, The Community dan The Muslim World. Beliau menceritakan bagaimana beliau berdepan dengan golongan-golongan seperti Salafi, Jemaah Tabligh, Fiqah dan Sufi. Beliau juga menceritakan pergaulan dengan rakan-rakan lama sehingga berlaku insiden beliau ditumbuk. Perkara seperti ini tidak pernah diceritakan dalam mana-mana dokumentari atau artikel tentang hidupnya.

Secara peribadi, penulisan buku ini mengingatkan aku kepada tokoh pembaharu (mujaddid) Imam al-Ghazali dan bukunya, al-Munqidz min al-Dhalal. Dalam buku tersebut, Imam al-Ghazali juga menceritakan perjalanan hidupnya dan menjelaskan mengapa beliau kembali mengajar setelah lama menghilangkan diri. Berbeza dengan al-Ghazali yang akhirnya memilih Sufi sebagai golongan yang benar, Yusuf Islam tidak mahu menyertai mana-mana golongan kerana beliau ada misi tersendiri. Namun, setiap golongan yang beliau tempuhi memberi kesan terhadap pembentukan dirinya sebagai seorang Muslim. Misalnya beliau memuji Jemaah Tabligh kerana mengajarnya kepentingan sembahyang dalam waktu dan mengerjakannya secara berjemaah. 

 
Jika sebelum ini kanak-kanak selamanya diajar bahawa A is for Apple”, Yusuf Islam mahu mengubahnya dengan berkata, “A is for Allah”.
Pada pandangan aku, misi terawal dan terpenting yang telah Yusuf Islam lakukan ialah pembaharuan dalam bidang pendidikan. Kisahnya bermula apabila beliau memikirkan tentang persekolahan anak perempuan sulungnya, Hasanah. Beliau telah memberi sekeping cek bernilai 40 ribu paun kepada seorang pengarah masjid yang beria-ia bercakap tentang keperluan sekolah Muslim. Namun, beliau kecewa kerana tiada tindakan susulan yang sewajarnya. Lantas beliau sendiri mengasaskan antara sekolah Muslim profesional sepenuh masa pertama di Britain, Islamia Primary School pada tahun 1983. Perjuangan beliau dalam membangunkan sekolah ini sangat bermakna kerana ia memberi sinar baharu terhadap masa depan umat Islam di sana.

Seterusnya, Yusuf Islam turut bergiat aktif dalam kerja-kerja kemanusiaan di serata dunia bersama Muslim Aid (pengerusi pertama 1985) dan terkini, Small Kindness. Pada hemat aku, beliau berjaya menunjukkan betapa al-Qur’an mempunyai kesan yang hebat dalam mempengaruhi gaya hidup seseorang. Kisah beliau memeluk Islam hanya dengan membaca al-Qur’an mungkin menghairankan segelintir Muslim sendiri. Respon beliau,
“Some Muslims were quite baffled as to how it was possible for me to grasp the message of Islam simply by reading an English translation of the Qur’an. Frankly, their attitude baffled me much more. I couldn’t believe how distant some Muslims had become to the overwhelming magnitude of the Qur’an’s message and glaring truth; how numb some were to its incredibly powerful impact. As a similitude, I can only liken it to a group of people who have lived and resided above the clouds on a mountain so long, they became oblivious to it and astonished when a visitor arrives and informs them that they live on a mountain.”

Di samping itu, Yusuf Islam juga seorang yang berpengalaman dalam bidang dakwah. Beliau bersama empat orang warga Britain yang lain telah memulakan sebuah kumpulan kecil bagi menyampaikan mesej tentang Islam di London Central Mosque dan sehingga kini ratusan pengunjung sudah menerima Islam. Berkenaan dengan masalah yang dihadapi oleh umat Islam hari ini, beliau dengan jujur menegur,
“Regrettably, many Muslims inherited Islam at birth and have not necessarily studied it or acquired the skill of explaining the faith very well. A lot make the mistake of assuming everybody already knows the basics. But very few people - including Muslim themselves - possess the motivation to research the subject properly; some folks don’t even have the time to read the instructions on the box of goods or equipment they have just bought from a shop! If a person never gets to know a good practising Muslim, then it is likely that he would be left judging Islam only by the picture provided by the media or a Muslim colleague or neighbour who, because of fear, keeps their faith private in order not to be noticed or targeted by Islamophobes or racists.”

Dengan membaca buku ini, kita dapat lihat bahawa Yusuf Islam ialah seorang pemikir yang kritis. Beliau sangat tidak gemarkan sikap taqlid, iaitu mengikut sesuatu perkara tanpa mengetahui asas dan dalil. Namun, hal ini tidaklah mengurangi sanjungan beliau terhadap ilmuwan Islam terdahulu. Dalam buku ini, Sahih al-Bukhari antara rujukan utamanya. Menarik apabila beliau menukilkan kata-kata seorang syeikh yang menghadiahkan beliau Sahih al-Bukhari. Menurut syeikh tersebut, “Here is the second most authentic and reliable book to learn and to read after Qur’an.” Ironinya, pada satu tempat yang lain beliau mengkritik hadis dalam Sahih al-Bukhari yang mengharamkan alat muzik sebagai tidak sahih. Bagaimana perkara ini boleh terjadi?

Nantikan bahagian terakhir, insya-Allah..
  

Tuesday, May 19, 2015

Ulasan Buku: Why I Still Carry A Guitar oleh Yusuf Islam [Bahagian 1]

Ketika aku singgah di reruai Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL), buku Why I Still Carry A Guitar: The Spiritual Journey of Cat Stevens to Yusuf Islam yang diterbitkan oleh ITBM mendapat sambutan yang begitu hebat. Buku tersebut tersenarai dalam carta Top 10 mereka sebagai buku yang paling laris di PBAKL. Buku yang ditulis sendiri oleh Yusuf Islam ini sebenarnya telah diterbitkan lebih awal di Dubai pada hujung tahun lepas oleh Motivate Publishing dan berjaya memenangi anugerah Best International Non-Fiction Award di Sharjah International Book Fair.

Biografi pertama Yusuf Islam dibukukan secara rasmi.

Yusuf Islam yang sebelum ini dikenal sebagai Cat Stevens bukanlah penyanyi dan pemuzik yang mendapat latihan formal. Beliau asalnya ialah seorang pelajar bidang seni lukis yang bercita-cita untuk menjadi pelukis seperti pak ciknya, Hugo. Namun, disebabkan pelukis rata-ratanya dilihat hidup melarat dan tidak mendapat pengiktirafan selayaknya, maka beliau pun cuba menyanyi dan mencipta lagu. Pada usia 18 tahun, bakat beliau telah berjaya dikesan oleh Mike Hurst dan apa yang terjadi seterusnya ialah sejarah yang pasti akan terus diingati oleh penggemar muzik. Oh, ya! Sheryl Crow tidak pernah mencipta lagu The First Cut is the Deepest, begitu juga Rod Stewart.

Kembali kepada buku Why I Still Carry A Guitar, produksinya kemas, gambarnya berwarna penuh dan saiz tulisannya mesra pembaca. Isi kandungannya pula terbahagi kepada 15 bab yang disusun rapi dengan purata enam halaman. Pendek kata, buku ini mempunyai nilai komersial yang ideal. Sebagai seorang penggemar lagu-lagu Cat Stevens, aku meletakkan harapan tersendiri terhadap biografi beliau yang pertama dibukukan secara rasmi. Sejujurnya aku tidak berpuas hati. Latar kehidupan ketika membesar, permulaan karier muzik, pengalaman di hospital dan fasa kedua karier muzik (selepas pulih daripada tuberculosis) hanya diceritakan secara umum dan ringkas!

Kulit album Tea for the Tillerman (1970) hasil lukisan Cat Stevens.

Bagi mereka yang baru bermula untuk berkenalan dengan Yusuf / Cat Stevens, sudah pasti mereka berasa cukup dan berpuas hati. Baiklah. Apabila disemak semula, Yusuf Islam telah pun menyatakan pada hujung bab pertama bahawa buku ini menceritakan latar ringkas perjalanan yang beliau lalui daripada keadaan jahiliyyah kepada Islam dan yang penting tentang mengapa beliau masih memetik gitar. Nampaknya beliau memang tidak berhasrat untuk bercerita panjang lebar tentang karier awal muzik dan perjalanan kerohanian yang beliau lalui sebelum mula mengenal Islam. Sayang sekali kerana masih terdapat kisah-kisah yang membentuk keperihalan jiwanya tidak dinyatakan.

Untuk pengetahuan, Yusuf Islam sudah pernah menulis beberapa artikel mengenai hidup beliau. Antaranya ialah Journey in the Search of the Centre of the Universe yang telah disiarkan di laman web spiritual beliau. Artikel lama bertajuk How I Came to Islam juga menarik untuk dibaca. Selain itu, saluran TV seperti VH1 dan BBC telah pun menerbitkan dokumentari tentang hidupnya dan masing-masing menjelaskan mengapa beliau kembali menyanyi dan bermain muzik. Bahkan, sebuah artikel mengenai penggunaan muzik untuk tujuan dakwah bertajuk Music: A Question of Faith or Da’wah juga telah ditulis oleh beliau. Lalu apa lagi yang beliau mahu sampaikan melalui buku ini?

Nantikan bahagian seterusnya, insya-Allah..